Pengintipan Shauqi

21 1 0
                                    

<Imbas kembali>

Petang Sabtu itu, Iman dan Aris mengajak Nad bermain di kebun belakang rumah. Mereka sedang bermain masak-masak apabila Abang Shauqi memanggil mereka pulang.

"Abang Shauqi, Iman nak aiskrim boleh?"

"Aris pun nak jugak" Abang Shauqi menyengih mendengar permintaan mereka.

"Macam-macamlah kau orang ni. Ha, jom kita pergi kedai", mereka berjalan keluar dari kawasan rumah. Nad pula terus ke rumah untuk membersihkan diri. Pulang dari kedai, Iman merengek kelaparan pula. Mereka sudah jauh meninggalkan lot kedai, jadi untuk berpatah balik amatlah memenatkan.

Abang Shauqi membawa mereka singgah di warung Pak Lan. Memori zaman kecilnya menjengah, menghantar seribu satu rasa. Lama sungguh dia tidak ke sini, lubuk rezeki keluarga itu. Kalau Abang Aki atau Kak Najwa sibuk, dia pula akan menggalas tugas membawa bakul-bakul kuih ke sini. Selalunya dia melaksanakan tugas di rumah sahaja - membasuh kuali periuk, membuang sampah atau menolong membuat kuih sekali. Iza dan Nana banyak menjaga tugas-tugas rumah - membasuh kain, mengemas dan sebagainya. Lantaran itu, dia jarang berjumpa Pak Lan atau isterinya. Tetapi, ada satu momen yang tidak akan dilupakannya di warung itu. Momen dia dan lain-lain 'mengajar' seorang lelaki yang mengganggu Kak Hana. Menurut Abang Aki dan Kak Najwa, lelaki itu mungkin bekerja sebagai posmen atau mungkin kerani. Apa yang pasti dia turut pernah menyaksikan Kak Hana dikejar oleh lelaki itu sehingga ke rumah. Kali kedua Kak Hana diganggu, mereka terus ke warung itu selepas Kak Hana mengadu kepada mereka. Abang Shauqi ketawa kecil. Terasa kesian pula dengan lelaki itu. Mungkin mereka ni overprotective dengan Kak Hana.

"Kita nak beli apa Abang Shauqi?" soalan Iman mematikan lamunan Abang Shauqi. Dia menoleh ke arah Iman. "Sorry. Hehehe...ada kek coklat kat sini. Iman nak?" Iman mengangguk. Dia dan Aris kemudian duduk di sebuah meja sementara Abang Shauqi mendapatkan kek coklat yang terisi dalam bekas petak kecil lalu membayarnya di kaunter. Kemudian dia duduk bersama Iman dan Aris.

Ketika sedang rehat-rehat itu, Abang Shauqi terlihat seseorang yang dia seperti kenali. Namun, wajahnya terlindung dengan cermin mata gelap yang dipakai.

"Pak Lan tak ada ke?" tanya lelaki itu kepada pekerja di kaunter.

"Ada kat dalam. Nak saya panggilkan ke?" lelaki itu mengangguk. Seketika kemudian, Pak Lan keluar dari dalam dapur menyambut lelaki tadi.

"Pak Lan, ingat saya lagi tak?" lelaki itu tersenyum lebar seraya menanggalkan cermin mata hitamnya. Dan saat itu, mata Abang Shauqi terbeliak. Lelaki ni...

"Abang Shauqi kenapa? Macam nampak hantu aje", tegur Aris. Terkulat-kulat Abang Shauqi apabila dia ditegur Aris. "Jom balik. Nak senja ni", kata Iman. Abang Shauqi mengangguk namun dia berat hati untuk beredar sekarang.

Ingin sahaja dia menyapa lelaki tadi tapi lelaki itu sedang rancak berborak dengan Pak Lan. Tampak gayanya seperti mereka sudah lama tidak berjumpa. Adakah lelaki itu sudah berpindah dan baru pulang hari ini? Seingat dia pun, sejak peritiwa itu pun Abang Aki dan Kak Najwa tidak pernah lagi menyatakan kelibat lelaki ini. Separuh hatinya mengasak dirinya untuk memohon maaf atas keterlanjurannya sebelum ini. Maklumlah, waktu itu mereka masih kecil dan nakal. Mereka tidak patut bertindak seperti itu. Mungkin lelaki itu pun bukanlah berniat jahat seperti yang disangkakan sebelum ini. Serba salah Abang Shauqi jadinya apabila teringat-ingat tindakannya terhadap lelaki itu. Iman sudah menarik-narik lengan Abang Shauqi untuk pulang ke rumah. Dengan berat hati, dia pun menuruti Iman dan Aris. Dia berhasrat ingin datang kembali esok hari.

