Berkali-kali Rizqy mengulang rakaman yang diterima dari Izlan. Entah kenapa rakaman dan mesej dari Izlan benar-benar mengusik hatinya. Lebih-lebih lagi kata-kata yang terbit dari mulut bakal isterinya sendiri, Qaseh.
"Qaseh nak cintakan dia kerana iman dia. Kalau hilang imannya, hilanglah rasa cinta Qaseh pada dia." Kata-kata Qaseh terus berlegar dalam ruang fikiran Rizqy.
'Iman? Adakah aku seorang yang beriman? Mampukah aku membimbing seorang wanita yang benar-benar mengharapkan aku sebagai imamnya?' bisik Rizqy. Sesak nafasnya memikirkan perihal yang satu itu. Bukan dia tiada niat untuk menjadi pemuda-pemuda yang sering mendekatkan diri dengan masjid, yang mampu menjadi imam yang baik. Namun ada sesuatu yang menghalang dia dari terus berbuat begitu. Satu ketika dulu, hatinya sering terpaut dengan keindahan masjid, sering terjentik dengan alunan merdu ayat suci Al-Quran setiap kali dia mendengarnya.
'Ma, kalau lah ma terus izinkan Riz untuk belajar agama dulu,' bisik hati Riz. Namun dia tahu tidak guna dia menyalahkan mamanya. Mamanya mungkin bersalah kerana telah menyekat dia belajar agama walaupun dia tak tahu apa puncanya. Tapi sekarang Rizqy sudah dewasa. Rizqy tahu, dia punya hak untuk pilih jalan hidupnya sendiri. Sepatutnya hatinya kuat untuk mula mendalami ilmu agama kembali walaupun dia perlu berselindung dari mamanya.
Fikiran Rizqy mula melayang pada zaman kanak-kanaknya sepuluh tahun yang lepas. Pertanyaan dari ustazahnya di sekolah benar-benar menyentak hati Rizqy. Malu dia dengan ustazah yang sering mengajar dia mengaji. Masuk kali ni, dah dekat dua minggu dia tinggal kelas mengaji. Semuanya gara-gara mama yang tak membenarkan dia ke kelas itu.
Perlahan-lahan Rizqy melangkah mendekati mamanya yang sedang asyik membaca surat khabar di ruang tamu. "Erm...ma..."
"Ye sayang. Kenapa?" Puan Farhana melipat surat khabar lalu diletakkan di atas meja. Seluruh perhatian diberikan kepada satu-satu anak yang dia punya sekarang, setelah kematian anak perempuannya.
"Ma...tadi kan...ustazah..." Rizqy berjeda sebentar. Takut mahu melihat respon mamanya.
"Ustazah apa sayang?"
"Tadi kat sekolah ustazah tanya Riz kenapa dah lama tak pergi kelas mengaji. Ma, boleh tak Riz nak pergi kelas tu esok? Boleh kan, ma?" pujuk Rizqy.
"Riz nak buat apa pergi kelas mengaji tu. Tak! Ma tak benarkan! " tegas Puan Farhana.
Air mata Rizqy sudah bergenang. Dia mula merengek. "Rizqy nak pergi, Riz nak pergi jugak! Riz nak pergi!"
"Riz ni kenapa degil hah? Kalau kita mengaji pun, pergi solat pun takkan kembali kan kakak Riz tau!" bentak Puan Farhana. Hatinya terasa sebak setiap kali teringatkan kakak Rizqy. Sebelum ni, keluarga mereka bukan begini. Puan Farhana dan suaminya, Encik Zakri sangat mementingkan soal agama. Setiap hari Rizqy dan kakaknya dihantar sekolah agama. Namun setelah kakak Rizqy meninggal, Puan Farhana hilang arah. Solat dan Al-Quran semua sudah ditinggalkan. Atas alasan yang sama, dia langsung tidak membenarkan Rizqy ke kelas agama.
"Riz nak pergi. Riz rindu nak mengaji..." suara Rizqy semakin perlahan. Teresak-esak dia menangis. Perasaannya sangat kuat untuk ke kelas agama dan mengaji. Tiba-tiba Rizqy terpandangkan Al-Quran yang berada dalam almari di ruang tamu. Al-Quran itu sudah lama tidak disentuhnya. Sayang benar, mamanya hanya menjadikan Al-Quran itu sebagai perhiasan dalam almari tersebut. Berkali-kali Rizqy berfikir, kenapa mama dan papanya boleh berubah sebegini teruk?
