Air mata Qaseh sudah tak dapat dibendung. Laju manik-manik halus turun membasahi pipi mulusnya. Ditekan dadanya yang terasa senak dek menahan sesak yang menggunung. Sedari tadi Qaseh asyik termenung. Ralit bebola matanya menikam ke satu arah. Namun pandangan itu kosong. Sekosong hatinya!
Qaseh merasakan separuh jiwanya bagaikan dibawa pergi. Tiga jam yang lalu di tanah perkuburan begini juga lah keadaan Qaseh. Sehinggakan ibunya Puan Hanna terpaksa memujuk dan memapah Qaseh untuk dibawa pulang.
Lemah segala urat sendi Qaseh tatkala orang yang dikasihi pergi menghadap Yang Maha Esa. Qaseh tidak merintih, apatah lagi meraung. Namun air matanya tetap mengalir bersama esakan kecil. Sebuah esakan yang hanya Qaseh tahu betapa terluka hatinya saat ini.
Semua kenangan lalu bagaikan bermain di ruang minda. Sengaja menambahkan rasa rindu yang mencengkam jiwa. Gelak tawa dan tangisan si dia seakan bergema di corong telinga.
"Qaseh..." panggil Puan Hanna sebak. Sebak melihat keadaan satu-satu anak perempuan yang dia miliki seperti hilang arah.
"Qaseh, jangan macam ni ya sayang..." pujuk Puan Hanna lembut. Hati ibu mana yang tidak tersentuh melihatkan wajah anaknya yang lencun dibasahi air mata.
Qaseh pejamkan mata. Makin deras air matanya mengalir. Sederas air terjun yang tanpa segan silu menghempas batuan. Hanya Qaseh yang mampu mentafsirkan air mata ini. Air mata kekesalan. Kesal kerana hubungan mereka tidak berjalan seperti yang sepatutnya. Kalau lah Qaseh tahu orang yang paling disayangi akan pergi jauh meninggalkan dia, pasti Qaseh tak akan mensiakan waktu yang ada. Kalau... Berbicara tentang kalau, api pun mampu bertukar menjadi tanah dalam sekelip mata.
Panggilan si ibu bagaikan angin lalu yang menyapa telinga Qaseh. Bukan dia tak mahu menyahut tapi lidahnya kelu! Air mata mula bergenang membasahi tubir mata Puan Hanna. Sungguh dia dapat merasai kehilangan yang dirasai Qaseh. Kerana dia juga turut merasakan perasaan yang sama! Bahkan lebih parah! Lantas anak perempuannya ditarik ke dalam pelukan.
"Ibu..." Akhirnya terhambur tangisan Qaseh dalam pelukan si ibu. Pelukan semakin dieratkan. Seolah memahami yang anaknya sangat memerlukan sokongan tika ini. Makin kuat esakan Qaseh tatkala tangan tua ibunya menggosok perlahan belakang Qaseh.
"Qaseh rindu..." Hanya itu yang terluah dari bibir Qaseh sebelum tangisannya terhenti secara tiba-tiba.
**********
Rizqy menghampiri tubuh isterinya yang terbaring tidak bermaya. Seksa jiwanya hanya Tuhan yang tahu. Seksa apabila melihat keadaan si isteri seperti tak punya daya untuk meneruskan hidup. Pipi Qaseh diusap perlahan, bimbang lena isterinya bakal terganggu dek sentuhan jemarinya yang kasar. Tangan Rizqy beralih ke perut si isteri. Hatinya terasa sebak. Mampukah janin yang berda dalam rahim Qaseh bertahan jika Qaseh terus-terusan berkeadaan lemah seperti ini.
Sudah dua hari adik iparnya meninggalkan mereka. Bermakna sudah masuk dua hari Qaseh membiarkan dirinya tak terurus. Keperluan Rizqy turut terabai. Bukan itu yang Rizqy resahkan. Hatinya bagaikan disiat-siat tiap kali melihat wajah murung Qaseh. Tak perlu menunggu seminit dua, akhirnya air mata Rizqy gugur jua membasahi pipi Qaseh. Dahi Qaseh dicium penuh syahdu. "Tolong kuatkan diri sayang untuk abang. Untuk anak kita," bisik Rizqy hampir di telinga Qaseh. Direnung isterinya sayu sebelum meninggalkan Qaseh sendirian.
