BAB 1

634 19 1
                                    

TERIK mentari kian nemeritkan kulit. Sesekali renik keringat di dahi diseka. Kayuhan basikal dipercepatkan menuju ke jalan pulang. Lima minit kemudian kediamannya kelihatan. Lantas dia melompat turun dari basikal, lalu diheret ke tepi rak kasut.

Tombol pintu dipulas. Berkunci? Wisya melingas pandangan ke rak kasut. Pandangannya tertancap pada kasut hitam milik ibunya. Hairan... masakan pintu berkunci jika ibunya tidak ke mana-mana?

Lantas dia menyeluk ke dalam beg sandang mencari anak kunci. Mujur kunci pendua dibawa bersama. Jika tidak, terpaksalah dia tercongok menanti sehingga Puan Marlia pulang.

Keadaan di dalam rumah senyap sunyi. Dia melangkah ke dapur. Tudung saji di atas meja diangkat. Keluhan kecil terhembus tatkala tiada makanan pun di situ. Perut yang lapar tidak mampu ditahan-tahan lagi. Lantas dia ke peti sejuk, mencari apa-apa yang boleh dimakan. Mujurlah ada sebiji epal hijau di bahagian sayur-sayuran.

Dengan rasa penuh nikmat dia menggigit epal itu. Sebotol air kosong turut dikeluarkan. Dia duduk di kerusi. Sambil mengunyah epal, kepalanya ligat memikirkan Puan Marlia. Kemana ibunya itu pergi barangkali?

Semenjak kematian ayah dua tahun lalu, dia meneruskan kehidupan bersama ibu dan kakaknya, Nardine di Kampung Tanjung Lumpur, Kuantan. Hidup mereka sederhana sahaja. Duit pencen arwah ayah sebagai pengetua sekolah cukup menampung perbelanjaan dia di UiTM Pulau Pinang dan Nardine yang kini sedang melanjutkan pelajaran di UKM.

Nardine sudah jarang pulang ke rumah. Jika cuti semester sekalipun, ada sahaja alasan kakaknya jika disuruh pulang. Namun, tiada apa yang perlu dia pedulikan tentang Nardine.

Pandangannya tertancap pada bilik Puan Marlia yang tertutup rapat. Perlahan-lahan dia menghampiri pintu. Entah kenapa kuat benar hatinya ingin menjenguk kedalam bilik itu. Lantas tombol pintu bilik Puan Marlia dipulas. Daun pintu dikuak lebar. Dia tersentak. Bagai hendak tercabut jantung melihat apa yang sedang disaksikan dengan mata dan kepalanya.

"Mak! Apa yang mak buat ni?" jerit Wisya, menancap pandangan pada Puan Marlia dan seorang lelaki yang tidak dikenali di atas katil dalam keadaan tanpa seurat benang.

Betapa hancur dan luluh perasaannya kala itu. Seorang ibu yang selama ini amat dihormati tegar melakukan perbuatan laknat. Serta-merta air mata mengalir laju menuruni pipi. Dilihat pakaian Puan Marlia dan lelaki itu bersepah di atas lantai. Paling merobekkan hati dan perasaan tatkala tidak ada riak bersalah langsung di wajah ibunya kala itu.

Puan Marlia bangun, lantas bersandar di katil. Selimut yang menutupi bahagian tubuhnya ditarik. Si jantan bermuka selamba duduk berlunjur di situ.

"Wisya tak sangka mak macam ni! Sanggup mak buat benda terkutuk ni!" Sungguh, perasaan dan hati Wisya tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Nafasnya turun naik mendesah sedikit kuat. Terasa sempit ruang dadanya kala ini melihat kelakuan ibunya kala itu.

Seorang wanita yang cukup disanjung selama ini tegar mengadakan hubungan terlarang dengan lelaki lain. Dia hampir rebah di situ, namun dikuatkan hatinya menghadap Puan Marlia dan lelaki muda yang tidak dikenali itu. Hatinya membengkak geram tatkala melihat wajah lelaki itu yang tersenyum sinis ke arahnya.

"Kenapa, mak? Kenapa buat macam ni?" soal Wisya dengan juraian air mata yang tidak mampu ditahan lagi. Dia tidak sanggup melihat ibunya dalam keadaan itu.

"Apa salahnya? Aku sunyi. Tak ada orang nak teman aku. Kau budak- budak apa tahu?" ujar Puan Marlia dengan riak wajah yang bersahaja.

Jawapan Marlia sekadar mencipta lagi air mata Wisya. "Tak salah mak kata? Mak, mak sedar tak yang perbuatan mak ni berdosa besar? Wisya tak pernah larang kalau mak nak berkahwin, tapi apa yang mak dah buat ni haram di sisi agama. Berzina tu dosa besar, mak." Dia bersuara luluh.

Curi-curi SukaWhere stories live. Discover now