MANUSIA semakin ramai memenuhi kafeteria yang terletak di antara fakulti pendidikan dan fakulti ekonomi itu. Semuanya mempunyai tujuan yang sama, untuk mengisi perut masing-masing yang tentunya sedang kelaparan. Untuk sekian kalinya, aku melihat jam di tangan.
"Isy! Mana minah ni? Janji tak pernahnya tepat!"
Geram pula aku dibuatnya. Sudahlah tadi aku terpaksa berjalan kaki dari fakulti pendidikan ke kafeteria ini. Semuanya gara-gara skuterku yang tiba-tiba sahaja meragam pagi tadi. Mahu tidak mahu, terpaksalah aku berjalan kaki sahaja ke dewan kuliah pagi ini. Hendak menaiki bas yang disediakan oleh pihak universiti, aku bimbang akan terlewat sampai ke kelas memandangkan bas hanya tiba setengah jam sekali.
Peluh mula merenik di dahi. Aku mencari-cari tisu yang terdapat di dalam beg sandang yang sering aku bawa ke kelas. Cuaca pada ketika ini agak berbahang walaupun jam menunjukkan baru pukul sepuluh pagi.
"Sorry sangat-sangat Auni, Puan Haryati keluar lewatlah dari kelas tadi. Tak cukup tanah aku berlari nak datang sini tau."
Hati yang tadinya mahu marah tiba-tiba menjadi sejuk. Kasihan pula melihat Waida yang termengah-mengah seperti baru menamatkan larian pecut seratus meter. Aku meneliti wajah Waida yang dibasahi peluh. Bedak yang dipakai Waida sudah bercapuk-capuk di mukanya. Pelik melihat wajah aku yang kelihatan menahan tawa barangkali, cepat-cepat Waida bertanya.
"Kenapa? Ada apa-apa ke kat muka aku ni?"
Aku hanya ketawa sambil menunjukkan cermin yang terdapat di hadapan singki yang berada di kafeteria itu. Waida berlari menuju ke arah cermin untuk memeriksa wajahnya. Segera dia membasuh wajahnya berulang-ulang kali sambil menilik-nilik keseluruhan mukanya.
"Walahwei... Habislah tercalar imej ayu aku! Jatuhlah saham aku lepas ni." Waida mengadu. Mukanya sudah berkerut-kerut menunjukkan rasa tidak puas hati dengan penampilannya selepas wajahnya dicuci.
"Banyaklah engkau punya saham. Ni ajak aku jumpa kat sini apa hal? Macamlah tak boleh SMS atau jumpa kat bilik aje nanti. Mengada-ada!" Waida ketawa sambil menjulingkan matanya kepadaku.
"Ala... Orang nak manja-manja sikit pun tak boleh. Serius sangat! Padanlah semua senior yang nak berkenalan pun takut nak dekat."
Aku menjeling. Ewah-ewah, sesedap rasa sahaja mengata, ya? Bukannya jual mahal, macamlah dia tak tahu, di mana hendak aku campakkan seraut wajah yang telah hampir lima tahun menghuni hati ini? Bukan sedikit kenangan yang kami kongsi bersama.
"Weh! Sempat termenung pula dia. Jomlah kita pergi ambil makanan. Sambil kita makan-makan, aku ceritalah kenapa aku nak jumpa kau kat sini." Waida sudah pun bangun meninggalkan aku lalu menuju ke deretan gerai yang terdapat di kafeteria ini.
Aku terlopong melihat nasi dan lauk-pauk yang terdapat di atas pinggan Waida. Wah! Cik kak ni memang betul-betul lapar. Makanan yang diambil Waida, aku kira cukup untuk perut dua orang lelaki dewasa. Waida hanya tersengih-sengih memandangku.
"Janganlah tengok aku macam tu. Aku memang betul-betul lapar ni. Dari pagi tadi aku tak makan tau!"
Sesudah membayar harga makanan, aku mencari kalau-kalau ada tempat yang sudah dikosongkan oleh pelajar-pelajar yang lain. Tempat yang kami duduki tadi sudah pun diambil orang. Setelah hampir sepuluh minit operasi jengah-menjengah dilakukan, akhirnya kami berjaya mendapat tempat duduk.
"Apa rancangan kau selepas tamat belajar?" Waida memulakan perbualan setelah aku selesai membaca doa makan dan mula menyuap makanan.
"Rancangan apa? Tunggu surat posting ajelah. Buat-buat tanya pula. Atau kau ada rancangan nak kerja sementara kat mana-mana kilang dulu ke?" Waida membulatkan mata memandang aku.
"Isy! Tak naklah aku. Aku nak rehat puas-puas sementara kita belum mula mengajar ni. Nanti dah start mengajar, mulalah sibuk dengan macam-macam aktiviti lagi. Ini dah ada peluang nak bermalas-malasan, gila aku nak lepaskan?"
"Manalah tahu, kau tu selalu aje buat kerja luar alam. Orang tak buat, kau buat." Waida ketawa kecil mendengar sindiranku.
"Aku harap, dapatlah aku posting di Temerloh aje. Janganlah dihantar aku jauh-jauh, tak dapatlah aku nak balik berbakti di kampung halaman sendiri."
