Kantoi

34 1 0
                                    

"Err...pilihan ideal Kak Hana yang macam mana ya? Nad pernah tanya dia tapi Kak Hana cuma cakap orang yang jujur dan kerja keras sahaja", komen Nad.

"Betul jugak. Saya rasa Kak Hana mesti ada sebab kenapa dia pilih Abang Adam. Err...okay, saya faham kalau ada yang tak puas hati macam mana Kak Hana boleh pilih Abang Adam berdasarkan insiden-insiden dahulu. Tapi kita tak boleh buruk sangka dengan niat Abang Adam mahupun Kak Hana sendiri", Zaki turut memberi komen. Selepas komen Zaki, masing-masing terdiam. Bermunasabah diri. Kata-kata Zaki teramatlah benar.

"Betul ya, Kak Hana pilih sendiri Abang Adam? Bukan sebab kena paksa ke apa?", Iza bertanya mahukan kepastian.

"Dan Abang Adam bukan berlakon kan?" tambah Kak Najwa.

"Betul Abang Adam tu kerja keras dan jujur?" tambah Nana pula.

Melihatkan tiada siapa menjawab soalan-soalan tadi, Abang Aki gegas mengambil pen dan kertas daripada Aqil. Kemudian dia membulatkan nama Abang Adam atas kertas itu sambil berkata, "Okay, set. Kita siasat Abang Adam!". Ketahuilah, sesungguhnya Nad, Aqil, Waqiq dan Zaki sememangnya tidak mampu melawan kedegilan lima sepupu yang sekian lama telah menjadi 'bodyguard' tak bertauliah Kak Hana.

"Nak siasat siapa korang kata?" suara keras itu menyebabkan mereka semua berpaling ke arah pintu rumah. Abang Aki, Abang Shauqi, Kak Najwa, Nana, Iza, Nad, Aqil, Waqiq dan Zaki - semuanya- ternganga.

Arrkkkk!!!

****

Kak Hana menggenggam penumbuk sambil menghantar renungan maut ke setiap wajah di hadapannya. Kerutan di wajah Kak Hana sungguh menakutkan, cukup membuatkan masing-masing terasa badan mereka menggigil. Seolah-olah nyawa di hujung tanduk, mereka tidak sudah berdoa di dalam hati agar Kak Hana tidak menghukum mereka dengan teruk. Kelapan-lapan adik kesayangan Kak Hana duduk sambil menunduk ke bawah di hadapan Kak Hana yang sedang berdiri. Ibarat komander, Kak Hana bertanya keras, "Siapa punya idea buat kerja ni?". Garang sekali bunyinya.

Masing-masing menikus. Tidak pasti siapa yang memulakannya. Atau mungkin tidak mampu lagi mengingat kembali bagaimana ia bermula kerana terlampau takut. Kak Hana menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluh dengan kuat. Sungguh dia marah, malah terasa seperti mahu sahaja dipijak-pijak mereka ini. Perbuatan mereka boleh dikira melanggar privasi dirinya. Kalaulah dia orang luar yang tidak ada hubungan darah dengan mereka, memang dia saman aje kat mahkamah. Sedikit sebanyak, Kak Hana berasa teramat malu kerana mereka sudah tahu siapa Adam dalam hidupnya. Mungkin belum sepenuhnya, tetapi hubungan dia dengan Adam sudah ketahuan. Kalaulah dia tidak pulang awal tadi, mungkin Adam sudah kena belasah lagi macam dulu sebelum dia sempat mengkhabarkan hubungan mereka kepada keluarga. Namun, dia perlu juga bersikap adil. Penjelasan dari mereka perlu diambil berat sebelum Kak Hana membuat apa-apa keputusan.

Melihatkan tiada jawapan daripada mereka, Kak Hana mengeluh lagi. Budak-budak ni, kecik besar kecik besar je aku tengok, getus hati Kak Hana. "Ha, Aki. Ceritakan sejak bila korang buat kerja tak senonoh ni?" arah Kak Hana. Terenjut bahu Abang Aki kerana terkejut namanya dipanggil. Lagak seperti pelajar sekolah didenda cikgu disiplin saje!