Tanpa berlengah Rizqy terus melangkah ke arah almari tersebut lalu dibuka. Pantas sahaja tangannya mencapai senashkah Al-Quran lalu dipeluknya. "Kalau mama tak nak bagi Riz pergi kelas mengaji, biar Riz mengaji sendiri," ujar Riz bersama tangisan yang masih bersisa.
Mata Puan Farhana mencerlung marah. "Riz, bagi Al-Quran tu pada mama!" bentak ibu Rizqy.
"Tak nak! Riz nak mengaji!" Rizqy masih berkeras dengan pendiriannya.
"Riz, bagi mama! Kalau tak mama pukul," Puan Farhana sudah tak mampu mengawal kemarahannya. Tangannya sudah bertindak memukul badan Rizqy. Rizqy pula sudah teresak-esak menangis bersama Al-Quran dalam pelukan.
Rizqy menahan sebak. Air mata yang semakin galak menitis diseka dengan jari. Sudah bertahun kejadian itu namun kenangannya tetap masih terpahat kukuh dalam ingatan Rizqy. Walaupun mamanya menghalang kehendak Rizqy, tetapi hubungan Rizqy dan mamanya masih baik. Sedalam mana pun rasa terkilan itu hadir dalam hati Rizqy, Puan Hanna masih mama kandungnya.
Rizqy bangun menuju ke bilik air. Wudhuk diambil seperti yang telah diajar oleh Qayyum. Sejadah dihampar lalu Rizqy mula mengangkat takbir, mahu menunaikan solat zuhur. Usai bersolat, hati Rizqy berasa sedikit tenang. Matanya terpandangkan senashkah Al-Quran pemberian Qayyum. Lembaran Al-Quran tersebut Rizqy selak mengikut gerak hatinya. Rizqy memulakan bacaan dengan lafaz kalimah bismillahirrahmanirrahim. Namun melihatkan ayat suci Al-Quran yang terpampang di hadapan mata, suaranya bagaikan tersekat di kerongkong. "Ya Allah, aku tak mampu untuk membaca walau sepatah pun kalam suciMu. Ampunkan hambaMu Ya Rabb," rintih hati Rizqy.
Air mata kembali menuruni pipinya. Sungguh hatinya sedih kerana dia tidak mampu membaca Al-Quran tanpa tunjuk ajar sesiapa. Rizqy yang sekarang bukan Rizqy dulu, fasih mengaji Al-Quran. Sudah lama dia tidak membasahkan bibirnya dengan mengaji. Mujur lah Qayyum sudi mengajar Rizqy membaca al-fatihah, surah pendek dan bacaan-bacaan dalam solat. Itupun Rizqy hafal. Setidaknya Rizqy masih mampu menunaikan solat sekarang.
Sedar akan kelemahan dirinya tidak mampu menuturkan walau sebaris kalam Allah, bersama pandangan yang kabur dek air mata, Rizqy mengalihkan pandangannya pada terjemahan ayat suci itu. Dia cuba membaca makna yang tersirat di sebalik kalam Ilahi Yang Maha Agung.
"Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediannya) maka dialah yang beroleh petunjuk dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi. (Surah Al-Araf, ayat 178)"
Rizqy terpaku sebaik saja mebaca terjemahan ayat itu. Ada getar yang halus yang menjalar di ruang hatinya. Dia yakin Allah mahu memberi dia peluang untuk berubah. 'Aku belum terlambat!' detik hati Rizqy. Al-Quran diciumnya lalu Rizqy mencapai handphone di atas meja. Ada seseorang yang harus dihubungi untuk membantunya.
YOU ARE READING
Encik Gula
Любовные романыPertemuan demi pertemuan tanpa sengaja telah menemukan MUHAMMAD AMMAR RIZQY dan QASEH QASHDINA. Bagi RIZQY, pasti ada maksud di sebalik setiap pertemuan. Mustahil dia dipertemukan dengan QASEH tanpa sebarang hikmah. Di sisi lain, QASEH tak habis-hab...