Jarak antara rumah aku dengan rumah Sofia mengambil masa 15 minit biasanya. Tapi aku rasa, tak sampai 10 minit, aku dah ada di depan rumahnya.
"Assalamualaikum! Sofia! Sofia!"
Pintu rumah aku ketuk berkali-kali sebelum dibuka oleh Sofia.
Matanya bengkak. Rambutnya kusut tak terurus. Dan pandangan matanya kosong.
"Abang...Mak Fia...Mak tiba-tiba pengsan...Fia takut jadi apa-apa kat mak..."
"Mana mak? Jom kita bawa pergi hospital. Fia pergi bersiap dulu."
Aku mengikutnya hingga ke bilik Mak Cik Maryam. Mujur tubuh tua itu kecil saja. Memudahkan aku mendukungnya untuk dibawa ke kereta. Selepas membaringkannya di kerusi belakang, aku menunggu Sofia di depan tangga.
"Kunci semua pintu tingkap?"
"Dah abang."
"IC mak bawa tak? Nanti kena patah balik, susah pulak."
"Semua Fia dah letak dalam beg. Jomlah abang."
Sofia mengikut langkahku menuju ke kereta. Aku menyuruh dia dudum dikerusi belakang memangku kepala Mak Cik Maryam.
Hospital Besar Tapah yang paling dekat dengan kampungku. Perjalanan mengambil masa empat puluh lima minit.
Lama? Percayalah bahawa sudah habis laju kereta ini kupandu dan hanya semampu itu kelajuan yang boleh. Sampai sahaja di hospital aku terus memberhentikan kereta di depan wad kecemasan. Aku menyuruh Fia menunggu di dalam kereta sementara aku masuk ke dalam meminta bantuan.
Tak lama kemudian, seorang doktor muda dan tiga orang nurse mengikut aku ke kereta. Aku mencempung tubuh Mak Cik Maryam lalu diletakkan di atas katil. Kemudian nurse tersebut dengan dibantu oleh doktor tadi menolak katil Mak Cik Maryam ke dalam.
"Jom Fia. Kits ikut mak."
Kasihan sungguh aku melihat Sofia. Dari tadi dia langsung tak bersuara. Hanya air matanya yang menjadi pengganti bicara. Dalam hati aku berdoa pada Tuhan semoga Mak Cik Maryam tak apa-apa dan segera sembuh. Tak betah aku melihat Sofia dalam keadaan begini.
Aku meminta IC Mak Cik Maryam lalu membuat pendaftaran. Selepas itu kami berdua menuju ke bahagian kecemasan. Menunggu doktor dan nurse membuat pemeriksaan rapi.
"Cuba cerita kat abang apa yang dah jadi. Macam mana mak boleh tiba-tiba pengsan? Mak tak sihat ke?"tanyaku setelah kami berdua duduk di kerusi yang disediakan di ruang menunggu.
Tangis Sofia perlahan tapi masih bersisa. Aku tak punya tisu mahupun sapu tangan untuk dihulurkan. Sekadar mampu melihat Sofia meredakan tangisnya sendiri.
"Sudahlah menangis. InsyaAllah mak tak ada apa tu,"aku cuba memujuk. Hendak dipeluk, ini bukan darah dagingku. Meskipun Mak Cik Maryam sudah kuanggap bagai ibuku sendiri, namun keadaan tetap membataskan.
"Tadi...lepas makan malam mak mengadu dada mak sakit. Mak minta Fia sapukan minyak kat belakang badan. Lepas tu mak macam okay sikit. Mak kata mak haus. Dia ke dapur nak minum air. Tapi Fia rasa macam lama sangat mak kat dapur. Fia pun jenguklah. Fia tengok mak dah terbaring atas lantai. Tak sempat minun pun lagi."
"Fia tak dengar apa-apa bunyi?"
"Tak. Abang, mak okaykan? Mak takkan tinggalkan Fia kan bang?"
Tangis Sofia pecah sekali lagi Terhinggut-hinggut bahunya. Keadaan ini, pernah aku rasa sepuluh tahun yang lalu. Cumanya waktu itu aku jumpa mak dalam keadaab tak bernyawa dan darah merah pekat merata-rata di atas lantai.
Tiba-tiba doktor tadi keluar bersama seorang lagi doktor yang kukira umurnya sebaya denganku.
"Mak saya okay tak doktor?"
Doktor tadi meminta diri dan memberi ruang kepada doktor yang keluar bersamanya tadi memberi keterangan kepada Sofia.
Aku mengecilkan mata. Seakan aku kenal wajah lelaki ini. Tapi, tak mungkin. Tapi juga tak mustahil.