Aki menggaru kepala sebelum menjawab, "Err...sejak minggu lepas?"

"Kau orang intip aku ke?" tanya Kak Hana. Hampir semua menggangguk mengiakan pertanyaan Kak Hana. Kak Hana mengeluh lagi. Sungguh tak percaya dia! Patutlah Aqil dan Waqiq beria tanya lokasinya selalu. Ya Allah! Turunkanlah kesabaran kepadanya.

"Pengintipan pertama kat mana?"

"Kat kedai runcit", jawab Abang Shauqi memandangkan dialah orangnya.

"Kedua?"

"Perpustakaan akak", Iza pula menjawab.

"Ketiga?"

"Taman Tasik, Kuala Delta", Kak Najwa mengambil giliran.

Kali ini Kak Hana seperti teringat yang dia pernah berlanggaran dengan seseorang ketika bertemu Jebat. Jadi, Najwalah orangnya. Patutlah dia lari. Kak Hana membuat kesimpulan.

"Keempat?"

"Restoran..." suara Nana tersangkut-sangkut. Ini dah masuk keempat!

"Kelima?" kali ini suaranya akan dalam. Kak Hana berharap ini yang terakhir.

"Taman tasik tu lagi", Nana dan Abang Shauqi menjawab. Mata mereka tertutup kerana mereka tahu kali ini adalah waktu Kak Hana bertemu dengan Abang Adam. Takut untuk melihat reaksi Kak Hana. Mata Kak Hana terbuntang mendengar jawapan itu. Bila lagi kali terakhir dia ke sana selain Ahad lepas kalau sewaktu berjumpa Adam? Kak Hana cuba sabar lagi. Nafas ditarik dalam-dalam.

"Kau orang intip Adam jugak ke?"

Jeda.

"Ya ke tidak?" tekan Kak Hana.

"Err...ya", Abang Shauqi mengaku.

"Ke mana?"

"Rumah dia...dan tasik tu"

"Kenapa kau orang nak intip akak?"

Mereka berpandangan sesama sendiri. Masing-masing cuba membina ayat yang sesuai untuk dijelaskan kepada Kak Hana. Tiba-tiba Waqiq bersuara, "Maaf Kak Hana, kami terdengar akak on the phone hari tu marah-marah. Kami ingat akak ada masalah, jadi kami nak tahu apa masalah tu"

"Masalah apa?"

"Pasal kahwin"

Tersentak Kak Hana mendengar penjelasan itu. Kahwin??? Tang mana pula dia ada cakap pasal kahwin?

"Tapi rupanya bukan akak yang nak kahwin tapi Abang Jebat, kawan akak tu", terang Iza. Barulah Kak Hana dapat meneka pokok pangkal ceritanya.

"Lepas tu macam mana kau orang tahu pasal Adam?"

"Nana kata dia dengar kawan akak kata akak dah berpunya. Jadi kami terus mengintip akak sampai hari Ahad lepas", jawab Kak Najwa.

"Ha, sekarang ni kenapa nak intip Adam pulak? Sebab kes lama tu?"

Mereka semua mengangguk. Kak Hana mengeluh lagi. Alahai, prihatin sungguh mereka semua ni!

"Dah, tak payah buang masa nak intip dia. Macam mana pun dia tu, kau terima je la sebagai bakal abang ipar kau orang", tersentak mereka mendengar kata-kata Kak Hana yang berani itu. Maksudnya memang betullah mereka ada hubungan istimewa. Kak Hana pula sedikit sebanyak terasa malu juga dengan kenyataan berani mati itu tetapi digagahkan jua untuk bersikap serius. Acah seperti komander tak berperasaan. 

"Err...boleh kami tahu sejak bila akak berbaik dengan dia?" Abang Aki memberanikan diri bertanya


Misteri Kak HanaWhere stories live. Discover now