Abang Shauqi datang kembali ke warung Pak Lan pada pukul 12 tengah hari. Dia hanya mengagak dan mencuba nasib kalau-kalau lelaki itu akan makan tengah hari di warung Pak Lan. Tiba sahaja di sana dia membeli nasi bungkus kemudian masuk semula ke keretanya untuk mengintip dari luar. Lebih kurang setengah jam selepas Abang Shauqi selesai makan, dia mendapati lelaki itu datang ke warung tersebut. Lega hatinya dapat berjumpa semula lelaki itu. Abang Shauqi pun keluar dari kereta dan menuju ke warung itu semula.

Ketika dia cuba menghampiri lelaki itu, dia baru perasan lelaki itu sedang menelefon seseorang. Tidak ingin mengganggu, dia menapak ke meja sebelah dan duduk menunggu lelaki itu selesai dengan urusannya. Sejujurnya Abang Shauqi tidak berniat ingin mendengar perbualan lelaki itu tetapi dia hampir terjatuh kerusi apabila terdengarkan lelaki itu memanggil si pemanggil 'Hana'.

Dahinya berkerut seribu. Dia tahu dan sedar dalam dunia ini ada jutaan manusia lagi bernama Hana tetapi dia tidak dapat menahan dirinya daripada mendengar perbualan itu senyap-senyap. Cuba berlagak biasa, dia mengeluarkan telefon dan buat-buat sibuk sambil mencuri dengar.

"Saya baru sampai kat warung nak makan. Nanti lepas Zohor saya gerak ke sanalah"

Jeda.

"Okay, Hana. Tasik pun tasiklah"

Jeda. Kemudian lelaki itu tertawa kecil.

"Tak apa, saya belanja. Awak cakap je nak makan apa"

Jeda.

"Haah minggu ni je. Sorry ya awak"

Jeda.

"Oklah saya nak makan. Nanti-nanti kita borak"

Jeda.

"Waalaikumussalam, Hana. Bye"

Klik.

Terkebil-kebil Abang Shauqi mendengar perbualan itu. Pertamanya, dia terasa meremang bulu roma mendengar perbualan itu. Walaupun tak adalah manis sangat pun tapi sebagai lelaki yang belum pernah lagi ada minat untuk memikat awek, sumpah dia geli dengar. Kedua, lelaki itu dengan 'Hana' akan berjumpa petang ini. Which means by any chance it was Kak Hana sebab Waqiq kata Kak Hana nak keluar. Oh Tuhan, katakan ini semua salah. Sungguh Abang Shauqi tidak dapat membayangkan hubungan antara lelaki itu dengan Kak Hana. Lelaki yang pernah mereka cuba jauhkan dari Kak Hana. Lelaki yang mengejar Kak Hana mereka sampai ke rumah! Lelaki yang mereka pernah buli itu?! Oh Tuhan...Oh Tuhan...

Namun Abang Shauqi cuba merasionalkan diri. Dia tiba-tiba tak jadi pula ingin menyapa lelaki itu. Dia mengambil keputusan untuk mengekori lelaki ini dari jauh. Maka dia pun keluar semula dari warung itu tanpa disedari oleh lelaki tersebut dan masuk ke dalam kereta. Sebelum masuk waktu Zohor, lelaki itu beredar bersama sebungkus nasi dengan menaiki keretanya. Abang Shauqi mengekori dari jauh.

Mereka tiba di sebuah kawasan perumahan. Ternyata lelaki ini pulang ke rumah dahulu. Mungkin untuk solat Zohor dulu. Azan sudah berkumandang. 10 minit kemudian masih tiada pergerakan. Abang Shauqi melihat Whatsapp. Aqil mengkhabarkan pemergian Kak Hana. Tapi tidak berjaya mendapatkan lokasi ke mana dia pergi. Dia bersabar lagi. Kemudian, kelihatan dari jauh lelaki itu keluar dari rumah lalu beredar dengan kereta Iriz miliknya.

Dalam perjalanan mengekori lelaki itu, Aqil kecoh memanggil Nana. Pada mulanya dia buat tak tahu sahaja tetapi apabila Nana mengatakan Kak Hana pergi ke tasik, dia mula panas punggung. Firasatnya berat menyatakan 'Hana' yang ditelefon lelaki tadi adalah Kak Hana mereka!

Setibanya di sana, andaiannya bukan lagi andaian. Malah, mimpi ngeri menjadi nyata!

Misteri Kak HanaWhere stories live. Discover now