"Zam?"tegurku setelah kami berdiri begitu hampir. Dia memalingkan wajahnya ke arahku.
"Ya. Encik ni...?"
"Adam. Adam Abdullah."
Wajah doktor itu berkerut-kerut. Seperti cuba mengingatkan sesuatu.
"Adam? Serius Adam? Ya Allah Dam!" tubuhku dipeluknya erat. Berkali bahu ku ditepuknya.
"Mana kau pergi? Kejap. Bagi aku settle ni dulu. Kesian adik ni. Kau duduk dulu,"katanya sambil meleraikan pelukan.
Selepas itu, Zam mengiringi Sofia masuk ke dalam wad. Keadaan Mak Cik Maryam tidak seteruk mana. Cuma mungkin dia terlalu penat. Lagi pula dengan umur begitu, kesihatan amat penting untuk dijaga.
Sepuluh minit kemudian, Zam keluar dari dalam wad. Dia melangkah menghampirk aku. Berlainan benar sahabat aku yang seorang ini. Sudab menjadi seorang doktor. Aku tersenyum sendiri mengenangkan kembali kenakalan kami dahulu.
"Jom pergi kafe. Lagipun perut aku pun dah berbunyi nyaring ni."
Kami berdua meninggalkan ruang kecemasan itu. Sambil berjalan ke kafe, aku teringatkan Bob dan dan Bidin. Mungkin boleh aku dapatkan maklumat tentang mereka daripada Zam.
Rindu pula pada mereka bertiga. Sahabat yang benar-benar ada di waktu aku tersungkur hilang dahan tempat ku berpaut.
"Nah, Kopi."
"Thank you, Zam."Kopi yang masih berasap itu aku hirup perlahan. Kopi penghilang rasa kantuk.
"Ke mana kau pergi selama ini Adam? Kami cari kau. Tapi tak berjumpa. Aku sampai cari kau kat tempat mak kau kerja dulu. Bertanya pada orang. Tapi tak berhasil. Kenapa kau hilangkan diri?""Kan aku dah bagitahu dulu. Kenapa nak cari aku?"
"Kau kawan kami. Kawan aku. Kami ingatkan kau bagi peluang kami jumpa kau sebelum kau betul-betul pergi. Tapi esoknya kami datang, kau dah tak ada."
Aku menunduk. Sedar salah aku pergi tanpa menunggu mereka. Tapi aku perlu buat macam tu. Sebab kalau sampai perlu aku menunggu pagi, aku tak cukup kuat untuk melangkah.
"Dah tak ada apa untuk aku. Mak dah tak ada. Masa depan? Gelap Zam. Aku dah tak nampak cahaya. Aku bukan pergi mana. Aku balik kampung mak. Dan Mak Cik Maryam orang yang dah selamatkan aku. Aku tak ada siapa-siapa lagi Zam. Sebatang kara. Kalau mati aku pun, belum tentu ada yang akan menangis untuk aku."
Wajah Zam berubah. Mungkin apa yang aku kata telah menyinggung perasaannya. Tapi aku tak bermaksud begitu.
"Maknabya, aku, Bob dan Bidin ni bukan siapa-siapa untuk kau? Tak berhargakah persahabatan kita selama bertahun-tahun itu di mata kau?"
Zam terus bangkit berdiri. Matanya tanam merenung aku.
"Kalau, kau rasa kita ini sahabat dan persahabatan ini masih punya harga, kau boleh cari aku di sini. Aku pergi dulu."
Zam berlalu meninggalkan aku termanggu di situ sendiri. Terlalu kasar mungkin bahasaku tadi. Aku bukan bermaksud begitu. Cuma itulah apa yang aku rasakan.
Manusia cukup sukar memahami manusia lain. Tersalah erti seringkali terjadi. Tak apalah. Esok lusa akan aku kemari untuk bertemu Zam sambil bertanyakan khabar berita Bob dan Bidin. Biarlah hatinya sejuk dahulu.
Aku melirik jam di tangan. Menghampiri dua belas malam. Aku membeli sekotak air dan sebungkus roti buat Sofia.
Semoga semangatnya kuat menghadapi ujian kecil ini.
YOU ARE READING
Nama Aku Adam
RandomMak? Mak aku tak macam mak korang. Mak aku paling cantik paling baik dan paling celaka pernah aku kenal. Tapi aku sayang mak aku. Bapak? Entah. Mak kata masa aku lima bulan dalam perut dia, bapak aku mati. Aku Adam dan aku ada kisah nak diceritakan.