"Hello, akak. Akak kat mana?" Waqiq menelefon akaknya.
"Kat luar ni. Ada hal. Ada apa?", ujar Kak Hana.
"Err... Waqiq ingat nak minta kirim baranglah"
"Haa, apa dia?"
Ish, bagi je la tau kat mana. Macam mana ni? Waqiq menjerit dalam hati.
"Err...akak kat mana? Kalau jauh tempatnya takpelah. Nanti Waqiq minta Abang Shauqi hantarkan" Waqiq sengaja memberi alasan. Padahal kalau dekat pun, boleh sahaja minta tolong Abang Shauqi.
"Oh, akak ada kat Kuala Delta".
"Kuala Delta mana?"
"Hmm? Kawasan taman tasik. Nak apa? Kalau balik akak singgah je la mana-mana"
Fuh! Akhirnya. Waqiq tersenyum.
"Err...belikan pen biru dengan kertas A4. Dah habislah kat rumah"
Jawapan Waqiq menyebabkan Kak Hana keliru. Permintaannya sangat mudah tapi kenapa sampai beralasan minta tolong Abang Shauqi? Sedangkan dengan ibu mereka pun Waqiq boleh kirim barangseperti itu. Dari mana datang pasal Abang Shauqi, ya? Oh, sebab pasal tempat. Kak Hana berfikir sejenak. Waqiq beria ingin tahu lokasinya. Ini menambah keraguan di hati Kak Hana. Seperti mengesyaki sesuatu, Kak Hana cuba bertanyakan beberapa soalan.
"Hmm...okay. Kenapa tak minta tolong ibu je? Akak mungkin balik lewat."
Waqiq terdiam. Eik, tak pernah-pernah Kak Hana berkira dengan mereka selama ni. Kenapa dia tanya tiba-tiba ni?
"Erm... akak tak cakap pun balik lewat. Ingatkan akak keluar pergi kedai aje. Hehehe", kalau Kak Hana nampak wajahnya yang sedang sengih palsu ni memang terbongkarlah rancangan mereka!
"Oh, tadi bukan kau orang keluar dengan Abang Aki ke? Kau orang pergi mana?" tanya Kak Hana lagi. Walaupun berbunyi nada merajuk-kerana keluar berjalan tanpa mengajak Kak Hana- namun Waqiq tak merasakan Kak Hana merajuk. Sebaliknya dia merasakan Kak Hana seolah dapat menghidu sesuatu. Tetapi Waqiq cuba menenangkan hati. Mungkin Kak Hana cuma mengambil berat akan mereka.
"Keluar makan. Tapi Abang Aki sebenarnya nak ajak akak tapi dia kata takpelah sebab Kak Najwa dengan yang lain tak dapat datang pun", bohong Waqiq. Aqil yang sedari tadi mendengar perbualan mereka memandang pelik. Apa kes ni sampai lama sangat nak tahu lokasi Kak Hana?
Waqiq membuat isyarat kecemasan kepada Aqil. Dengan telepati kembar, Aqil memahami maksud Waqiq. Segera dia menjerit dari jauh, "Waqiq, atuk panggil!"
"Ha? Okay! Kak Hana, bye!"
Klik.
Kak Hana memandang telefon bimbitnya dengan kerutan di wajahnya.
"Kau kenapa lama sangat? Kak Hana kat mana?" cepat-cepat Aqil bertanya.
"Kuala Delta. Aku syak Kak Hana macam tahu-tahu aje. Dia tanya aku macam-macam pulak!"
"Kau biar betul?!"
Tanpa menunggu lagi seminit hatta sedetik pun, Aqil memaklumkan hal itu di dalam kumpulan sembang Whatsapp.
****
Kali ini giliran Kak Najwa mengekori Kak Hana. Dia mengenakan cardigan labuh serta selendang labuh untuk menutup separuh wajahnya. Bersertakan topi hitam dan cermin mata gelap, dia mencari-cari Kak Hana di kawasan taman Kuala Delta itu. Taman tasik itu agak luas, namun petang itu tidak ramai orang lagi tiba di situ. Kak Najwa pantas mengecam Kak Hana yang sedang duduk di sebuah bangku batu dengan seorang lelaki. Terkejut bukan kepalang lagi apabila Kak Najwa melihat mereka. Mungkin inilah lelaki yang mereka tercari-cari itu? Mungkinkah Kak Hana kena peras ugut? Dipaksa kahwin? Tak, mungkin tolong aje kut. Pelbagai andaian dan kebarangkalian yang bermain dalam mindanya. Inilah masanya, peluang bagi Kak Najwa mendapatkan informasi atau sekaligus menyelesaikan misteri Kak Hana.
