Bab 7

4.2K 73 0
                                    

MALAM itu, aku menghubungi Hisham.

"Assalamualaikum. Awak, saya dah ada kat kampung ni." Aku memulakan bicara dengan berhati-hati. Angin Hisham bukan boleh diduga.

"Waalaikumussalam. Ya, saya tahu. Saya tunggu jugalah orang tu call beritahu dah sampai kampung semalam. Hari ni baru teringatkan saya?"

Aku memang betul-betul terlupa untuk menghubunginya semalam. Tambahan pula badan terasa amat letih selepas menempuhi perjalanan selama hampir enam jam.

"Awak... Janganlah marah. Saya penat sangat-sangat semalam. Lepas makan, saya terus lena sampai ke pagi. Saya minta maaf ya, awak." Aku menggunakan kepakaranku untuk memujuk Hisham.

"Hmmm... Apa boleh buat, orang dah lupakan saya bila jumpa keluarga."

"Awak... Takkanlah saya boleh lupakan awak? Saya tak call awak kalau saya tak ingat pada awak tau. Awak janganlah marah lagi, ya? Saya minta maaf. Memang salah saya." Aku masih cuba memujuk Hisham. Tapi aku bertekad, kalau dia masih mahu merajuk lagi, aku akan biarkan sahaja. Malas aku mahu memujuknya lagi. Nanti bila hatinya dah sejuk, pasti dia akan menghubungiku semula.

"Yalah. Awak buat apa hari ni?" Aik, macam tahu-tahu saja apa yang aku sedang fikirkan. Tahu pula dia aku dah letih mahu memujuknya.

"Tak buat apa pun. Tolong ibu masak, kemas rumah, tidur."

"Kawan saya kata ada nampak awak keluar hari ni?" tanya Hisham.

"Oh, pagi tadi saya bawa ibu pergi pasar beli barang-barang basah," jawabku.

"Kalau saya tak tanya, awak takkan cerita, kan? Entah apa lagi agaknya yang awak sembunyikan daripada saya, ya?"

"Laaa... Setakat bawa ibu pergi pasar. Tak ada apa yang penting pun..." Pelik sungguh aku dengan Hisham. Takkanlah setakat bawa ibu ke pasar pun hendak buat laporan panjang berjela?

"Tapi saya tak suka. Awak nak ke mana-mana, tolong beritahu saya. Dan saya tak izinkan awak selalu keluar dari rumah, walaupun dengan ibu awak. Nampak macam perempuan yang nak menjual muka sahaja di bandar tu. Saya tak suka nak dengar kawan-kawan saya bercerita macam-macam tentang awak."

Walahwei, ini sudah lebih! Takkanlah nak keluar dengan ibu sendiri pun tak boleh? Agak-agaklah kalau nak cemburu pun!

"Awak ni kenapa? Saya bukan keluar dengan orang lain pun, saya keluar dengan ibu saya. Apa masalahnya? Kawan-kawan awak nak cerita apa pun, saya tak kesah. Bukan saya buat perkara tak elok pun."

Aku berkata dengan nada geram. Suka-suka hati sahaja hendak mengawal hidup aku. Sedangkan aku tidak pernah pun mengongkong dia. Asalkan dia tahu menjaga diri dan hatinya, itu sudah cukup bagi aku. Yang penting bagiku dalam sesebuah perhubungan adalah kejujuran dan kepercayaan.

"Masalahnya, semua orang pun awak senyum, awak layan. Saya tak nak awak jadi perempuan murah. Peramah tak bertempat!" Dia menghamburkan kemarahannya kepadaku. Aku juga sudah mula hilang sabar. Apatah lagi setelah mendengar ayat-ayat yang begitu 'indah' keluar dari mulut Hisham.

"Habis tu, awak nak saya tampal plaster ke kat mulut saya? Atau pakai topeng setiap kali keluar rumah?" Tiba-tiba aku teringat akan kata-kata Waida dulu. Dengan perangai Hisham yang begini, tidak mustahil kata-kata Waida bakal menjadi kenyataan.

"Susah bercakap dengan orang terlebih pandai ni. Berlagak tak habis-habis!" Hisham menempelak. Hatiku semakin panas.

"Baiklah, kalau macam tu, tak usahlah bercakap dengan saya lagi." Terus sahaja aku mematikan telefon selepas itu. Geram sungguh hatiku mengenangkan kata-kata Hisham. Hajat dalam hati mahu menjernihkan keadaan yang keruh sejak hari Isnin lepas, dia pula makin menambahkan sakit yang ada.

Dia Pilih AkuWhere stories live. Discover now