BAB 4

364 9 0
                                    

MATAWisya tertancap tepat pada angka di dalam lif yang berubah-ubah. Keadaan di dalam lif agak sesak dipenuhi pelajar-pelajar lain. Fenomena biasa pada waktu pagi. Rasa sakit akibat terjatuh semalam masih terasa. Malam semalam serata tubuhnya terasa sengal dan bisa-bisa. Mujurlah kepalanya selamat daripada sebarang hantukan. Jika tidak, terencat seumur hidup.

Sebaik sahaja angka menunjukkan nombor 11, pintu lif terbuka. Perlahan-lahan dia menanti giliran untuk keluar dari lif yang sesak itu. Dia bergegas ke kelasnya. Hari ini dia terpaksa berjalan kaki sendirian ke kelas dek jadual waktu yang tidak sama dengan rakan-rakan serumah yang lain. Kelas mereka harini bermula pada pukul 10.30 pagi.

Dia menyusuri kaki lima menuju ke kelas yang terletak di hujung sekali di tingkat itu. Sedang menapak, tiba-tiba pandangannya tertancap pada seraut wajah yang sedang bergelak ketawa di hadapannya. Serentak matanya menangkap satu lagi wajah yang pernah dilihat sebelum ini. Dia terkesima seketika.

"Hei... " tiba-tiba lelaki berwajah inggeris yang masih tidak diketahui nama itu menegurnya sebelum sempat dia menukar haluan ke arah lain.

"Hai... " sapa Wisya hendak tidak hendak. Seketika dia melingas pandangan ke arah kelasnya yang tidak jauh dari situ.

"Kalau tak salah, awak ni yang jatuh tangga kat library kan?" soal lelaki itu dengan nada mengejek pada senyumannya. Kalaulah boleh ditumbuk muka itu sampai lebam...

Wajah Wisya berubah. Dilihat beberapa orang pelajar lelaki yang lain di situ ketawa terkekeh-kekeh. Hanya seraut wajah sahaja yang mempamerkan reaksi angkuh memandang sinis ke arahnya. Apa kena dengan lelaki itu? Aku pernah Bakar rumah dia ke yang dia nak jeling aku bagai nak juling biji mata macam tu?

"Ya... saya. Kenapa?" balas Wisya dengan nada yang kurang senang. Dia tahu, lelaki kacukan itu sengaja ingin memalukan dia di hadapan rakan-rakannya yang lain. Hatinya panas tiba-tiba.

Pemuda itu tertawa kecil. Mampu mengesan nada kurang senang yang dilemparkan Wisya. "Tak.. saja nak tanya, mana tahu salah orang ke. Janganlah marah. Hmm... Nak ke kelas ke ni?"

Rasa pelik melihat seorang lelaki berwajah inggeris bertutur dalam bahasa Melayu. Namun, laju sahaja mulut Wisya menjawab. "Ada shopping  complex ke kat sini?" perlinya bersahaja melilau seakan-akan mencari 'shopping  complex' yang dimaksudkan. Hatinya mula menyampah menatap wajah-wajah pelajar asing di depannya itu. Jelaslah kini sekumpulan pelajar lelaki yang membuat bising di dalam perpustakaan itu dulu satu fakulti dengannya. Hairannya, belum pernah bertemu dengan mereka sebelum ini.

Ah, jumlah pelajar kejuruteraan elektrik UiTM bukan 30 orang semuanya untuk dicam satu per satu. Tambahan lagi, dia bukan jenis yang suka mengambil tahu tentang orang lain. Dia berkira-kira ingin beredar ke kelas, tiba-tiba lelaki yang pernah dilanggarnya dahulu menghalang.

"Jumpa lagi ya, awak... Kat library waktu yang sama, scene yang sama," ejek lelaki yang dilanggarnya dahulu, lantas disahut dengan tawa dan usikan nakal rakan-rakannya yang lain.

Merona merah wajah Wisya ketika itu. Pantas dia melangkah masuk ke dalam kelas. Sakitnya hati! Ah, pasti sahaja cerita dia jatuh tergolek sudah tersebar meluas di fakulti.

