BAB 3

382 10 0
                                    

MENGHARUNGI liku-liku sebagai seorang pelajar Kejuruteraan Elektrik Kuasa bukanlah semudah yang disangka. Apatah lagi ramai yang beranggapan bahawa pengkhususan itu merupakan antara yang paling sukar jika dibandingkan dengan pengkhususan yang lain.

Tambahan lagi bilangan yang mengambil bidang itu lebih ramai lelaki jika dibandingkan dengan perempuan menjadikan ia amat mencabar bagi golongan perempuan yang harus menghadapi usikan nakal tahap separuh gila dari pelajar-pelajar lelaki.

Subjek-subjek yang ditawarkan pula semestinya tahap membinasakan neuron-neuron di kepala. Namun bagi Wisya, tidak ada apa yang perlu dirunsingkan. Biarlah kepalanya mahu botak sekalipun, dia tidak kisah. Asal sahaja ada usaha, pasti ada ganjarannya. Tambahan lagi, minatnya terlalu mendalam dalam jurusan yang diambil itu.

Sebaik sahaja selesai solat Zuhur, dia bersiap-siap untuk ke perpustakaan. Jumaat adalah hari yang paling ideal untuk mengulang kaji pelajaran di perpustakaan memandangkan tidak ramai yang mengunjungi tempat itu.

Sebaik sahaja meninggalkan beg di loker, dia bergegas ke tingkat 3. Hanya kelihatan beberapa orang pelajar perempuan sahaja di situ dan tiga orang pelajar lelaki yang tampak tekun menelaah buku. Tanpa menghiraukan kehadiran mereka, dia mengambil tempat di satu meja yang masih kosong berhampiran tingkap kaca.

Dingin suhu penyaman udara mula terasa biarpun sudah mengenakan sweater. Seketika dia membelek nota subjek High Voltage mencari bab yang perlu diulang kaji. Fokus ditumpukan sepenuhnya pada kertas-kertas yang dikepil kemas itu. Sesekali tangannya lincah menari-nari di kalkulator mengira angka-angka. Seketika kemudian dia mencatat sesuatu di kertas.

Sejam berlalu, Wisya berhenti. Fokusnya terganggu dek bunyi bising yang kedengaran dari arah rak buku di hadapannya. Serentak pandangannya tertumpu pada wajah-wajah yang tidak dikenali yang sedang bergelak ketawa.

Satu jelingan tajam dilemparkan ke arah mereka. Kehadiran kelompok itu tidak begitu disenangi. Menganggu konsentrasi awam. Kot ya pun nak buat bising, carilah meja yang jauh sikit. Tak nampak ke aku tercongok kat sini tengah menelaah buku?

Tiba-tiba mereka mengambil tempat betul-betul dihadapan mejanya. Kian memekak suara mereka bercakap. Hui, sabar ajelah aku! Malas mempedulikan mereka, dia mengalih tumpuan pada pembelajarannya yang tergendala. Lama-kelamaan, suara mereka beransur perlahan.

Konsentrasi Wisya kian di paras tertinggi. Alam sekelilingnya seakan beku. Tidak sedar jam di tangan sudah menunjukkan pukul 6.00 petang. Lantas segala jenis buku dan nota dikemas. Cukuplah setakat yang mampu untuk hari ini. Sempat dia menjeling pelajar-pelajar lelaki di hadapannya itu. Mereka nampak tekun mengulang kaji. Tiba-tiba pandangannya bagai terpaku pada seraut wajah itu. Tidak berkelip matanya memandang wajah itu.

Apakah memang wujud lelaki berbangsa Inggeris di Fakulti Kejuruteraan UiTM ini? Mengapa dari tadi dia langsung tidak perasan pada wajah itu? Malah selama hampir tiga tahun berada di situ, tidak pernah pula dia melihat wajah lelaki itu di sekitar fakulti.

Tiba-tiba lelaki itu mengangkat muka. Serentak pandangan mereka bertembung. Wisya terpana kala menyaksikan sepasang mata berwarna hijau pemuda itu. Bagai tertelan biji durian rasanya tatkala lelaki mat salih itu melemparkan senyuman ke arahnya.

