Bab 13

4.2K 62 1
                                    

SELEPAS malam itu, aku ternanti-nanti panggilan darinya. Setiap hari juga aku seperti orang yang sedang menunggu jawapan keputusan temu duga. Hampir setiap jam memeriksa telefon kalau-kalau ada panggilan tidak dijawab daripada nombor yang tidak dikenali.

"Kenapa ibu tengok Auni gelisah semacam aje? Dahlah tu, tak habis-habis tilik telefon tu. Lepas tu muka ketat semacam aje kenapa?"

"Tak adalah, Auni nak cek kalau-kalau keputusan peperiksaan dah keluar."

"Hai... Baru abis final exam tak sampai sebulan, takkan result dah keluar? Selalunya lambat juga, kan?"

"Manalah tahu kalau-kalau kali ni awal keluar resultnya."

"Macamlah ibu tak tahu... Ibu pun pernah muda, Auni..." Ibu tersenyum sinis. Haip! Jangan kata ibu dah tahu apa yang tersirat dalam hati aku. Tak tahu mana nak letak muka nanti. Itulah Auni, langsung tak pandai nak cover perasaan.

Bosan duduk seorang diri di dalam rumah, aku keluar mencari ibu yang sedang menyiram pokok bunga kesayangannya di halaman. Aku tak dapat bayangkan betapa sunyinya hidup jika aku berada di tempat ibu. Bersendirian di rumah sehinggalah anak-anak dan suami pulang. Pastinya aku akan mati kebosanan jika perkara itu terjadi kepadaku.

Dahulu ibu pernah bekerja sebagai pegawai tadbir di salah sebuah jabatan kerajaan. Ayah pula bertugas sebagai penolong pengarah di Jabatan Kerja Raya. Ibu dan ayah berkenalan sewaktu sama-sama menghadiri kursus yang dianjurkan oleh jabatan masing-masing.

Kata ibu, selepas berkenalan hampir dua bulan, ayah terus mengajak ibu berkahwin. Selepas Abang Hakim dilahirkan, ibu meletakkan jawatan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga.

Ibu tidak percaya untuk menyerahkan tanggungjawab mengasuh anak-anak kepada orang lain. Berulang kali ibu katakan dia tidak pernah menyesal melepaskan jawatannya dahulu. Sebaliknya dia berasa puas melihat anak-anak membesar di hadapan matanya.

"IBU kalau dah menghadap bunga, anak di sebelah pun tak sedar," rungutku.

"Sedar aje. Malas nak tegur orang tengah jiwa kacau ni." Ibu masih juga tidak mengalih perhatiannya kepadaku. Matanya masih lagi pada pokok-pokok bunga yang berada di hadapan kami.

"Ibu, Auni nak tanya sikit boleh tak?"

"Sejak bila bertanya menjadi kesalahan dalam rumah ni?"

Aduh, sinikal sungguh ayat ibu pagi ini.

"Alah... Ibu ni. Auni nak tanya, kalau Auni nak bekerja sementara tunggu posting boleh tak ibu?"

Suara sengaja aku lembutkan. Moga hati ibu terbuka untuk membenarkan aku bekerja secara sementara di bandar. Aku bosan duduk-duduk sahaja di rumah tanpa melakukan sesuatu.

Silap-silap badanku yang sebesar ikan bilis boleh bertukar menjadi ikan buntal pula nanti. Mana kan tidak, aktivitiku setiap hari di rumah asyik makan, menonton televisyen, membaca novel dan tidur sahaja.

"Dah tak berapa lama lagi Auni nak jadi isteri orang. Banyak persiapan yang nak dibuat. Siapa yang nak tolong ibu? Nanti bila dah dapat surat posting, lagilah kalut. Tinggal ibu seorang uruskan semua. Lagipun ayah pasti takkan benarkan. Duduk sahajalah di rumah temankan ibu sementara Auni masih belum bekerja dan berkahwin ni."

"Alah ibu, kan mak ngah, mak alang, mak usu dan nenek pun ada. Semua boleh tolong ibu. Dapat bekerja sebulan pun jadilah. Auni dah bosan sangat ni."

"Mak ngah kakinya dah tak berapa kuat. Berjalan sikit dah sakit-sakit lutut. Kesian kalau nak ajak ke mana-mana. Mak alang tu beranak kecil. Kalau nak ajak beli barang, kena bawa sekali dengan tenteranya yang berempat tu. Nanti barang ke mana, anak ke mana. Nenek tu dah tua, Auni. Dah tak larat nak uruskan perkara-perkara macam ni. Tapi untuk diajak berbincang dan minta buah fikiran lainlah. Kalau bosan, mari belajar masak dengan ibu. Nanti dah kahwin, senang. Suami nak makan apa, semua Auni boleh masakkan."

