Atuk menuai keledek dari kebun belakang. Aku berhasrat untuk membuat cucur badak dan keria hari minggu itu. Sejak kami tidak lagi mengambil tempahan kuih, jarang lagi kami membuat kuih-kuih seperti ini. Kalau ada permintaan dari sepupu-sepupu atau saudara terdekat, barulah kami dapat mengotorkan tangan ini dengan tepung-tepung kuih.
Tetapi keledeknya banyak sekali. Kuih pun jadi banyak, maka kami agihkan sedikit-sedikit kepada jiran-jiran dan saudara terdekat. Tiba-tiba aku teringatkan nenek Adam. Tapi, makankah dia? Sudah dua bulan aku tidak ke sana, semester satu pun hampir habis. Maksudku, atas sebab apa aku nak ziarah dia? Adam pula sudah tentu aku tidak pernah nampak dia sejak aku tidak lagi ke warung Pak Lan. Entah mengapa aku merajinkan diri ke dapur membuat bubur nasi serta sayur kangkung lalu dibungkus untuk dibawa ke rumah Adam. Dengan kuih-kuih sekali aku bawak, manalah tahu Adila makan kan?
Tiba di sana, aku mengetuk pagar sambil memberi salam. Kemudian, Adila terpacul di balik pintu. Melihatkan aku, dia pun keluar menyambut kehadiranku.
"Kak Hana! Masuklah. Err...tapi abang Adam tak ada. Dia kerja lagi", kata-kata Adila seolah-olah menusuk perasaanku. Aku ada mengharapkan Adam kat sini ke?
"Err.. tak apalah. Cuma nak bagi ni", aku menghulurkan bungkusan plastik itu.
"Apa ni? Sedapnya bau. Eh, Kak Hana masuklah. Nenek ada kat dalam. Lagipun lama tak jumpa akak", aku mengerutkan kening. Sungguh, Adila ni sangat peramah. Berbanding dengan aku yang tersangatlah dingin - bagai langit dengan bumi.
Aku pun masuk ke dalam dan berjumpa dengan nenek. Tak apalah, niatkan hati ziarah orang sakit. Dapat pahala lagi. Tapi, nyanyuk ni kira sakit ke? Hmm, lantaklah. Adila menghidangkan air walaupun aku cuba menolak. Kemudian dia menyuap nenek dengan bubur tadi. Adila berterima kasih atas pemberianku tadi tapi aku hanya membalas dengan senyuman kecil sahaja. Nenek sungguh asyik dengan suapan yang diberikan Adila. Katanya nenek tidak boleh makan kuih-kuih itu tetapi Adam amat menyukai kuih keria. Aku terasa wajahku merona merah yang aku pun tak pasti kenapa.
Setelah itu, kami berborak-borak sambil melayan nenek. Rupanya Adila masih bersekolah menengah dan bakal menghadapi SPM. Muda setahun je dari aku. Adila menyatakan setiap Jumaat hingga Ahad merupakan giliran dia dan Adam menjaga nenek. Hari lain pula nenek dijaga oleh saudara mereka yang lain. Ibu mereka sudah tiada manakala ayah mereka pula kerap kerja di luar kawasan sebagai kelindan lori. Aku sekadar mengangguk sahaja namun tidak pasti sama ada untuk berkongsi kisah aku atau tidak. Namun, aku hanya memberitahu tentang diriku serba sedikit.
Kira-kira 6.30 petang, Adam pulang ke rumah. Terkejut dia melihat kehadiranku. Sebelum menghampiriku, dia menyapa nenek terlebih dahulu dan bertanyakan keadaan dirinya. Seperti biasa, jawapan merepek yang nenek berikan membuatkan kami tertawa.
"Dah lama ke sampai?"
"Erm, bolehlah. Dah senja ni, saya kena balik"
"Eh, cepatnya. Saya baru sampai" aku buat muka toya. Pah tu kalau baru sampai dah kenapa?
"Kak Hana nak solat Maghrib sini dulu pun tak apa. Dila boleh sediakan tempat", pelawa Adila.
Cepat-cepat aku menggeleng. "Eh, tak apa, tak apa. Lagipun akak naik motor, bahaya balik malam", kataku.
Sebelum pulang aku sempat mengusik nenek lalu melangkah keluar dari rumah itu sambil ditemani Adam. Adam mengucapkan terima kasih atas kedatanganku namun aku hanya membalas dengan anggukan sahaja.
YOU ARE READING
Misteri Kak Hana
HumorKak Hana bukan insan biasa-biasa di pandangan mata mereka. Bagi mereka, Kak Hanalah ibu yang mengasihi, ayah yang melindungi. Jasa Kak Hana sedikit pun takkan dilupakan. Kasih sayang mereka terhadap Kak Hana tidak terharga. Apa yang Kak Hana mahukan...