****

BERHATI-HATI Wisya menuruni setiap anak tangga di perpustakaan itu. Seolah-olah ingin dipeluk palang penghadang itu itu sekuat hati ketika melangkah turun. Sungguh dia paranoid dengan kejadian yang menimpanya dahulu. Ikutkan hati, dia tidak mahu mengunjungi perpustakaan buat masa terdekat ini.

Namun, dia tidak punya pilihan tatkala jarak masa untuk kelas seterusnya terlalu suntuk untuk dia pulang ke rumah. Lainlah kalau ada kenderaan untuk berulang-alik. Waktu terluang selama 2 jam itu terlalu singkat untuk dia berjalan kaki. Terpaksa juga dia ke perpustakaan menghabiskan waktu yang ada. Sememangnya itu tempat yang paling selesa jika dibandingkan dengan kafeteria yang dipenuhi ramai orang.

Setelah menghabiskan masa menelaah buku rujukan, akhirnya dia mengemas segala buku dan alat tulisya, lantas meninggalkan perpustakaan.

Ketika menanti di pintu lif untuk ke tingkat atas, telinganya menangkap suara pelajar-pelajar lelaki yang muncul dari arah tangga yang berdekatan dengan tempatnya berdiri. Spontan dia berpaling. Alangkah terkejutnya tatkala melihat dua raut wajah yang sedang mengorak langkah ke arahnya. Lekas dia berpaling semula. Pandangannya dihalakan ke pintu lif. Dalam hati berharap kehadirannya tidak disedari oleh kedua-duanya.

"Hai... Jumpa lagi. Dari library ke?" tegur lelaki berwajah inggeris itu ramah. Senyumannya sudah meleret.

Wisya berpura-pura tidak mendengar dan sibuk menekan kekunci telefon bimbitnya. Entah apa yang dia tekan, dia pun tidak tahu. Minta-mintalah mamat dua orang ni tak naik lif sekali dengan aku nanti. Dia berdoa dalam hati.

"Which floor?" soal lelaki kacukan itu, memandang tepat ke arah Wisya. Jari telunjuknya sudah bersedia di butang nombor di tepi pintu lif itu.

"14." Wisya melarikan pandangan ke arah lain. Dia sudah resah. Hairan. Kenapa jiwanya sangat tidak tenteram setiap kali bertembung dengan kedua-duanya?

"Part berapa erk?" soal lelaki berwajah mat salih itu lagi. Rakannya yang berwajah sombong itu hanya diam menunjukkan wajah angkuhnya seperti biasa. Nak kena lempang ke apa ni? Korang rasa?

"Tujuh." sekilas Wisya mengerling ke arah butang-butang nombor di dalam lif. Didapati kedua-dua lelaki itu juga menuju ke tingkat yang sama.

Sudah berasap rasanya menanti lif bergerak ke tingkat 14. Tidak sanggup lagi bertiga-tigaan dengan lelaki yang tidak dikenali itu. Tiba-tiba matanya tertancap pada nama yang tertera pada jeket fakulti yang dipakai oleh lelaki yang dilanggarnya tempoh hari. Seketika kemudian, matanya terkalih pada jaket yang dipakai lelaki kacukan itu pula.

Serentak pintu lif terbuka. "Belajar rajin-rajin ye awak," tutur pemuda berwajah inggeris itu nakal sebelum mereka terpisah di haluan yang berlainan sebaik sahaja keluar dari lif.

Wisya terus menapak laju. Tidak menghiraukan kedua-duanya. Hatinya benar-benar sakit dengan tingkah mereka yang seakan-akan ingin mengejeknya.

Adakah aku harus menghadap mereka sampai aku habis belajar kat sini? Oh, bakal bernanahlah telinga aku semester ini! (╥_╥)

****

Sorry for late update. Maafkan jikalau ada typo disitu. Btw, enjoy this story yahh..

..Xoxo..

ZATUL #^_^#

Curi-curi SukaWhere stories live. Discover now