Fasa Tiga

32 2 0
                                    

Aqil menambah Zaki ke dalam grup

Aqil - Zaki cadangkan kita komplot dengan Nad. Dia lagi rapat dgn Kak Hana.

Abang Aki - amboi, baru masuk dah ada cadangan. Advance betul Zaki.

Kak Najwa - hahaha welcome to the gang zaki

Zaki - hehehe spontan je idea. Takde lah, k.hana kan perempuan. Nad pun perempuan. Selalunya benda-benda private ni diorang suka bincang sama diorang je.

Nana - bijaknya kau hahaha apehal kita tak terpikir pun ek?

Aqil - macam tu la ideanya. Sy ada dgn waqiq dan kak iza ni.

Abang Aki - kau orang tak tanya k.hana pasal tu lagi ke?

Aqil - belum hehe sorry.

Abang Shauqi - uiks, apa cer ni? Eh zaki kau balik ke?

Zaki - hai abg shauqi. Haah baru petang tadi.

Kata sepakat dicapai. Mereka akan merekrut Nad sebagai ahli baru juga. Aqil dan Waqiq juga merasakan Nad sesuai untuk mengorek informasi dengan lebih efisien. Kemudian, Aqil masuk ke rumah mencari-cari Nad di ruang tamu. Kelihatan Nad sedang bermain dan berborak dengan Aris dan Iman.

"Kau orang buat apa tu?" tegur Aqil.

"Abang Aqil, Iman dah berjaya masuk level 7 ! tengok ni", si kecil Iman menjawab. Rupanya mereka sedang bermain aplikasi permainan lumba kereta.

"Wah... pandainya Iman. Kak Hana mana?"

"Ada dalam bilik. Nak tidur kut" jawab Nad.

"Awalnya" Aqil menoleh-noleh sekeliling mereka. Maklong dan Paklong sedang menikmati minuman panas dengan atuk sambil berborak. Sememangnya Kak Hana tiada di situ.

"Nad, ikut aku kejap. Ada benda nak cakap"

Nad memandang pelik. Namun dituruti juga permintaan Aqil.

Mereka ke pangkin luar rumah itu. Iza, Waqiq dan Zaki setia menunggu. Apabila terpandangkan mereka, Nad semakin pelik. Macam serius sangat aje bunyinya ni.

Iza memulakan bicara. Menceritakan segala hal dari A hingga Z mengenai misteri Kak Hana itu. Pada awalnya Nad hampir ketawa terbahak-bahak membayangkan tindakan-tindakan lucu sepupu-sepupunya itu. Dia tidak pernah menyangka sebegitu sekali mereka bertindak demi Kak Hana kesayangan mereka itu. Namun, demi memikirkan masa depan kakaknya jua, Nad terbuka hati untuk turut serta dan merahsiakan hal ini daripada sesiapa. Tetapi Nad tidak akan dimasukkan ke dalam kumpulan sembang khas mereka kerana khuatir Kak Hana akan ternampak jika dia sedang bermain dengan telefonnya. Hal ini juga di atas permintaan Nad. Lagipun, dia boleh sahaja menyampaikan apa-apa makluman melalui abang kembarnya itu.

Setelah setuju dengan pelan rancangan mereka, Nad masuk ke bilik untuk tidur usai menunaikan solat Isyak bersama Iman dan Aris di ruang tamu. Dia melihat Kak Hana juga baru sahaja selesai mengerjakan solat Isyak. Sangkanya Kak Hana sudah tidur rupanya dia masih berjaga. Ingatannya kembali kepada perbincangan di pangkin sebentar tadi. Kali ini misi mereka ialah untuk mengetahui siapakah lelaki yang dikatakan sebagai teman lelaki Kak Hana itu. Nad tidak pernah terfikir tentang hal ini - memastikan Kak Hana mendapat pasangan yang ideal - yang tanpa disangka-sangka sepupunya lebih prihatin terhadap Kak Hana berbanding dirinya sendiri. Nad tidak pernah pasti kenapa tetapi yang dia tahu mereka benar-benar sayangkan Kak Hana.

Sejujurnya, Nad seringkali perasan Kak Hana akan tersenyum, tersengih ataupun ketawa seorang diri apabila sibuk bermain dengan telefonnya. Nad pernah usik Kak Hana kalau-kalau dia sedang bersembang dengan teman lelaki atau sekadar crush, namun Kak Hana menafikan dengan menyatakan itu hanyalah perbualan dalam kumpulan sembang kawan kolejnya. Nad tidak pula mempertikaikan lagi kerana dia sendiri faham keadaan itu; kadang-kadang kawan buat lawak bodoh atau menghantar media yang menggelikan hati - Nad sendiri pernah ketawa terbahak-bahak sebab itu. Sebab itu Nad tidak pernah memikirkan hal itu dengan lebih mendalam.

