SARAPAN pagi ini ringkas sahaja. Bihun goreng yang ditabur telur dadar di atasnya. Aku menolong ibu membancuh air kopi. Tidak lama kemudian, ayah muncul di dapur. Ibu segera menyendukkan bihun ke dalam pinggan dan menuangkan air kopi ke dalam cawan lalu meletakkannya di hadapan ayah.
Dari dahulu sehingga kini kemesraan ibu dan ayah tidak pernah berkurangan. Aku berharap agar satu masa nanti, sekiranya aku sudah berkahwin, aku dapat menjadi seorang isteri sebaik ibu dan dikurniakan seorang suami sebaik ayah.
"Auni, fikirkan apa lagi tu? Makan cepat! Sekejap lagi temankan ibu ke pasar. Ayah ada hal, tak dapat nak temankan ibu."
Aku cepat-cepat mencapai garpu dan menyuapkan bihun ke dalam mulut.
Ah! Nikmatnya dapat menikmati hidangan ibu. Sedap betul. Tidaklah macam bihun yang selalu aku beli di kafeteria, keras semacam. Sudahlah mahal, jangankan ayam, seekor ikan bilis pun aku tak nampak diletakkan dalam bihun tersebut. Tapi bak kata Waida, bersangka baik. Mungkin tuan kedai itu mahu menyimpan duit buat belanja pergi haji atau umrah, siapa tahu? Doakan sahajalah.
"Ayah ada hal apa, ibu?" Di dalam kereta, aku bertanya. Sewaktu itu, kami dalam perjalanan menuju ke pasar. Pelik juga rasanya, ayah biasanya jarang keluar pada hari minggu.
"Ayah ada urusan penting yang nak diuruskan." Pendek sahaja jawapan ibu.
"WAH... Makan besar kita hari ni! Banyaknya ibu beli. Macam nak buat kenduri aje." Banyak betul barang-barang yang dibeli ibu. Dua kali aku berulang-alik dari dalam pasar ke kereta. Sudahlah barang-barang itu boleh tahan beratnya, semput aku dibuatnya.
"Anak ibu baru balik, biarlah makan yang sedap-sedap sikit," ujar ibu pula. Aku tersenyum mendengar jawapan ibu.
Sekembali dari pasar, ibu mula sibuk di dapur. Aku menolong ibu menyediakan juadah untuk makan tengah hari nanti. Namun, hatiku mula tertanya-tanya, juadah yang disediakan hari ini agak istimewa dan dalam kuantiti yang agak banyak, sedangkan yang ada di rumah hanya kami tiga beranak sahaja.
"Ibu masak banyak-banyak ni, ada tetamu nak datang ke?" Aku bertanya memandangkan perasaan ingin tahu itu sudah tidak dapat aku tahan lagi.
"Ada kawan ayah nak datang. Itu yang masak lebih sikit. Auni tolong ibu bersihkan ayam, boleh? Ibu nak sediakan bahan-bahan untuk memasak ni."
Tanpa sebarang soalan lagi, aku terus bangun menuju ke singki. Kalau setakat menolong ibu menyediakan bahan-bahan untuk memasak, memang tiada masalah. Tetapi, janganlah suruh aku memasak, jawabnya, kalau masak kari, berkemungkinan besar kari itu bertukar menjadi dalca pula disebabkan kemahiran memasak aku yang terlalu tinggi. Tapi jangan fikir yang aku langsung tak tahu memasak, setakat masak nasi tu, kacang aje bagi aku. Hahaha.
Ayah pulang sewaktu jam menghampiri pukul dua belas tengah hari.
"Selesai semuanya? Dapat kanopinya?" Ibu bertanya. Ayah hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum kecil. Jadi, inilah kisah kanopi yang aku dengar sewaktu dalam kereta semalam. Tapi, kanopi untuk apa?
"Kanopi untuk apa, ibu?"
Ibu tersenyum memandangku.
"Ayah pergi tempah kanopi. Kita nak buat kenduri doa selamat dan kesyukuran sempena Auni tamat belajar." Aku melopong. Sampai begitu sekali ibu hendak meraikan aku yang baru tamat belajar?
"Kenapa tak tunggu sampai majlis konvokesyen? Malulah Auni, belum dapat pun ijazahnya lagi, ibu dan ayah dah buat kenduri beria-ia." Aku protes.
"Tak apalah, majlis konvokesyen tu kan syarat aje. Yang penting, Auni dah habis pun belajar, kan?" jawab ibu tenang. Aku terdiam. Terpulanglah, kalau itu yang dimahukan oleh ibu dan ayah.
![](https://img.wattpad.com/cover/88467192-288-k615159.jpg)
YOU ARE READING
Dia Pilih Aku
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Dia Pilih Aku Penulis: Rissa Ahdiya Muka Surat : 576 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967- 469-028-1 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah/Sarawak)