"ALONG jadi tutor Erin, nak tak?" Ezril menjongketkan keningnya memandang Zaryn seraya tersenyum. "Percuma.. tanpa yuran," sambungnya lagi tatkala melihat wajah Zaryn masih mencuka.
Zaryn masih tiada respons. Pandangannya hanya tertumpu pada televisyen sambil menggigit jari.
"Erin.." panggil Ezril perlahan. Hati adiknya masih belum terpujuk. Barangkali tindakan mama dan papa begitu mengecewakan sehingga rajuknya berpanjangan.
Dia bangun lalu duduk di sofa yang bersetentang dengan Zaryn. "Erin tak keluar dengan kawan-kawan ke hari ni?" dia cuba memancing Zaryn untuk membuka mulut.
Zaryn hanya menggeleng.
"Erin, jangan ikutkan sangat hati Erin yang marah tu. Along tahu Erin kecewa dengan mama dan papa, tapi tak eloklah Erin tunjuk perangai macam ni kat dia orang. Mama tu ibu yang kandungkan Erin selama 9 bulan tau."
"Okay, fine.. Erin boleh terima tapi dia janji nak carikan cikgu untuk ajar Erin kat rumah ni. Sampai sekarang tak ada pun," bicara Zaryn sedikit beremosi. "Erin tak pandai macam along dengan abang boleh belajar sorang-sorang dalam bilik. Erin dah biasa belajar ramai-ramai dengan kawan. Mama dengan papa tak pernah ambil tahu pasal tu. Setiap orang tak sama cara belajar masing-masing," ulasnya lagi.
"Mungkin mama dengan papa salah dalam hal ni, tapi Erin kena tahu dia orang buat semua ni bersebab. Apa yang Erin dah buat tu mungkin tinggalkan kesan pada hati mama and papa. Orang tua, Erin... kita betul macam mana sekalipun, hati dia orang masih ada sangsi. Sangsi tu buat dia orang selalu risaukan kita. Erin kena faham apa maksud kongkong yang sebenar. You are not grounded, you still can go out, hang out with your friends... Is that what you call being controlled? Kalau Erin fikir mama dan papa lebih sayangkan along dengan abang, Erin silap."
Sejenak Ezril terdiam. Dipandang wajah Zaryn yang sugul. "Along dengan abang dulu masa sekolah, 2 minggu sekali baru boleh keluar lepak-lepak dengan kawan."
Terkebil-kebil mata Zaryn ketika itu.
"Minggu pertama kita orang kena belajar aje. Puas belajar, kami main game dalam bilik. Erin tak ingat?" Soal Ezril cuba mengembalikan ingatan adiknya. Dilihat wajah Zaryn mula beriak tenang. Tidak lagi tegang seperti tadi. Barangkali sudah mula menyedari hakikat itu.
"Kalau Erin fikir mama and papa bagi kebebasan pada along and abang lebih dari Erin, Erin silap. Belajar kat universiti baru mama dan papa lepaskan kami 100%, tapi zaman sekolah kami tak ada yang lebih dari Erin."
Zaryn meraup rambutnya yang terjuntai. Rasa kesal menghimpit dada. Barulah dia tahu silapnya. Tidak seharusnya dia bersikap kurang ajar pada Puan Arfah dan Encik Mahadzir. Seharusnya sebagai seorang anak, dia tidak boleh memberi tekanan pada kedua-dua orang tuanya.
"Erin minta maaf, along..." sayu suara Zaryn menyapa telinga Ezril.
****
"KAU buat apa ni?" Soal Daniel hairan memerhati gelagat Ezroy yang sedang menampal iklan kertas di papan kenyataan fakukti. Seketika dia membaca bait-bait tulisan di kertas itu.
"Amacam?" Soal Ezroy setelah selesai menampal kertas itu di papan kenyataan.
"Kau seorang abang yang sangat baik!" Sindir Daniel berserta tawa yang kuat.
Ezroy tertawa kecil. Buntu mencari guru tuisyen Zaryn, dia terfikir untuk mengiklankan tawaran menjadi guru sementara di fakulti. Dengan peperiksaan akhir yang bakal tiba tidak lama lagi dan beberapa tugasan yang belum disiapkan, sememangnya dia tidak ada masa mencari guru untuk Zaryn.
"Aku nak pergi library sekejap," beritahu Ezroy, lalu meninggalkan papan kenyataan di sekitar kafeteria itu.
"Buat apa?"
Ezroy menunjukkan kertas iklan di tangannya ke arah Daniel.
Daniel tertawa lepas. "Aku ikut sekalilah." Lantas dia melangkah menyaingi langkah Ezroy.
****
"BETUL ke kau tak nak ikut aku balik?" Soal Dasyila sebaik sahaja selesai bersiap untuk berangkat pulang ke kampung untuk cuti semester yang sudah bermula. Ibu dan bapanya sedang menanti di bawah.
Sazrah dan Khairin awal pagi tadi sudah bertolak ke rumah masing-masing. Beruntungnya mereka ada keluarga yang datang menjemput. Yang lain pula menarik nafas lega sebaik tamat peperiksaan akhir, tapi bukan dirinya. Cuti semester diisi dengan kegiatan mencari wang poket bagi semester akan datang.
Wisya mengangguk seraya mempamerkan senyuman manis. Padahal sedih juga rasa hati ini ingin ditinggalkan.
"Cuti nanti makan banyak-banyak," pesannya, lalu menarik tubuh Dadyila dan dipeluk erat. Dia tidak mahu Dasyila berlama-lama lagi di muka pintu. Bimbang rasa sayu hatinya tidak mampu ditahan hingga menitiskan air mata.
"Okey, Wisya. Jaga diri baik-baik. Apa-apa nanti call aku tau."
"Okey," balas Wisya lalu melepaskan pelukan.
Bayang Dasyila akhirnya kabur dari pandangan.
****
YOU ARE READING
Curi-curi Suka
RomanceWalaupun dibuang ibu dan kakak kandung, Wisya tabah berdepan dengan apa jua rintangan. Dengan titik peluh sendiri dan sokongan kawan-kawan, dia berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah. Insiden jatuh tangga si perpustakaan membuatkan...