"BOLEH saya duduk sini?"
Wisya mendongak. Sesudu mi goreng yang baru disuap ke mulut belum sempat ditelan. Daniel sudah menyengih di depannya. Sempat dilingas pandangan ke sekeliling kafeteria tersebut. Melihat kalau-kalau ada mata yang memandang. Benar telahannya, dia sedang menjadi tumpuan ramai di situ. Tentu kerana Daniel hadir menghampirinya. Satu kelebihan barangkali jika berwajah Pan-Asian.
"Duduklah kalau tak malu," balas Wisya bersahaja, lalu menelan mi goreng ke dalam mulut.
Daniel tertawa kecil. Tanpa menanti, terus dia duduk di kerusi kosong di hadapan Wisya.
"Nak malu apa? Bukan buat apa pun kan? Hmm... makan sorang aje ke?"
"Dah tu, kau tengok ada orang lain ke kat sebelah aku ni? Ada?" Wisya membidas. Dia sendiri tidak menyangka boleh berperwatakan sombong seperti itu.
Daniel tersenyum menerima jawapan pedas daripada gadis itu. "Tak adalah... manalah tau kalau-kalau tengah tunggu orang ke? Kalau ada, tak jadilah saya duduk sini."
"Tak ada. Duduk ajelah. Bukan kena bayar pun." kali ini, suara Wisya mendatar. Fokusnya hanya pada mi yang sedang dimakan. Beberapa lama Daniel mendiamkan diri sehingga membuatkan dia melihat lelaki itu. Dilihat pemuda itu sedang tersenyum memandang ke arahnya.
"Kau tak makan?" soal Wisya, sengaja meramahkan mulut. Padahal, seleranya sudah mati menghadap wajah pemuda itu. Dan sesungguhnya, dia terpegun melihat cara Daniel tersenyum. Namun dalam pada itu, habis juga mi goreng di pinggan. Membazir itu amalan syaitan. Ye dok?
"Dah makan tadi kat rumah. Breakfast ke ni?" soal Daniel sambil menunjuk pinggan Wisya yang sudah licin.
Wisya menyelak lengan baju kurungnya, menilik waktu di jam tangan. Pukul 11.30 pagi. "Brunch..."
"No lunch?" soal Daniel seakan takjub.
"Just hi-tea..." balas Wisya malas-malas. Hi-tea konon. Padahal pulang dari kelas, menyinggah ke kedai mamak dulu membeli masakan panas melantak sampai kembung."Wow... tak makan sampai malam?"
Wisya mengangguk ala gaya profesional. Apa motif lelaki ni duduk di sini menemu ramah aku bagai?
Kedinginan Wisya jelas kelihatan. Gelagat gadis itu Daniel perhatikan. Giginya bergerak-gerak di hujung straw.
"Kau ni tak ada kerja lain ke?" soal Wisya, tidak mampu lagi mengawal intonasi kurang senangnya itu.
Daniel tertawa. Lucu dengan ekspresi wajah Wisya ketika itu. "Sebab tak ada kerjalah ni, Cik Wisya. Err... boleh ke panggil Wisya?" ada senyuman yang terukir pada bibir Daniel tika itu. Entah kenapa hatinya bagai digeletek rasa lucu.
Wisya buat muka. Tidak sedar ekspresinya sangat melebih. Barangkali sudah terlalu meluat sehingga tidak boleh dikawal-kawal lagi. Oh... tragedi jatuh tangga itu sungguh berpanjangan kesannya.
"Sorry about that morning. Kita orang bergurau aje, tapi saya memang ikhlas ajak awak tumpang kereta saya."
"Oh... bergurau ke? Hahaha... sukalah awak bergurau macam tu. Terhibur sangat hati ni! Ada juga hiburan kat kampus ni kan?" balas Wisya, dramatik dengan tangan di dada. Penuh aksi. Bergurau kepala otak dia. Kalau aku ada sakit lemah jantung, sah-sah mati keras kat tepi jalan tu.
Daniel ketawa. Reaksi Wisya mencuit hati. "I'm serious."
"So?"
"Saya belanja awak makan malam ni boleh?"
Buat kesekian kali Wisya tertawa plastik. "Untuk apa?"
"For... friend?" balas Daniel. "Haa... don't get me wrong. I just want to atone for my mistake."
YOU ARE READING
Curi-curi Suka
RomanceWalaupun dibuang ibu dan kakak kandung, Wisya tabah berdepan dengan apa jua rintangan. Dengan titik peluh sendiri dan sokongan kawan-kawan, dia berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah. Insiden jatuh tangga si perpustakaan membuatkan...