Tubuhku bergerak sedikit, mata dibuka dan dapat kurasakan Nik masih mendakap tubuhku. Dalam kesamaran cahaya, aku melihat wajahnya yang sedang lena. Nafas Nik Fatah dihela teratur nampak begitu tenang.
Aku mengerling seketika jam di dinding. Baru jam 5.00 pagi. Entah kenapa aku boleh terjaga waktu begini. Nafas dihela perlahan. Wajah Nik kutilik semula. Nik memang tidak sekacak Ed. Tetapi senyuman dia yang sering membuatkan aku selalu hampir sahaja kalah dengan perasaanku sendiri.
Kelopak mata Nik Fatah dipandang lama. Matanya itu selalu memandangku dengan penuh cinta. Di matanya aku seorang yang begitu sempurna sedangkan aku begitu banyak cacat cela. Hidung Nik tidak begitu mancung tapi elok terletak. Bibirnya... bibirnya itu yang selalu buatkan aku ketagih sejak kebelakangan ini. Nik selalu mengucup aku dengan penuh kasih dan cinta. Penuh kelembutan dan perasaan cinta walaupun aku lagi suka kucupan rakus.
Bibir Nik Fatah kusentuh dan dimainkan sedikit. Tersenyum aku apabila bibir Nik bergerak sedikit bila terasa tidurnya terganggu.
"Nik..." Aku memanggilnya perlahan.
Diam.
"Nik Fatah..." Lengannya kugoyangkan sedikit.
Dengan perlahan, Nik membuka kelopak matanya. Dia bergerak sedikit. Matanya digosok sebelum dia memberi tumpuan pada wajahku di sebalik kesamaran cahaya.
"Ada apa Dhia?" Suaranya kedengaran serak.
"Tak mandi lagi, dah pukul lima suku, kejap lagi nak solat," ucapku perlahan.
"Dhia solat sekali eh?" Pipiku diusap lembut. Anak mataku direnung dan entah kenapa saat itu jantung aku berdegup laju.
"Er, okey." Anggukan kecil diberi.
Nik menarik senyuman yang cukup manis dalam keadaan matanya kuyu. Dia memejamkan mata seketika. Seminit kemudian dia membuka mata semula. Wajahku dipandang lagi.
"Abang sayangkan Dhia. Tak kira apa pun berlaku, abang akan terus bersama Dhia dan bimbing Dhia," ucapnya tiba-tiba.
Aku menelan air liur. Kelu tidak mampu untuk membalas. Aku kematian kata-kata. Renungannya kupandang dan tangannya yang berada di pinggangku sedikit bergerak.
"Ada sekolah tak hari ini?" Aku cuba menukar topik perbualan.
Dia senyum lagi. "Hari ini kan Sabtu. Mana ada kelas. Tapi malam ni abang nak Dhia teman abang pergi majlis hari jadi satu cikgu ni. Dhia dah janjikan dengan abang malam tadi?" soalnya lembut.
"Janji? Mana ada..." Dahiku sedikit berkerut.
"Ingat tak malam tadi?" Hidungku dicuit.
Ingatanku kembali mengimbas semula apa yang aku katakan malam tadi. Terus aku menepuk dahi apabila aku teringat janjiku padanya saat kami ingin menyulam cinta.
"Ingat kan?" Soalnya semula.
Aku mengangguk. "Kalau tarik balik, boleh tak?"
"Mana boleh, abang dah ada isteri, kenalah bawa isteri. Lagipun cikgu-cikgu tu nak sangat tengok isteri abang." Habis berkata begitu Nik menarik tubuhku dekat dengan dadanya. Dia mengeratkan lagi pelukannya. Bahagian atas dahiku dikucup lembut. Terdengar zikir meniti bibirnya. Untuk apa ya.
Berada dalam dakapan Nik Fatah membuatkan aku dapat merasakan degupan jantungnya. Sesaat kemudian ubun-ubunku terasa dikucup.
"Ingat sampai bila-bila, Dhia adalah satu-satunya wanita yang abang paling cinta dan sayang. Jangan sesekali ragu dengan perasaan abang andai satu hari nanti hati Dhia terbuka untuk abang," tutur Nik dengan nada suara separa berbisik.
YOU ARE READING
DHIANA ✔
RomanceStart : 9 sept 2016 End : 17 oct 2016 INI KISAH DHIANA & NIK FATAH Kehadiran dia mengusik naluri wanitaku Mengajar aku bernafas dengan baik Dan.. Memberi aku berjuta cinta agar aku tidak mampu mengemis cinta lelaki lain. Tetapi layakkah wanita seli...