Rizqy menggeliat, membetulkan segala urat sendi. Berdentum-dentum bunyi tulang di tubuhnya. Tangan diletakkan di leher, memicit-micit belakang leher yang lenguh dek menghadap laptop selama beberapa jam. Usai solat asar, Rizqy terus membuka laptop. Mencatit pesanan-pesanan jersi daripada pelanggan berlainan negeri. Alhamdulillah, sejak berkahwin rezekinya semakin bertambah, mungkin rezeki perkahwinan agaknya.
Pekerjaannya dihentikan. Selesai saja azan maghrib, Rizqy menadah tangan lantas membaca doa selepas azan. Rizqy kalih ke belakang. Qaseh sedang tersenyum padanya dengan telekung sudah tersedia membaluti tubuh.
"Qaseh, kenapa tak solat dulu?" tanya Rizqy lembut.
"Saya tunggu awak. Hari ini awak imamkan ya," pinta Qaseh.
Rizqy tergamam. Apa lagi alasan yang boleh diberikan kepada Qaseh. Lagipula, Qaseh dah tahu semuanya tentang dirinya. "Err..."
"Riz, kalau tak cuba kita takkan tahu kan setakat mana kebolehan kita? Sampai bila awak tak nak yakin pada diri? Awak kan dah janji, nak jadi imam yang baik untuk saya," pujuk Qaseh lagi. Suaminya itu harus diajar supaya membuang segala rasa malu dan tidak yakin pada diri. Apa salahnya perasaan malu itu diketepikan untuk sesuatu yang baik. Bukankah malu itu perlu bertempat?
"Em, okey. Tunggu sekejap, saya ambil wudhuk." Rizqy berlalu ke bilik air.
Qaseh tersenyum lega. Dua helai sejadah dihamparkan. Sehelai sejadah di hadapan dan sehelai
lagi di sisi di sebelah kiri imam.
Rizqy sudah bersiap sedia berdiri di tempat imam. 'Ya Allah, mampukah aku?' detik hati Rizqy. Takbir diangkat. Rizqy memulakan solat maghrib sebagai imam kepada isterinya buat kali pertama dalam hidupnya.
Ringkas surah yang Rizqy baca namun sudah cukup membuatkan Qaseh kagum. Surah Al-Insyirah dan Surah Al-Falaq. Walaupun bacaan suaminya itu tidak berlagu, tapi bukan itu yang menjadi perkiraan Qaseh. Yang penting, Rizqy sudah menjadi imam untuknya. Bacaannya juga lancar ketika membaca kedua-dua surah ini. Tidak sia-sia Rizqy berguru dengan Ustaz Taufiq. Banyak bacaannya telah diperbetulkan.
Usai wirid, sama-sama pasangan ini menadahkan tangan. Doa diaminkan. Doa untuk kesejahteraan kedua ibu bapa dan keluarga.. Jua titipan doa untuk buat arwah kakak Rizqy yang sudah lama meninggalkan mereka. Tidak lupa juga doa untuk keharmonian keluarga mereka. Semoga perkahwinan ini akakn kekal hingga ke syurga.
"Qaseh..." panggil Rizqy lembut. Ada sesuatu yang mahu dipinta dari Qaseh.
"Ya..."
"Boleh tak kalau...Kalau..."
"Kalau apa awak?"
"Boleh tak Qaseh tengokkan saya mengaji sekejap? Tolong betulkan bacaan saya kalau ada yang tersalah," pinta Rizqy penuh pengharapan.
Qaseh tersenyum seraya mengangguk. "Boleh, apa salahnya." Syukur, suaminya itu benar-benar mahu berubah. Tak salah jika si isteri yang lebih pandai membaca Al-Quran mendengar dan menegur bacaan suami.
Kata Ustaz Azhar Idrus dalam ceramahnya, jika seorang suami malas mahu mengaji, si isteri boleh menegurnya dengan hikmah. Sebagai contoh, jika suami mahu mengajak isteri berjalan-jalan, si isteri boleh meletakkan syarat. Syarat di mana pulang dari berjalan-jalan, si suami perlu mengaji. Tapi Alhamdulillah, nampaknya Qaseh tak perlu meletakkan syarat sebegitu pada suaminya. Rizqy sendiri yang berkeinginan mahu Qaseh mendengar bacaannya.
Al-Quran diletakkan di atas rehal. Surah Al-Mulk menjadi pilihan Rizqy iaitu surah yang ke 67 dalam Al-Quran. Surah yang mempunyai banyak kelebihan. Antaranya ialah menyelamatkan dari seksa kubur. Rizqy teringat kisah yang Ustaz Taufiq sampaikan kepada dia berkaitan kelebihan Surah Al-Mulk.
YOU ARE READING
Encik Gula
RomancePertemuan demi pertemuan tanpa sengaja telah menemukan MUHAMMAD AMMAR RIZQY dan QASEH QASHDINA. Bagi RIZQY, pasti ada maksud di sebalik setiap pertemuan. Mustahil dia dipertemukan dengan QASEH tanpa sebarang hikmah. Di sisi lain, QASEH tak habis-hab...