Kak Najwa segera mendekatkan diri dengan pasangan itu. Dia buat-buat melalui belakang mereka dan memperlahankan langkahnya. Susah juga ni, kawasan mereka agak terbuka dan tiada tempat menyorak yang sesuai. Lebih-lebih lagi, dia perlu mendegar butiran perbualan mereka tanpa disedari Kak Hana. Tampaknya mereka berborak seperti biasa tetapi Kak Najwa perlu tahu butirannya. Wajah Kak Hana biasa-biasa. Kak Najwa mula menyangka lelaki itu mungkin teman lelaki Kak Hana tetapi reaksinya yang membosankan seolah-olah membidas andaiannya sendiri. Kak Hana tidak pula marah-marah, maksudnya lelaki ini mungkin tidak pun memaksanya apa-apa. Habis, apa yang berlaku sebenarnya? Siapa kahwin siapa? RM10 ribu? Tolong?
"Itulah, Hana. Aku pun tak sangka. Jodoh agaknya"
"Baguslah kalau macam tu. Bila nak beli cincinnya?", soal Kak Hana. Terenjut bahu Kak Najwa mendengarnya.
"Esok. Kau ikutlah sekali ya. Aku tak pandai pilih sendiri. Please"
"Hahaha. Okay je kut", tanpa disangka Kak Najwa, Kak Hana dan lelaki itu bangkit dari tempat duduk mereka lantas terlanggar Kak Najwa. OH MY GOD! Matilah aku. Kak Najwa menundukkan badannya, konon-konon akibat perlanggaran tadi sedangkan dia cuba menyembunyikan wajahnya dari pandangan Kak Hana. Cepat-cepat dia menutup separuh bawah hidung dengan selandang labuh tadi.
"Eh, sorry!" spontan Kak Hana berkata.
Kak Najwa yakin dia akan diketahui kalau dia membalas ucapan maaf itu dan dia juga bukanlah pandai sangat menyamar. Kak Hana dengannya paling dekat, sudah bertahun tinggal bersama, gerak-geri badannya dan suaranya pasti mudah dicam oleh Kak Hana. Satu sahaja pilihannya kini - lari!
Terkejut Kak Hana apabila wanita itu berlari begitu sahaja tanpa memandangnya. Ucapan maafnya juga tidak dibalas. Walaupun wanita itu menutup wajahnya dengan selendang labuh dan cermin mata gelap, Kak Hana seolah-olah mengenali wanita itu. Wajahnya memaparkan reaksi pelik.
Ketika di dalam kereta, Kak Najwa memberi laporan pengintipannya dalam kumpulan sembang mereka. Ramai juga yang mengecam kecuaiannya namun misi pengintipan mereka tidak habis di situ. Kak Najwa melihat dari jauh Kak Hana dan lelaki itu memasuki sebuah restoran. Kali ini mustahil baginya untuk mengintip lagi kerana tidak mungkin baginya memakai pakaian yang sama.
Oleh itu, Nana menyambut tugasan ini. Dia yang baru sahaja tiba di Kuala Delta itu segera ke lokasi yang diberitahu oleh kakaknya. Dengan buku di tangan, Nana berpura-pura membaca di sebuah meja, membelakangi Kak Hana. Topinya ditundukkan sedikit, menutupi separuh cermin mata gelapnya. Sementara Kak Najwa menunggu sahaja di dalam keretanya.
YOU ARE READING
Misteri Kak Hana
HumorKak Hana bukan insan biasa-biasa di pandangan mata mereka. Bagi mereka, Kak Hanalah ibu yang mengasihi, ayah yang melindungi. Jasa Kak Hana sedikit pun takkan dilupakan. Kasih sayang mereka terhadap Kak Hana tidak terharga. Apa yang Kak Hana mahukan...