BENARLAH... mengisi rasa benci itu sekadar menyakitkan hati sendiri. Namun demi rezeki, ditekadkan hati untuk menghadap wajah Ezroy yang menjengkelkan di kediaman itu hampir setiap hari.
Hari ini, dia bakal memulakan 'kerjaya' sementaranya. Sejak dalam perjalanan dari rumah, hatinya tidak putus-putus berdoa. Semoga selama dia bakal di situ, semuanya akan baik-baik sahaja. Namun hati ini masih jua tidak tenang.
Sekali lagi, kedatangannya disambut oleh nek wan. Kasihan orang tua itu. Ada cucu di dalam rumah, tapi buka pintu pun malas. Telahnya tidak semena-mena.
Lama juga dia menanti di ruang tamu menunggu Zaryn yang sedang bersiap-siap di tingkat atas. Hai, sepatutnya yang hendak belajar menunggu orang yang mengajar. Dia merungut sendirian.
Seketika dia melingas pandangan ke beberapa ruang. Segala hiasan dan kelengkapan yang ada tampak cantik di mata. Jika sebegini indah hasil tangan dan ciptaan manusia, bagaimana pula indahnya syurga Allah ya?
"Hai..." satu suara menyapa.
Wisya tersentak. Sesusuk tubuh tinggi lampai sedang berdiri di depannya. Cantiknya dia! Ya, itulah pengamatan pertamanya tatkala melihat wajah itu. Kalau nak banding dengan aku ni... heh...
"I'm Zaryn.. Just call me Erin." Zaryn memperkenalkan diri dengan ekspresi muka yang kurang menyenangkan. Matanya memerhati Wisya dari atas hingga ke bawah.
"Wisya. Panggil aje Kak Wisya," balas Wisya, cuba menjadi mesra. Sedangkan hatinya sudah mula merasai 'kepanasan' gadis sekolah menengah di hadapannya itu. Hilang pula rasa nak menilik wajah itu dengan lebih asyik.
Seketika dia mengamati raut wajah Zaryn yang tegang tanpa senyuman. Sebagai manusia biasa, dia juga biasa menilai seseorang berdasarkan impresi awal. Roman wajah yang tidak mesra menghantar persepsi sendiri di hatinya. Dia menaruh syak, Zaryn agak sombong orangnya.
"Dah lama ke tunggu?" soal Zaryn sambil mengambil tempat duduk di hadapan Wisya.
"Baru aje." Baru aje? Heh! Bagai nak pecah buntut aku menunggu dia. Nasib baik rumah ni ada air-conditioner.
"So, what do you want to teach?" tanya Zaryn tanpa senyuman. Pandangannya tajam menikam wajah Wisya.
Wisya bungkam seketika tatkala mendengar dialek english yang dituturkan Zaryn. Amerika sungguh budak ni! "Fizik, Add Maths, Maths..." cuba digariskan senyuman seikhlas hati yang mungkin.
"History." pantas Zaryn memotong.
Wisya mengangguk tenang. Apa? Ingat budak engineering tak tahu Sejarah? Sejarah aku dulu A1 tau.
"Okey.. Fizik, Add Maths dan Sejarah. Boleh?" Soal Zaryn persis menawarkan satu tawaran pada Wisya.
Aku cikgu ke, dia cikgu? Wisya keliru. "Boleh, Erin.. tak ada masalah," jawabnya setenang-tenangnya. Tidak kiralah bagaimana sekalipun cara Zaryn, dia harus bersabar. Niatnya ikhlas mahu menyampaikan ilmu, bukan kerana wang semata-mata. Hatinya terdetik; banyak benar subjek nak kena ajar. "Sekarang ni Erin nak akak buat jadual ataupun Erin nak buat sendiri?"
Zaryn terdiam. Dia menongkat dagu seakan-akan sedang berfikir. Beberapa saat kemudian dia membuka mulut. "Kita berdua yang buat. That will be the best," ujarnya sambil menarik sehelai kertas kajang dari fail yang dibawa tadi. Tangannya ligat melakar sesuatu di kertas tersebut.
Wisya hanya memerhati sebelum mereka berdua berbincang menentukan jadual dan subjek yang bakal diajar olehWisya. Sepanjang perbincangan, kian terasa sikap mesra Zaryn. Nyata dia salah menilai gadis itu. Maka, impresi awal tidak seharusnya dijadikan panduan untuk menilai seseorang.
****
YOU ARE READING
Curi-curi Suka
RomanceWalaupun dibuang ibu dan kakak kandung, Wisya tabah berdepan dengan apa jua rintangan. Dengan titik peluh sendiri dan sokongan kawan-kawan, dia berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah. Insiden jatuh tangga si perpustakaan membuatkan...