Kak Hana

260 2 0
                                    

Kak Hana bukan sebarangan gadis, bukan gadis biasa-biasa. Mungkin pada pandangan manusia biasa dia hanyalah gadis biasa berumur 23 tahun yang sedang melanjutkan pelajarannya di sebuah institusi pengajian awam biasa serta menjalani kehidupan biasa. Tetapi tidak bagi mereka. Kak Hana merupakan insan yang paling dekat di hati mereka. Jasa Kak Hana pada keluarga begitu besar. Tampak sahaja tugas biasa tetapi siapakan tahu dialah tulang belakang keluarga besar ini. Beban yang digalas bukan ringan malah mereka sendiri belum tentu mampu menjadi seperti Kak Hana. Sebab itulah Kak Hana merupakan insan yang paling disayangi oleh mereka.

Kak Hana mempunyai empat beradik. Dia merupakan yang sulung, adik lelaki kembar dua dan seorang lagi adik perempuan. Dan dia jua lah yang paling tua dalam kalangan mereka semua. Sejak kecil, mereka berempat tinggal di rumah pusaka nenek sambil menjaga atuk mereka. Ibu mereka, yang dipanggil Maklong masih bekerja manakala ayah mereka pula tinggal di luar kawasan dan pulang ke rumah sekali sekala. Sering juga mereka akan melawat atuk serta Maklong di rumah pusaka itu. Dan tentu sekali mereka akan bermain dengan adik-adik Kak Hana.

Ketika Kak Hana masih di sekolah menengah, mereka tinggal di rumah nenek kerana ibu bapa mereka semua perlu ke KL untuk menyelesaikan urusan tanah di sana. Sepanjang mereka tinggal di sana, Kak Hanalah yang menjaga makan minum dan pakaian mereka. Kak Najwa yang muda 3 tahun dari Kak Hana sekali sekala membantu kerja rumah. Maklong bekerja di sebuah pejabat kecil manakala arwah nenek meniaga kuih dan tumpang di sebuah warung di pekan untuk menambah pendapatan.

Semenjak keenam-enam sepupunya tinggal di rumah itu, tanggungan dan perbelanjaan semakin menambah. Ibu bapa mereka setiap bulan ada juga menghulurkan duit namun sehinggalah suatu ketika mereka tidak dapat mengirim duit seperti selalu kerana kesempitan wang. Urusan tanah dan mahkamah di sana mendesak kewangan mereka. Maklong dan arwah nenek amat memahami hal itu. Kak Hana juga sebagai yang paling tua paling kuat mengerah tenaga membantu arwah nenek membuat kuih dan mengambil tempahan lebih. Pernah suatu ketika sesi persekolahan akan tiba, Kak Hana mengeluarkan duit simpanannya untuk membeli barangan sekolah mereka. Selepas arwah nenek meninggalkan mereka, kesempitan kewangan keluarga besar itu semakin menambah. Kak Najwa, Abang Shauqi, Abang Aki, Iza dan Nana pernah menghalang Kak Hana daripada menggunakan wang simpanan itu namun Kak Hana berkeras juga untuk mereka.

Beberapa tahun berlalu sehinggalah mereka sudah kembali tinggal di rumah masing-masing dengan keluarga mereka selepas urusan tanah itu selesai ketika Kak Hana baru sahaja memulakan Tingkatan 6. Namun, hubungan mereka masih rapat dan kasih sayang mereka terhadap Kak Hana masih utuh. Mereka begitu prihatin dengan keperluan Kak Hana seolah apa sahaja keperluan rumah itu mereka akan cuba penuhi lebih-lebih lagi setelah pemergian arwah nenek.

