KESIBUKAN menghadiri temu duga mengehadkan ruang waktu Ezroy di rumah. Setiap hari ada sahaja panggilan daripada beberapa syarikat memintanya untuk hadir ke sesi temu duga.
Sudah seminggu dia ke hulu dan ke hilir mencari peluang pekerjaan. Selagi mampu, dia akan mencari jawatan yang paling bersesuaian. Ada juga beberapa syarikat sudah menerimanya untuk bekerja, namun dia masih tidak jemu.
Tawaran yang sudah diterima hanya menanti pengesahan. Mujur sahaja tarikhnya tidak begitu menggesanya menyatakan persetujuan. Bukan dia memilih, namun sesiapa sahaja inginkan yang terbaik untuk kerjaya yang bakal dipilih bersesuaian dengan bidang yang diceburi.
Setelah segala urusannya selesai, dia terus memandu pulang. Tiba di rumah, kelibat Zaryn dan Wisya kelihatan di ruang tamu. Serentak pandangan Zaryn dan Wisya terarah ke arahnya. Dia menapak ke ruang tamu, lantas duduk menghadap Wisya yang sedang tekun menunjuk ajar Zaryn.
Sekilas Wisya menjeling lelaki itu. Ada secalit senyuman di bibir Ezroy. Tidak kiralah senyuman itu ikhlas atau tidak, sedikit pun tidak mendatangkan rasa ingin bermesra dengan lelaki tersebut.
"How is it so far?" ringan sahaja mulut Ezroy bertanya. Dia tidak tahu kenapa perlu dia berada di situ memantau mereka. Namun, gerak hatinya terlalu kuat mengarahnya duduk di situ.
Tidak tahu soalan itu diaju kepada siapa, Wisya hanya membisu. Dia berpura-pura khusyuk menunjukkan jalan pengiraan subjek matematik tambahan yang sedang diajar.
"Oh... tak tahu pulak Cik Tipah ni bisu dan pekak," ucap Ezroy dengan nada suara yang sinis. Sedikit tidak puas hati tatkala melihat Wisya sengaja tidak mengendagkan soalannya.
"Tipah?" Spontan pandangan Zaryn terpaku pada wajah Wisya. "Siapa Tipah?" Dahinya berkerut seribu. Kemudian pandangannya teralih pula ke wajah Ezroy.
"Tanya dia..." arah Ezroy, tidak tahu kehadirannya amatlah mengganggu konsentrasi dan kondisi hati Wisya. Mungkin juga kalau dia tahu, dia peduli apa?
Mata Zaryn kembali ke wajah Wisya. Nampaknya, Wisya sedikit pun tidak peduli. Tangannya lincah menekan-nekan kalkulator.
Tiba-tiba Wisya berhenti. Tangannya disilangkan ke meja. "Erin, Kak Wisya dengan abang Erin satu kanpus. Dan kami saling mengenali," beritahunya dengan rasa geran yang ditahan-tahan. Biar ada seulas senyuman di bibirnya.
"Ya ke? Tapi siapa Tipah?" Soal Zaryn lagi. Wajah Ezroy dan Wisya dipandang berselang-seli.
Wisya membatu. Adakah aku sedang diperbodohkan? Menjawab segala persoalan yang diajukan lelaki ini tanpa rela? "Hari tu masa mula-mula kenal tak tahu macam mana dia boleh silap dengar nama akak. So, sampai sekarang nama tu melekat," balasnya bersahaja.
Zaryn tertawa mengejek. "Siapa yang pekak sebenarnya ek?"
Wajah sinis Ezroy berubah serta-merta. Hati Wisya bagai digeletek.
****
"ERIN..."
Buat kesekian kali konsentrasi Zaryn dan Wisya diganggu.
Ya Allah.. mahu apa lagi lelaki ini? Hati Wisya menggerutu. Dapat dilihat melalui ekor mata kelibat Ezroy yang semakin hampir.
"Hai.." lelaki itu menyapa mesra lantas duduk di sofa yang berada di tengah-tengah kedudukan Wisya dan Zaryn.
Wisya langsung tidak memberi respons. Dia sudah menetapkan hati. Biar dalam bentuk apa jua sekalipun gangguan Ezroy, dia tidak mahu peduli. Dia mahu pura-pura jadi batu!
YOU ARE READING
Curi-curi Suka
RomanceWalaupun dibuang ibu dan kakak kandung, Wisya tabah berdepan dengan apa jua rintangan. Dengan titik peluh sendiri dan sokongan kawan-kawan, dia berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah. Insiden jatuh tangga si perpustakaan membuatkan...