Tetapi, apa yang disampaikan oleh Kak Iza tadi bermain dalam mindanya. Mungkinkah sememangnya Kak Hana ada teman lelaki? Kalau betullah apa yang Kak Nana dengar ketika misi pengintipan itu, maka betullah Kak Hana sudah berpunya.

"Aris dengan Iman dah tidur?" soalan Kak Hana mematikan lamunan Nad.

Nad memandang Kak Hana sebelum menjawab, "Ha, sudah. Dengan Kak Iza kat luar. Tadi Nad bentangkan toto untuk diorang".

Kak Hana sekadar mengangguk. Kemudian dia melompat ke atas katil dan baring disebelah kanan katil. Nad ikut baring sebelahnya sambil berlagak melihat telefonnya. Sesekali Nad cuba mengintai skrin telefon Kak Hana. Namun, kelihatan seperti tiada apa-apa yang boleh membantunya. Akhirnya,  Nad mengambil keputusan untuk bertindak. 

"Tahun depan akak habis belajar kan?"

"Haah. Tinggal praktikal nanti", jawab Kak Hana tanpa memandangnya.

"Oh. Nanti akak nak kerja kat mana? Kat sini je ke atau hijrah tempat lain?"

"Tak tahu lagilah Nad. Tengok rezekilah. Kalau dapat jauh pun akak tak risau, korang kan dah besar" kali ini Kak Hana memandang Nad dengan senyuman.

Nad membalas senyum. "Hmm...cepatnya masa berlalu kan kak? Nanti Nad pun dah nak ambil SPM. Abang Aqil dengan Abang Waqiq pun dah masuk universiti..."

"tu pun kalau diorang nak sambung universiti haha" sambung Nad sambil ketawa kecil.

"Insya Allah adik-adik akak semua berjaya nanti"

"Hmm yelah. Pastu akak pun mungkin akan kahwin"

Kak Hana diam.

"Akak nak kahwin umur berapa?" sengaja Nad bertanyakan seperti itu.

"Hmm...mungkin lepas akak dapat kerja. 26 atau 27 kut?"

"Tak lambat ke? Agak-agaknya akak suka lelaki yang macam mana?" Nad bertanya manja.

Kak Hana tersenyum kecil sebelum mengiringkan badannya ke arah Nad.

"Hahaha. Akak pun tak ada ciri-ciri spesifik lagi. Mungkin yang bekerja keras dan jujur?"

Nad mencebik. Simple betul Kak Hana ni. Cubalah demand lebih sikit.

"Macam ayah ke?"

"Hmm, macam ayah"

Nad cuba pancing lagi. "Akak, kat sekolah kan Nad ada minat seorang budak lelaki ni. Dia suka usik Nad. Kecoh, selalu buat bising. Tapi dia baik sangat dengan Nad. Tapi Nad tak pasti nak bagitahu dia ke tak pasal perasaan Nad ni"

"Nad pasti ke dengan perasaan Nad? Lagipun Nad muda lagi. Takut tu semua mainan perasaan aje"

Nad suka sisi Kak Hana yang satu ini. Rasional dan matang. Kak Hana baru 24 tahun tetapi pemikirannya dan perlakuannya sangat matang, jauh dari umurnya sendiri. Kalau dia menghadapi masalah, dia paling senang menceritakan masalahnya kepada Kak Hana.

"Macam mana nak tahu ?"

"Kalau Nad sekadar sukakan dia sebagai kawan, cukuplah Nad layan dia seperti biasa. Tetapi berbeza kalau Nad sukakan dia sebab Nad kagumkan sesuatu tentang diri dia, cukuplah Nad anggap itu keistimewaan dia. Nad muda lagi. Perasaan seperti yang Nad rasa tu cuma sementara. Nanti dah besar, Nad akan dapat bezakan sendiri."

"Hmm... macam tu. Akak pernah rasa macam tu ke? Sekarang akak dapat bezakan ke? Akak kan dah besar?" soalan Nad membuatkan Kak Hana terkesima. Dia terdiam sebentar sebelum menarik nafas dalam.

"Pernah sekali masa dulu."

"Sekarang?"

Kak Hana menoleh, badannya menghadap siling.

"Insya Allah, nanti akak akan berjumpa dengan yang pasti"

Jawapan Kak Hana tentunya tidak memuaskan hati Nad. Tampaknya Kak Hana masih belum mahu membongkarkan statusnya. Nad mengeluh berat sebelum memejamkan matanya.

Misteri Kak HanaWhere stories live. Discover now