Qaseh membuka mata. Cukup jelas apa yang dibisikkan suaminya. Air mata Qaseh laju menuruni pipi, membasahkan wajahnya yang sejak semalam masih belum kering dengan air mata. Entah untuk kali ke berapa, Qaseh tak pasti. Apa yang dia tahu, saat hatinya terasa lelah, Qaseh hanya membiarkan manik halus itu gugur. "Maafkan Qaseh..." Teresak-esak Qaseh menangis melepaskan segala yang terbuku di hati.
Qaseh kembali pejamkan mata. Wajah ceria orang tersayang terukir di ruang minda. Saat mereka berempat bergelak ketawa. Ibu, Izlan, Ilham dan dirinya. Namun senyuman itu hanya mampu bertahan sekejap cuma. Esakan kecil kembali kedengaran. Hatinya terluka! Kini mereka bukan lagi berempat, cuma bertiga!
Terasa sesak nafasnya tika ini. "Lan, kenapa cepat sangat Lan tinggalkan kak long? Kak Long sayang Lan, sayang sangat. Kak long rindu nak bergurau dengan Lan. Sampai hati Lan tinggalkan kami," rintih Qaseh.
Sekali lagi senyuman terukir di bibir Qaseh. Senyum setiap kali wajah ceria Izlan bagaikan tertayang di hadapan mata. Senyum tatkala gelak tawa Izlan menyapa dinding telinga. Hatinya resah. Resah kerana Qaseh sedar dia tak mungkin berpeluang untuk menatap wajah itu kembali di hadapan mata. Cuma potret Izlan yang mampu ditatap untuk melepaskan rindu. Hati Qaseh tertanya-tanya, adakah janin yang sedang membesar dalam rahimnya tika ini pengganti Izlan?
Tiba-tiba peristiwa dua hari lepas terlayar di hadapan mata. Saat kepala Izlan dipukul dengan kuat tanpa belas. Cadar katilnya Qaseh genggam kuat, menggambarkan betapa hatinya memberontak tak dapat menerima apa yang telah berlaku pada Izlan. Air mata Izlan. Darah pekat yang membasahi kepala Izlan. Semuanya masih jelas dalam ingatan. Juga kata-kata terakhir Izlan, khas buat dirinya masih terngiang-ngiang di corong telinga. "Lan sayangkan Kak Long..."
"Arghh!!!" Bergema suara jeritan Qaseh di segenap ruang bilik. Rambutnya yang semakin tak terurus dilurut kasar. Jiwanya memberontak! Qaseh bangun. Semua barang yang sempat dicapai habis pecah dek amukan Qaseh.
Rizqy tersentak tatkala bunyi seperti kaca pecah kedengaran dari ruang atas. Pantas kakinya melangkah mendaki anak tangga untuk ke bilik. Khuatir jika sesuatu terjadi pada Qaseh. Pintu bilik dibuka kasar. Terkejut bukan kepalang saat matanya menangkap serpihan-serpihan kaca yang bertaburan di atas lantai. Kelibat Qaseh dicari, tiada! Dia terus melangkah dengan berhati-hati. Supaya kakinya tak terluka dek serpihan kaca. Cukup lah hatinya saja yang terluka setiap kali melihat keadaan Qaseh.
"Qaseh.." panggil Rizqy lembut. Namun bayang Qaseh masih tak kelihatan. Tiba-tiba sayup kedengaran bunyi seseorang menangis di balik pintu. Perlahan-lahan Rizqy menapak dan ternyata, suara tangisan itu milik Qaseh!
Sayu hati Rizqy melihat keadaan Qaseh yang teresak-esak menangis. Bahu isterinya disentuh lembut lantas ditarik ke dalam pelukan. "Menangis lah kalau itu yang mampu legakan Qaseh," ujar Rizqy.
Kepala Qaseh dicium. Lama. Tanpa sedar ada air hangat mengalir di pipinya, membasahi rambut Qaseh. Qaseh eratkan pelukan. Entah kenapa dia seakan-akan tak mampu untuk menghadapi kematian Izlan. Sukar diungkap perasaan yang sedang bermain dalam hati. Apa yang Qaseh tahu, nafasnya terasa sesak setiap kali teringatkan Izlan. Seolah menahan beban rindu yang sarat kerana tak dapat meluahkan perasaan itu
YOU ARE READING
Encik Gula
RomancePertemuan demi pertemuan tanpa sengaja telah menemukan MUHAMMAD AMMAR RIZQY dan QASEH QASHDINA. Bagi RIZQY, pasti ada maksud di sebalik setiap pertemuan. Mustahil dia dipertemukan dengan QASEH tanpa sebarang hikmah. Di sisi lain, QASEH tak habis-hab...