Cepat-cepat Wisya melarikan pandangan. Terkocoh-kocoh dia mengemas alatannya lantas terus beredar. Tiba di tangga, entah macam mana dia tidak perasan seorang lelaki yang sedang naik ke situ. Serentak tubuhnya merempuh lelaki itu. Kakinya yang baru mencecah satu anak tangga itu serta-merta hilang imbangan. Tubuh Wisya bagai dilambung. Tidak mampu menggapai besi penghadang di sebelahnya, lantas dia tergolek sehingga ke bawah. Segala alatan yang dipegang tercampak.

"Aduh!" Wisya menyeringai sakit. Tubuhnya sudah tertiarap di tangga yang bersalut karpet merah itu. Seluruh badannya terasa sakit. Sakit yang seakan-akan ingin melumpuhkan segenap otot-otot yang ada. Spontan semua mata terarah ke arahnya. Lihatlah dunia, aku jatuh tergolek! huhuhu..

Kalaulah diberi kuasa mengecilkan diri seperti dalam drama bersiri Honey, I Shrunk the Kids, alangkah baiknya jika boleh diaplikasi pada ketika ini.

"Are you okay?"

Dalam kepayahan untuk bangkit semula, telinga Wisya menangkap suara seorang lelaki. Serentak dia mengangkat muka. Dia terkedu. Lelaki Inggeris yang tersenyum padanya tadi kini berada di depan mata. Sekilas dia menangkap tubuh tinggi lampai yang berdiri di belakang lelaki Inggeris itu. Pemuda yang dilanggarnya sebentar tadi. Aduh, mana aku nak letak muka aku ni? Malunya! Pasti ramai yang mentertawakannya tadi.

Ya ALLAH, bagaimana aku nak meneruskan kehidupan di hari mendatang? Dahlah jatuh macam nangka busuk. Tertiarap pulak tu!

"Hello... are you okay?" Ulang lelaki Inggeris itu lagi tatkala melihat Wisya mematung disitu.

Wisya termangu-mangu. Entah kenapa matanya lebih tertumpu pada seorang lelaki di belakang lelaki Inggeris itu. Lelaki yang dilanggarnya sebentar tadi. Pandangan lelaki itu semacam sahaja menikam wajahnya.

"Lain kali... jalan tu guna mata, bukan guna lutut!" Tempelak lelaki itu tidak semena-mena.

Wisya terkedu. Rasa bagai dilempang kala mendengar kata-kata pemuda yang tidak dikenali itu. Kerek gila mamat ni! Aku yang jatuh tergolek, bukan kau! Hatinya jadi panas. Seharusnya lelaki itu menegur dengan baik, bukan dengan nada suara yang amat menjengkelkan.

"Sorry... saya tak sengaja," ucap Wisya perlahan, mengaku kecuaiannya. Ikutkan hati, mahu sahaja ditengking lelaki itu semula. Agaknya, kalau lelaki itu yang jatuh ketika dilanggar tadi, mesti aku kena terajang dengan dia. Ini semua gara-gara senyuman si mat salih itu tadi. Yang aku ni tak menyempat-nyempat nak menggelabah.

Pelik. Selama ni, begitu ramai lelaki yang senyum kepadanya tetapi tidaklah dihairankan sangat. Sekali mat salih itu senyum, tak pasal-pasal dia turun tangga macam orang kena sampuk.

"Agak-agak boleh jalan tak ni?" Soal lelaki berwajah Inggeris itu sambil menghulurkan buku, nota dan kalkulator milik Wisya.

Wisya terkejut. Serentak itu pandangannya beralih ke wajah lelaki Inggeris itu. Boleh cakap Melayu ke?  "Aaa... boleh... saya tak apa-apa... sikit aje ni..." balasnya lalu menyambut huluran lelaki itu. Tingkahnya sedikit kalut.

Tanpa sebarang kata, dia terus melangkah menuruni tangga. Dia ingin beredar cepat. Tidak sanggup lagi menjadi bahan tontonan ramai di situ.

****

..To be continued..

Curi-curi SukaWhere stories live. Discover now