BAB 16

341 7 0
                                    

TEKSI yang dinaiki akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan elit itu. Sejurus sahaja keluar dari perut kereta, Wisya meraba-raba sesuatu di dalam beg tangan. Sehelai kertas dikeluarkan. Matanya terpanah tepat pada alamat rumah yang tertera. Keningnya bertaut. Dipandang loceng rumah di tepi pagar. Seketika pandangannya tertancap pada tulisan yang terukir di situ. 'Teratak Kurnia'.

Menurut alamat yang tertera, tidak salah lagi itu rumahnya. Berdebar-debar jantungnya menekan loceng. Dia berdiri di tepi pagar menanti pemilik kediaman muncul. Sesekali pandangannya melilau ke sekitar kawasan melihat satu demi satu kediaman yang tersergam gah. Seronoknya banyak duit dapat tinggal di rumah yang selesa seperti ini.

Tiba-tiba pintu pagar rumah terbuka secara automatik. Wisya terkejut. Serentak kelibat seorang wanita tua kelihatan di ambang pintu, lalu melangkah ke arah pagar.

"Assalamualaikum, mak cik." Wisya menghulur tangan, lantas menyalami tangan wanita itu.

"Waalaikumussalam..." sahut wanita itu kedengaran mesra membuatkan hati Wisya berasa lega.

"Saya Wisya. Saya datang ni nak tanya, haritu saya ada terbaca iklan ni kat kampus saya. Jadi, saya nak tahulah kalau tawaran guru sementara ni masih ada atau pun tak," tutur Wisya berbahasa. Kertas iklan di tangan ditunjukkan kepada wanita tua itu.

"Oh, yang iklan ni ya? Hmm.. mari masuk dalam dululah. Tak elok pulak rasanya bercakap dengan tetamu kat luar rumah. Mari masuk dulu," pelawa wanita itu mesra.

Wisya hanya menurut. Terkesima sebentar melihat kawasan rumah yang luas itu. Namun, dihadkan penglihatannya agar tidak terlalu kelihatan jakun melebih-lebih.

"Jemputlah duduk." Nek wan mempelawa, lalu duduk di kerusi santai di laman rumah.

"Terima kasih, mak cik." Perlahan-lahan Wisya duduk. Nyaman dan segar mata menatap laman yang berlandskap indah itu.

"Wisya datang dari mana ya? Datang naik apa tadi?" Nek wan menyoal seraya merenung tepat ke wajah anak gadis kecil molek itu. Tidak terlihat pula sebarang kenderaan yang terparkir di hadapan rumahnya itu.

"Saya dari Shah Alam, mak cik. Datang tadi naik teksi."

"Hish, panggil nek wan aje. Iklan ni cucu nek wan yang buat. Nek wan tak tahu sangat. Tapi belum ada lagi orang datang tanya pasal iklan ni. Kenapa tak telefon dulu nak datang?"

"Err.. kat iklan ni cuma tulis alamat rumah. Sebab tu saya terus datang. Minta maaf kalau kedatangan saya ni mengganggu," maklum Wisya sambil menunjukkan kertas di tangan ke arah wanita tua itu.

Kertas yang dihulurkan disambut. "Hish, ada pulak buat iklan macam ni tak letak nombor telefon. Hai.. bertuah punya budak," bebel wanita tua itu tidak semena-mena sambil menggeleng-geleng kepalanya.

Wisya hanya tersenyum. Tidak pula terfikir di kepalanya kenapa si pembuat iklan tidak menyertakan nombor telefon di situ. Barangkali kerana terlalu tertarik dengan tawaran dan bayaran yang tertera membuatkan dia tidak ragu-ragu untuk terus datang ke alamat rumah tersebut untuk mencuba nasib.

"Cucu perempuan nek wan yang nak ambil SPM tahun ni. Nak cari cikgu-cikgu bertauliah datang ke rumah bukannya senang. Wisya ni student lagi ke?"

"Ha'ah. Saya belajar kat UiTM Shah Alam ni aje, nek wan. Cuti sem ni memang niat nak cari kerja sambilan. Kebetulan pulak terbaca iklan ni kat kampus. Saja-saja nak cuba nasib. Yalah, nak mengajar ni bukan pandai sangat. Sikit-sikit tahulah,"

"Eh, UiTM Shah Alam? Ambil course apa?"

