BAB 10

307 5 0
                                    

PERUT Wisya sudah berkeroncong. Seminit dua dia cuba fokus pada tugasan berkumpulan yang sedang dilakukan, mencatit data di buku nota dan sebagainya.

Sekilas dia mengerling jam tangan yang sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Tinggal sikit masa lagi lab photovoltatic itu akan tamat. Setengah jam harus dinanti dengan rasa kebulur macam nak pengsan.

"Wisya, lepas ni aku ada hal sikit kat PTA3. Nanti kau balik dulu ya?" Tiba-tiba Dasyila bersuara.

"Okey..." balas Wisya sambil tangannya mencatit sesuatu di dalam buku. Terpaksalah dia makan di kafe fakulti sahaja selepas ini. Berjalan kaki ke rumah sewa dengan perut lapar mahu boleh pitam tepi jalan.

Akhirnya, jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Bagai ingin melompat girang rasanya tatkala kelas sengsara selama 4 jam itu tamat. Tanpa menanti sesiapa, Wisya terus meluru ke kafe. Ramai pelajar masih melepak-lepak di situ. Tanpa mempedulikan mereka, dia terus ke kaunter mendapatkan makanan.

"Nasi ayam satu! Nasi bagi lebih sikit ya? Lepas tu bagi teh ais," pesan Wisya tanpa segan-silu sambil tersenyum ke arah wanita separuh abad pemilik kafe itu.

Seketika dia berpaling ke belakang melihat gelagat pelajar-pelajar di situ. Kebiasaannya, dia jarang makan di situ selepas kelas petang. Oleh kerana Dasyila tidak pulang bersamanya, terpaksalah dia menghadap juga makanan di situ. Kuantitinya yang sedikit menjadikan dia tidak memilih untuk makan di situ. Dia mahu lebih. Bukan tamak tetapi memang dia dasar kuat melantak.

Tidak lama kemudian menu yang dipesan siap. Selepas membayar harga makanan, dia mengangkat pinggan dan gelas untuk beredar. Ketika berpaling, dia terlanggar seseorang di belakangnya. Nasi dan air yang dipegang tertumpah ke baju pelajar lelaki itu sebelum jatuh ke lantai.

"Woi, buta ke?!"

Spontan Wisya mendongak memandang wajah pelajar lelaki itu. Alangkah terkejutnya dia melihat seraut wajah yang cukup dikenali itu.

"Mana kau letak mata kau hah? Eii... habis baju aku!" marah Ezroy sambil mengibas-ngibas jaket makmalnya yang sudah kotor terkena sos kicap nasi ayam.

Saat itu, semua mata sudah tertumpu ke arah mereka. Wisya beristighfar dalam hati. Mengapa setiap kali ada sahaja bencana yang menimpanya setiap kali bertemu dengan pemuda itu? Lantas dia mencapai tisu di kaunter, lalu mengesat kesan kicap dan air yang terpalit pada jaket Ezroy.
"Oii... apa kau buat ni?" Ezroy mengelak. Tangan Wisya ditepis.

Eh, salah ke tindakan aku ni? "Sorry, aku tak sengaja..." Wisya mengaku silapnya. Memang dia terburu-buru kerana lapar tadi. YA ALLAH... rasa tebal muka diperhati dengan begitu asyik sekali. Oh, aku rasa glamer sekarang.

"Lain kali, mata kau tu buka luas-luas sikit masa berjalan!" Ezroy meninggikan suara.

Wisya tersentak. Bagai direnjat seluruh tubuhnya ditengking lelaki itu dikhalayak ramai. Belum sempat dia membuka mulut ingin membalas, cepat sahaja Ezroy beredar pergi. Nak aje aku jerit kuat-kuat biar satu fakulti ni dengar. Eii! 

Sekilas dia melingas memandang yang lain. Ada yang terkebil-kebil, ada yang tersenyum mengejek. Malunya! Dia menahan rasa. Dilihat makanan yang tertumpah tadi dibersihkan oleh pekerja kafe. Seleranya sudah mati. Rasa laparnya juga hilang. Tiada rezeki barangkali. Dia memujuk hati sendiri. Tetapi menangis dalam hati.

Segera dia beredar dari situ. Tidak sanggup lagi diperhati seakan-akan sedang bertelanjang di situ. Ditambah lagi dengan rasa sebal akan sikap Ezroy yang sesuka hati menengkingnya di hadapan pelajar-pelajar lain. Ikutkan saka aku ni, mahu sahaja ditempeleng muka itu. Ikutkan hati ni lagi, nak aje aku kejar mamat tu bagi pelempang Jawa sekali. Tak guna! Bukan aku tak minta maaf! Gumamnya sendirian.

Curi-curi SukaWhere stories live. Discover now