BAB 7

325 9 0
                                    

"KAU tak rasa dia tu kelakar ke?" Soal Daniel ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sebaik sahaja kelas terakhir mereka tamat. Ketika itu mereka baru sahaja meninggalkan pintu belakang UiTM.

"Siapa?" Soal Ezroy seraya memalingkan muka ke arah Daniel.

"Tipahlah..."

Ezroy tersenyum sinis. Tidak memberi sebarang komen. Matanya meliar memandang kenderaan yang berbaris di persimpangan lampu isyarat di situ.

"Ada sesuatu dalam diri dia. Dia agak berbeza."

Spontan Ezroy tergelak mengalihkan tumpuan ke wajah Daniel. "Beza apa kejadahnya macam tu? Menggelabah aje lebih." Dia jelik bercerita mengenai gadis itu.

"She's funny... a bit clumsy but looks very cool."

"Apa kau merepek ni?" Ezroy semakin tidak mengerti dengan ungkapan-ungkapan rakannya itu. Seketika wajah Wisya terbayang di ruang mata. Mimik wajah gadis itu selepas jatuh tangga menjadi bayangan seketika. Tidak sedar tawanya meletus.

"Apa hal kau ni?" Kening Daniel bertaut. Sekilas dia menjeling Ezroy yang sudah membuang pandangan ke luat tingkap. Tawa lelaki itu sudah terhenti. Benak Daniel diserbu persoalan. Gila apa mamat ni?

****

PINTU rumah dikunci semula. Mata Ezroy meliar ke setiap inci rumah mencari kelibat seseorang. Seketika dia mendongak ke tingkat atas kalau-kalau terlihat bayang yang dicari ada di situ. Namun, keadaan di dalam rumah sepi.

"Nek wan... Roy dah balik ni," teriak Ezroy memanggil neneknya, lantas duduk di sofa. Tiba-tiba matanya menangkap sekujur tubuh berbulu putih yang sedang enak tidur di atas sofa.

"Woi, bangunlah! Aku balik aje kau tidur. Bangun tidur, makan. Habis makan, kau tidur balik. Tak guna betul kau ni! Bangun, bangun, bangun!" tubuh bulat kucing Parsi peliharaan Zaryn, adik bongsunya itu digoncang kuat.

Berdenting-denting bunyi loceng di lehernya tatkala tubuhnya di goyang-goyangkan. Dilihat kucing itu menggeliat malas. Seakan sudah biasa diganggu, dia kembali melelapkan mata.

"Kurang ajar punya kucing. Woi!" jerit Ezroy sekuat hati ke telinga kucing itu. Selagi tubuh bulat berbulu lebat itu tidak mahu bangkit daripada lena, selagi itu dia tidak akan berhenti mengusik.

"Apa yang disakitkan hati sangat dengan si Thomas tu?"

Satu suara mengalihkan tumpuan Ezroy. Kelibat Jamaliah yang baru turun dari tangga berada di depan mata.

"Nek wan buat apa tadi?" soal Ezroy, memandang tepat ke wajah nenek kesayangan itu.

Jamaliah duduk di sisi Thomas. Tubuh montok kucing itu dibelai-belai. "Solat asar tadi. Kenapalah suka sangat menganiaya Thomas ni?"

Pandangan Ezroy terkalih semula ke arah Thomas. Nama kau nak best aje. Thomas konon. Kordi sudah!

"Bulu dia ni bersepah-sepah.. Erin tu tahu ke jaga kucing busuk dia ni? Orang nak duduk berehat kat sofa ni pun tak selesa. Hari-hari dia melepak kat sini. Bulu dia kotorlah, nek wan. Dahlah besar, kuat makan. Makan nak sedap aje. Bagi lauk rebus tak nak. Eii!" rungut Ezroy, lantas menjentik telinga Thomas yang tidak berdosa itu, membuatkan kucing itu beranjak sedikit.

Pantas Jamaliah menepuk tangan Ezroy. "Tengok tu. Sakitlah dia. Kucing... biasalah, bulu luruh sikit-sikit. Tapi tak adalah bersepah-sepah. Mana ada busuk. Mandi pakai syampu antibakteria lagi. Cuba Roy cium bau dia."