"Weh, kau jangan nak propalah! Kau nak balik kampung pasal nak jimat belanja, sewa rumah, makan minum sah-sah free. Baju pun mak tolong cucikan. Sudahlah! Nak berbakti di kampung halaman konon. Loya tekak aku mendengarnya tau."
Macamlah aku tidak tahu muslihat Waida untuk bekerja di kampung. Waida, kalau tentang belanjawan, memang cukup pandai membuat kira-kira.
"Bukan apa Auni, kalau posting kat kampung sendiri dapatlah aku tengok-tengokkan mak ayah aku. Kau pun tahu ajelah, aku ni kan dua beradik aje. Kalau tak aku yang jaga mak ayah aku, siapa lagi? Kalau nak kahwin pun, aku nak cari orang yang dekat-dekat situ juga. Aku nak suruh mak aku yang carikan. Dapat yang kaya-kaya, tak payahlah aku susah-susah kerja. Duduk rumah potong kuku aje."
Sahlah, memang sudah rosak pemikiran kawan yang seorang ni.
"Waida, kalau dah berkahwin pun aku rasa tak salah kalau kita bekerja. Sekurang-kurangnya kita ada duit poket sendiri. Tapi kalau betullah ada rezeki kau berkahwin dengan orang kaya, tak perlu bekerja, bertuahlah badan. Bagi aku, selagi suami aku benarkan, aku tetap mahu bekerja. Manalah tahu, orang kata perkahwinan itu umpama satu pelayaran. Kalau bernasib baik, bahtera sampai di pelabuhan, tapi kalau ditakdirkan bahtera karam, sekurang-kurangnya kita ada tempat berpaut."
"Hmmm... Kau dengan Hisham dah ada perancangan nak membina bahtera ke?"
Aku tersedak. Terbatuk-batuk aku dibuatnya. Menggagau tanganku mencapai air yang dihulurkan Waida.
"Entahlah. Kami belum bincangkan apa-apa tentang tu. Study pun belum habis, tak mahulah fikir tentang tu lagi. Nantilah, bila tiba masa yang sesuai baru kami akan fikirkan." Aku bersuara setelah tekakku berasa sedikit lega.
"Eh! Lupa pula tujuan utama aku ajak kau jumpa kat sini. Auni, hujung minggu ni aku nak balik kampung. Kau nak ikut tak?" Tiba-tiba Waida mengalih topik perbualan.
"Tiba-tiba aje nak balik kampung. Ada apa-apa ke?"
"Ada, nenek aku yang dah lama menjanda tu nak bertunang." Waida ni biar betul? Takkanlah neneknya yang telah berusia hampir 75 tahun itu mahu bertunang lagi?
Waida tiba-tiba ketawa berdekah-dekah. Sah! Aku kena kelentong lagi. Lengan Waida yang berada di atas meja cepat-cepat aku cubit sebelum dia sempat melarikan tangannya. Itulah, main-mainkan aku lagi.
"Aduh! Sakitlah, Auni. Kuku macam langsuir, lebam lengan aku ni tau? Kalau berparut macam mana?" Waida menggosok-gosok lengannya yang aku cubit tadi.
"Itulah, siapa suruh main-mainkan aku?"
"Auni, Auni... Dari dulu lagi apa aku cakap semuanya kau percaya bulat-bulat. Isy, buang tebiat nenek aku tu nak bertunang? Aku pun tak mahulah datuk baru. Emak aku suruh balik, katanya musim buah-buahan dah tiba. Lambat sangat nak tunggu cuti semester baru nak balik, tak sempat pula aku nak merasa hasil dari dusun tu. Emak aku pesan, suruh ajak kau sekali. Kau nak ikut tak?"
"Nantilah, aku tak boleh beri keputusan sekarang. Kena tanya pada ayah aku dulu. Kalau ayah aku kata okey, baru aku beritahu keputusan aku, ya?"
"Kalau ayah kau kata okey, tapi Hisham si diktator tu pula kata tak okey, kau tak ikut aku juga, kan? Pelik aku, belum apa-apa pun sudah mahu dikawal selia semuanya. Nak berkawan, nak bergerak ke mana-mana pun payah. Aku rasa, mahu nanti bila kau dan dia dah berkahwin, ada juga dia kurung kau dalam rumah sahaja tak keluar-keluar. Habislah impian Cikgu Auni nak bekerja," perli Waida.
"Eh! Dah pukul berapa ni? Aku ada kuliah lagi pukul dua belas nanti. Cepat! Aku nak tumpang kau ke fakulti. Tak larat dah aku nak berjalan kaki. Petang nanti kita pergi sama-sama hantar skuter aku ke bengkel, ya? Entah apa pula masalahnya kali ini."
"Yalah, yalah. Tak ada lainlah tu, taktik nak mengelak dari dengar aku membebellah tu."
Aku ketawa kecil. Waida sudah faham benar dengan sikapku yang tidak mahu soal hubunganku dengan Hisham diperbesar-besarkan. Walaupun sikapnya yang mengongkong dan panas baran yang agak keterlaluan tetapi banyak yang telah Hisham lakukan untukku. Selagi boleh bertahan, aku akan berusaha untuk mengekalkan hubungan kami berdua.
YOU ARE READING
Dia Pilih Aku
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Dia Pilih Aku Penulis: Rissa Ahdiya Muka Surat : 576 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967- 469-028-1 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah/Sarawak)