Pesan 21

12 2 2
                                    

Sahabat,

Mati itu pasti, hidup insya-Allah.

Mesti kau pernah dengar kata-kata ini, kan sahabat? Dah terlalu ramai orang ungkapkan kata-kata sebegini. Baik dari orang luar atau dalam bahan bacaan yang kau belek setiap hari.

Mati itu pasti, sahabat. Cuma tarikhnya saja kita tidak tahu. Mungkin esok, lusa, tulat atau sebentar sahaja lagi. Boleh jadi saat kita mengelipkan mata, itu adalah kelipan yang terakhir.

Tuhan pernah berfirman dalam kalamnya yang bermaksud:

"Setiap jiwa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu..." (Surah Ali Imran, ayat 185)

Lihatlah, sahabat. Tuhan sendiri menjanjikan mati itu pasti. Bukan 'rasa-rasa' atau 'agak-agak'. Tetapi pasti.

Persoalannya sekarang, bersediakah kita? Kau dan aku, sudah sedia menempuh saat ajal tiba? Bersedia untuk berhadapan dengan sakaratul maut di mana baginda Rasulullah sendiri merasakan kesakitan yang sama?

Duhai sahabat, apa yang penting sekarang ini adalah bekalan. Kau siapkan bekalan, begitu juga aku. Bekalan ini adalah persediaan yang akan membantu saat kita mati kelak, sahabat.

Satu hadis ada menyebut:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim No. 1631)

Pesan aku, sahabat, mudah sahaja. Aku tahu kau akan mudah hadam dengan pesanan ini.

Pertama, banyakkan bersedekah tidak kiralah dalam apa sahaja bentuk. Sedekah ini bukan terhad kepada wang ringgit sahaja. Kau boleh beri sedekah dalam bentuk senyuman, harta, apa sahaja. Lakukan sedekah itu dengan ikhlas, sahabat.

Kedua, jika kau punya ilmu yang baik, sebarkan. Jangan kedekut dengan ilmu yang ada. Ilmu itu tujuannya adalah untuk disebarkan dan bukannya diperam. Pastikan juga yang disebar luas itu adalah ilmu yang muluk-muluk.

Ketiga, bagi mereka yang mempunyai anak, didiklah mereka supaya menjadi insan yang soleh dan solehah. Bukan apa, sahabat, ini bagi memudahkan kau di alam sana nanti. Anak-anak ini jika hasilnya soleh dan solehah, pasti akan mendoakan kesenangan kau kelak. Percayalah.

Cukuplah setakat itu, sahabat. Dah habis panjang aku membebel. Nanti kau bosan pula. Kau fikirkanlah baik-baik. Semoga hidup kita berakhir dengan husnul khatimah, sahabat.

Salam sayang, aku rindu sayang kau, sahabat. Muah!

Muhamad Fazrin,
Budak OKU yang pasti akan mati.

#PesanBudakOKUWhere stories live. Discover now