Nampaknya ibu tidak termakan dengan pujukanku. Maknanya, aku harus menghabiskan sisa-sisa cuti dengan aktiviti-aktiviti yang dapat membuatkan kapasiti lemakku bertambah.

"Esok kita ke Kota Tinggi. Ibu nak survey bunga telur dan bekas hantaran," beritahu ibu.

"Awalnya, ibu. Baru aje bertunang dah nak cari bunga telur?" Beria-ia pula ibu kali ini. Nampak bersungguh benar mahu meraikan majlis aku nanti.

"Awal? Enam bulan tu sekejap aje, Auni. Auni ingat senang ke nak buat persiapan? Tambah-tambah kita ni dari sebelah perempuan. Lagi banyak perkara yang nak dibuat. Abang Hakim dulu bertunang setahun, macam tak cukup kaki tangan ibu nak uruskan semuanya."

"Tak mahu tunggu ayah?" Selalunya, jika mahu ke mana-mana, pastinya ayah akan ada bersama. Mereka berdua umpama Laila dan Majnun, tidak boleh berjauhan. Ke mana-mana berdua seperti pasangan yang baru berkahwin.

"Ayah sibuk seminggu dua ni dengan mesyuarat dan outstation. Ibu dah tanya ayah pun. Cuma dia pesan, tengok-tengokkan Auni, jangan biarkan bawa kereta macam pelesit. Nanti stereng kereta pun ayah tak benarkan Auni pegang selepas ini," ugut ibu. Tahu sangat dengan perangaiku bila sudah mula dapat stereng.

"Yalah, Auni janji akan jadi pemandu yang paling berhemah untuk ibu nanti."

"Loyar buruk tak habis-habis. Jangan perangai nakal tu terbawa-bawa sampai dah ada anak nanti sudahlah. Nanti orang tak kenal, mana satu anak, mana satu emak."

"Alah... Kahwin pun belum, takkan dah nak cerita tentang anak pula, ibu..."

"Yalah, dah kahwin nanti takkan tak mahu anak?"

"Kita cerita tentang tu selepas Auni kahwin nantilah, ya? Awal sangatlah nak cerita sekarang."

Aku malu sebenarnya membicarakan tentang soal itu di hadapan ibu. Kahwin pun belum, mahu cerita tentang anak pula.

TENGAH hari itu berselera sungguh aku. Ibu memasak lauk kegemaranku, sayur air petola bersama kentang, sambal tumis udang dan ikan selar sumbat. Aku makan sampai bertambah dua kali.

"Kak Auni ni makan banyak-banyak tak takut ke butang baju terpelanting masa akad nikah nanti?"

"Tasnim, Kak Auni akan pastikan butang baju dan kain waktu Kak Auni nikah nanti dijahit dengan benang yang paling tebal dan tahan lasak. Terima kasihlah Tasnim sebab tolong risaukan Kak Auni."

Tasnim mencebik. Tak puas hatilah tu.

"Esok kita nak pergi pukul berapa, ibu?" Aku menghalakan pandangan kepada ibu pula.

"Selepas sarapan. Dalam pukul sembilan eloklah kita bergerak. Pukul sepuluh setengah pagi sampailah nanti. Taklah terkejar-kejar sangat kalau sampai awal sikit."

"Nak pergi mana ni? Tasnim nak ikut..."

"Awak tu sekolah. Budak sekolah kena pergi sekolah. Jangan ajar ponteng. Nanti ketinggalan dalam pelajaran. Siapa yang rugi? Awak juga..." Aku rasa ingin gelak kuat-kuat melihat wajah cemberut Tasnim apabila mendengar jawapanku.

"Sudahlah tu. Depan rezeki pun nak bergaduh. Esok ibu pergi sekejap aje. Nak tengok-tengok barang-barang untuk majlis Kak Auni nanti. Petang ibu baliklah. Ibu siap-siap masak dahulu sebelum pergi. Nanti kalau Tasnim pulang sekolah esok, Tasnim tolong panaskan nasi dan lauk sahaja, ya? Ibu takut tak sempat sampai sebelum Tasnim pulang dari sekolah."

Aku berani jamin memang takkan sempat balik sebelum adik-adikku pulang dari sekolah. Ibu kalau sudah masuk dari satu kedai ke satu kedai, bukan main susah mahu berhenti. Jika ada anugerah yang disediakan, mungkin ibu sudah dinobatkan juara rentas kedai agaknya. Aku kena siap-siap sediakan minyak panas buat mengurut kaki yang lenguh esok. Bersedialah Auni, nak cari barang-barang untuk majlis kau juga.

Dia Pilih AkuWhere stories live. Discover now