"Course..."

"Nek wan, saya keluar sekejap ya? Nek wan nak kirim..."

Serentak pandangan Wisya terkalih ke muka pintu. Dia tersentak. Seakan tidak percaya melihat raut wajah itu di depan mata. Dia tergamam.

"Kau buat apa kat sini?" soal Ezroy bagai hendak terjegil biji matanya memandang Wisya.

"Roy kenal ke?" Nek wan memandang Ezroy yang sedang melangkah ke arahnya.

Ezroy tidak menjawab. Ditenung tubuh yang mengenakan baju kurung itu lama. Sungguh, dia juga terkejut melihat kehadiran Wisya di situ.

"Err.. saya..." Wisya kehilangan kata. Diakah cucu yang dimaksudkan nek wan mengiklankan tawaran guru sementara itu? Ah, sangkanya pertemuan di kampus sudah berakhir. Haruskah dia meneruskan niat untuk menjadi guru di kediaman itu? Dengan kehadiran makhluk Allah yang paling tidak disenangi itu? Menyampahnya!

"Tak adalah kenal sangat, nek wan. Tapi pernah pun nampak muka dia kat kampus tu," beritahu Ezroy dengan riak wajah angkuhnya. Endah tidak endah.

Wisya menahan rasa. Setiap kali menatap wajah pemuda itu, hatinya bagai dipulas-pulas. Jelas sungguh riak muka Ezroy itu tidak menyenanginya. Heh, bajet aku ni suka tengok muka kau tu?

"Wisya ni datang nak tanya pasal cikgu tuisyen untuk Erin. Ni iklan yang Roy buat ni.. kenapa tak letak nombor telefon aje? Patutlah tak ada respons. Nasib baiklah Wisya ni sanggup datang cari rumah ni." Kertas di tangan Wisya diambil, lalu ditunjukkan kepada Ezroy.

Kertas itu dicapai. Sekilas Ezroy memandang wajah nek wan dan Wisya. Dalam diam dia mengakui silapnya. Tidak begitu teliti meletakkan butir-butir penting pada iklan tersebut.

"Alah, nek wan... nombor telefon kan privacy? Roy saja nak tengok siapa yang sanggup usaha lebih sikit nak dapatkan kerja ni," dalih Ezroy tidak mahu mengaku silapnya. Mana mungkin dia mahu menyatakan kesilapannya di hadapan Wisya.

Nek wan mencebik. "Kot ya pun privacy, letaklah e-mail ke, apa ke..." dia menggeleng-geleng kepala.

"So, macam mana?" Soal Ezroy merenung tepat ke wajah Wisya. Lagaknya bagai penemu ramah profesional sahaja mengajukan soalan.

Wisya kehilangan kata. Memang hatinya berkobar-kobar sebentar tadi. Namun tatkala mengetahui yang bakal diajar itu ialah adik kepada Ezroy, tiba-tiba rasa hatinya jadi lain. Hendak ditolak, sudah terlanjur pula dia ke situ.

Ah, kalau aku tahu iklan tawaran guru sementara itu daripada lelaki ini.. tak ingin aku bersusah payah datang ke mari!

"Kira jadilah ni. Lagipun, cucu nek wan tu dah lama sangat duduk membuang masa kat rumah ni," sampuk nek wan memutuskan sendiri. Jika tidak berminat, tak mungkinlah anak gadis itu bersungguh-sungguh datang.

"Okey, lusa kau boleh mula. Weekend, pukul 10.00 pagi sampai pukul 2.00 petang. Weekdays, pukul 4.00 petang sampai pukul 6.00. Boleh?" Soal Ezroy.

Wisya bungkam. Hendak menolak, dia tidak tahu apa yang harus disuarakan. Dia tidak mahu memalukan diri di hadapan nek wan memandangkan sebelumnya dia begitu beria-ia menunjukkan minat. Semuanya sudah terlambat! Sekilas dia memandang wajah Ezroy. Eii.. muka lelaki ni kan, nak aje aku baling dengan batu!

"Boleh ke, Wisya?" Nek wan meminta kepastian.

"In Shaa Allah, nek wan. Lusa saya datang. Terima kasih, saya minta diri dulu." Kalaulah aku tahu dari awal!!! Hati Wisya menjerit kuat.

****

Curi-curi SukaWhere stories live. Discover now