"Dari Roy cium kucing besar gedabak ni, baik Roy cium ikan masin kat dalam peti ais tu, nek wan."

"Dah, pergi naik atas solat. Sekejap lagi nak ambil Erin balik tuisyen pulak. Dengan kucing pun jadi kalau bergaduh," suruh Jamaliah sambil menepuk paha Ezroy.

Ezroy pura-pura memejamkan mata. Dia paling lemah tatkala disuruh mengambil Zaryn dari kelas tuisyennya. Adiknya itu bakal menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Oleh itu, jadual hariannya hanya dipenuhi dengan kelas tambahan, tuisyen dan sebagainya. Belajar bagai nak gila.

"Pergi cepat!" gesa Jamaliah kala melihat Ezroy yang masih tidak berganjak. Hidung Ezroy ditarik kuat.

"Adui, nek wan! Sakitlah..." Ezroy menyeringai kesakitan. Jamaliah terkekeh-kekeh ketawa.

****

DARI dalam kereta Ezroy memerhati gelagat Zaryn bersama rakan-rakannya. Terlambai-lambai macam esok dah tak jumpa. Dia hanya menanti dengan sabar sambil pandangannya tidak berkalih melihat setiap langkah Zaryn sehinggalah dia tiba di kereta.

"Dah lama ke sampai?" soal Zaryn ceria sambil meletakkan begnya ke kerusi belakang. Wajah Ezroy dipandang.

"Seminggu dah..." balas Ezroy acuh tidak acuh sambil menghidupkan enjin kereta.

Zaryn mencebik. Sudah dijangka jawapan 'logik' abangnya itu. Ketika bergerak ingin meninggalkan pusat tuisyen, sempat lagi dia melambaikan tangan ke arah rakan-rakannya.

"Oh...kalau balik memang kena lambai tangan macam tu ke?" soal Ezroy  dengan nada mengejek.

"Wajib!" balas Zaryn pantas. Layankan aje abang aku yang biul ni.

"Esok balik naik bas, abang ada kelas sampai malam," beritahu Ezroy.

"Alah...mana Erin tahu naik bas!" protes Zaryn menarik muka.

"Belajarlah. Dah besar. Naik bas pun tak tahu?"

"Tak apalah... Erin suruh kawan hantar." suara yang tadi lantang kian mengendur.

"Kawan?" serentak Ezroy berpaling memandang adiknya. "Kawan mana ni? Jangan nak mengada!"

"Kawanlah... kawan Erin satu tempat tuisyen."

"Lelaki ke perempuan?" soal Ezroy, memperlihatkan dia seorang abang yang tegas. Konon.

Zaryn diam. Tidak membalas.

"Abang tanya ni... kawan tu lelaki ke perempuan?" suara Ezroy bernada tegas.

"Lelak!" balas Zaryn seakan tidak berpuas hati.

"Jangan nak cari pasal. Abang repot kat papa dengan mama, tahulah kau. Amboi, kecil-kecil sudah pandai nak suruh kawan lelaki hantar balik rumah. Siapa ajar ni?"

"Dah tu? Nak suruh Erin naik bas? Gila ke?"

"Eh, eh... budak ni, aku cepuk kang. Hei, naik bas tu lagi selamat dari kau suruh kawan lelaki kau tu hantar tau. Percaya sangat kat orang. Boyfriendlah tu! Kecil-kecil dah pandai nak bercinta!"

Zaryn tidak bersuara. Dia sudah malas melayan abangnya. Kalau dilayan sampai ke rumahlah mulutnya berleter. Pandangannya dihalakan ke luar. Pantas handsfree iPodnya disumbat ke lubang telinga. Tiba-tiba handsfree tersebut ditarik oleh Ezroy.

"Esok abang suruh mama ambil kau. Besar ragam sungguh budak ni! Sama macam kucing kau!" tempelak Ezroy, masih dengan wajah seriusnya. Biar zahirnya seakan dia sedikit kasar terhadap Zaryn, namun jauh di sudut hati dia terlalu ingin melindungi adiknya itu.

****

To be continued...

Curi-curi SukaWhere stories live. Discover now