Dan keprihatinan mereka tercabar. Sesuatu akan berlaku atau mungkin telah berlaku yang menyebabkan mereka tidak dapat duduk senang. Sayangnya mereka terhadap Kak Hana bukanlah untuk mengongkong kehidupan Kak Hana tetapi mereka mahukan yang terbaik buat Kak Hana. Dua orang adik lelaki Kak Hana- Aqil dan Waqiq yang mengetahui hal ini dahulu kerana mereka tanpa sengaja terdengar perbualan Kak Hana dalam telefon. Nad, adik perempuan bungsu tidak dimaklumkan kerana tidak mahu tingkah laku mereka jadi kekok dan menyebabkan Kak Hana curiga. Tak apa, biarkan sahaja Nad bersikap biasa untuk membantu mereka menyembunyikan rahsia ini.

Abang Shauqi dan Abang Aki antara yang awal diberitahu oleh Aqil dan Waqiq kemudian Iza, Nana dan Kak Najwa. Sepupu-sepapat ini antara golongan generasi yang teratas maka hubungan mereka agak rapat. Terkejut - reaksi yang paling dijangka oleh Aqil dan Waqiq. Namun, setahu-tahu mereka pun mereka berpakat tidak akan membocorkan rahsia ini pada Maklong atau ibu-ibu mereka. Resah. Gelisah. Tidak mampu untuk berdiam dan berbincang dalam kotak sembang Whatsapp semata-mata, mereka berpakat untuk duduk semeja berbincang akan hal ini.

Abang Aki, Abang Shauqi, Kak Najwa, Nana, Iza, Aqil dan Waqiq bersetuju untuk berjumpa di sebuah tempat makan. Setelah kesemua mereka hadir, barulah perbincangan dimulakan.

''Okay. Aqil dan Waqiq, beritahu apa lagi informasi yang kau orang dapat tahu baru-baru ini'', Abang Aki memulakan bicara. Kesemua pasang mata memandang mereka berdua. Sebagai adik Kak Hana dan yang paling dekat dengan Kak Hana, mereka mendapat akses luas untuk mengorek informasi baru dengan menyiasat secara tidak bertauliah.

"Kak Hana akan berjumpa orang tu. Tapi tak tahu lagi di mana dan bila", ujar Aqil.

"Yang lebih merisaukan ialah Kak Hana ada sebut pasal duit," tambah Waqiq.

"Berapa?" Iza dan Nana hampir serentak bertanya.

"Erm...macam ada dalam RM10 ribu...kut?" Waqiq tidak pasti. Perbualan Kak Hana yang diintip oleh Aqil dan Waqiq kurang jelas didengar.

"Banyaknya! Kak Hana ada hutang ke? Ke Kak Hana yang mintak duit banyak tu?" soal Kak Najwa.

"Saya tak pastilah, Kak Najwa. Masa tu tak dengar sangat. Tapi takkanlah Kak Hana ada hutang orang banyak tu?" kerisauan Aqil terserlah.

Semuanya bermula apabila Aqil dan Waqil baru pulang dari kelas tambahan di sekolah petang itu. Mereka merupakan kembar dan pelajar Tingkatan 5. Nad walaupun sudah tiba rumah tengah hari tadi selepas sekolah tidak ada di rumah petang itu kerana pergi keluar bersama atuk mereka ke kedai. Kehadiran kembar itu tidak disedari oleh Kak Hana yang berada di dapur. Waktu itulah Kak Hana sedang menghubungi seseorang di telefonnya. Tanpa disengaja, mereka terdengar perbualan Kak Hana. Kak Hana sepertinya sedang marah-marah. Suaranya keras. Sesekali dia mengeluh kuat dan mendengus. Berang dengan penghubungnya barangkali. Namun tiba-tiba Kak Hana terjerit perkataan yang tidak dijangkakan oleh mereka berdua.

"Kahwin?!"

Jeda sebentar.

"Tapi aku kan tengah busy ni. Kau tak ada orang lain ke?"

Jeda.

"Ughh..."

Jeda.

"Oklah. Bye"

Klik.

Aqil dan Waqiq bergegas masuk ke bilik sebelum kehadiran mereka disedari Kak Hana.

***


Misteri Kak HanaWhere stories live. Discover now