ESOKNYA, aku keluar juga dengan Waida. Aku sudah tidak peduli jika Hisham marah sekalipun. Aku berasa diriku berhak untuk menikmati hidup. Berhak untuk meluangkan masa bersama rakan-rakanku. Bukannya aku buat perkara yang tidak senonoh pun. Aku semakin jengkel dengan perangai Hisham yang semakin hari semakin mahu mengawal hidupku. Ditambah dengan perangai cemburu buta tidak bertempat menjadikan hati aku semakin tawar.
Tayangan filem hanya akan bermula dalam masa sejam lagi. Aku mengajak Waida makan di Restoran Jom Bali yang terdapat di dalam bangunan pasar raya Tesco. Sambil menunggu hidangan sampai, aku membelek-belek telefonku. Manalah tahu, seronok berjalan, tidak sedar ada panggilan masuk ataupun mesej yang perlu dibalas segera.
"Auni, Hisham tak marah ke kau keluar dengan aku ni?" Waida bertanya. Aku meletakkan telefon dan melepaskan keluhan panjang.
"Maunya tak. Dia tuduh aku keluar tengok wayang dengan lelaki entah mana-mana. Aku malas nak dengar dia merepek, terus aku letak telefon semalam. Dengar pun buat sakit hati aje, nak buat apa?" Aku meluahkan rasa hatiku kepada Waida.
Waida memang sudah lama tahu akan masalah hubunganku dengan Hisham. Ini semua gara-gara dia pernah ternampak aku yang sedang menangis selepas bercakap dengan Hisham. Disebabkan sudah tidak tertanggung tekanan dan sakit hati, aku meluahkan segalanya kepada Waida.
"Bagus! Ajar dia sikit. Jangan sesedap rasa dia saja nak menuduh kau. Aku dah cakap banyak kali, putuskan aje hubungan kau dengan dia. Dia tak layak untuk kau. Macam mana kau nak hidup dengan orang yang macam tu? Cemburu tak bertempat! Nanti bila dah kahwin, kau nak kerja pun tak senang. Kau senyum dengan pengetua pun dia kata kau ada skandal. Sudahnya, setiap hari kau kena tampal plaster kat mulut pergi sekolah."
Waida sudah terkekeh-kekeh ketawa. Aku sedang gundah-gulana, Waida boleh pula buat lawak. Ada juga yang nak kena lambung nanti.
Sebenarnya, sudah banyak kali Waida minta aku supaya memutuskan hubungan dengan Hisham. Tapi bukan mudah bagiku untuk memutuskan hubungan kami. Hampir lima tahun kami bercinta, sudah tentulah rasa sayang terhadapnya sudah terlalu kuat. Cuma, akhir-akhir ini sahaja hatiku mula berasa tawar terhadapnya disebabkan oleh sikapnya yang cemburu buta dan sering berprasangka terhadapku. Namun, rasa tawar hati itu tidak pernah aku suarakan kepada Waida.
"Dia ada masalah kut. Itu yang dia jadi macam tu. Kalau tak, dia okey aje." Aku cuba membela Hisham walaupun hakikatnya hati aku sendiri sudah berasa goyah.
"Bukan baru semalam dia buat perangai macam tu. Dah lebih tiga tahun. Sejak kau mula buat degree. Dia tu aku rasa ada perasaan rendah diri yang kronik. Mungkin dia rasa rendah diri sebab dia hanya ada diploma, kau pula ijazah. Tapi kalau betul pun, tak patutlah dia buat kau macam ni. Kalau aku, dah lama aku tinggalkan dia. Mulut langsung tak tahu nak cover. Hidup kau pun terkongkong. Nak buat itu tak boleh, nak buat ini tak boleh. Itu kau belum jadi isteri dia lagi, kalau dah kahwin, jangan-jangan nak jumpa ibu bapa sendiri pun tak boleh."
Aku termenung. Termakan juga aku dengan kata-kata Waida. Memang hidup aku tidak lagi sebebas dulu sejak tiga tahun lepas. Kalau kami keluar bersama dengan bekas rakan-rakan sekolah yang lain, jangankan kata nak bercakap, senyum pun terpaksa aku kawal. Nanti tak pasal-pasal dituduhnya aku perempuan gatal.
"Engkau lembut sangat dengan dia. Kalau aku, aku backhand aje dia. Dapat kekasih baik pun tak tahu nak bersyukur. Kau pula setia membabi buta. Kalau aku, dah lama aku pasang pakwe lain kat sini. Biar ternganga mulut dia. Baru dia tau langit tu tinggi rendah. Dia ingat dia sorang aje lelaki dalam dunia ini? Bukan tak ada orang yang nakkan kau, Abang Ashraf dari fakulti kejuruteraan itu bukan main sukakan kau. Tapi, kau setia sangat dengan mamat sengal tu. Tak faham aku!"
Waida kalau sudah mula membebel, kereta api pun tak boleh lawan. Tapi aku tahu, dia berkata begitu kerana sayangkan aku. Mahu melihat aku bahagia.
Perbualan kami terhenti seketika apabila pelayan sampai untuk menghantar makanan. Aroma yang keluar dari makanan yang masih panas itu membuatkan perutku terasa begitu lapar.
"Entahlah Waida, aku pun tak tahu. Kalau ada jodoh aku dengan dia, adalah. Kalau tak ada pun, aku reda." Perlahan suara aku menuturkan ayat itu.
"Kau tak kecewa kalau tak dapat kahwin dengan dia?"
"Kecewa juga, tapi kalau dah tak ada jodoh, takkan aku nak meratap hiba sebab tak dapat kahwin dengan dia. Baik aku pergi cari orang lain, then, kahwin. Bersedih beria-ia pun apa yang aku dapat? Jodoh kan di tangan Tuhan. Aku reda kalau jodoh aku dengan orang lain."
Macam bagus sahaja aku apabila bercakap. Jangan bila sampai masanya kau menangis sampai penuh lapan tempayan dengan air mata sudahlah Auni, bisik hati kecilku.
"Ha, macam inilah kawan aku! Putus cinta aje pun, not a big deal, right?" Aku mencebik mendengar kata-kata Waida, kaunselor tidak bertauliah.
MALAM itu, Hisham menghantar mesej kepadaku.
# Awak marah saya lagi?
Aku tidak tahu sama ada aku marah atau berkecil hati dengannya. Cuma yang aku sangat-sangat pasti, aku sudah mula bosan dengan sikapnya. Namun, mesejnya aku balas juga untuk tidak memanjangkan sengketa.
+ Tak. Tapi kecil hati.
# Awak... Saya minta maaf. Saya tahu saya salah.
Inilah perangai Hisham. Dia tidak lokek dengan permohonan maaf, tetapi kesalahan yang sama tetap dilakukannya berulang-ulang. Permohonan maaf itu seolah-olah tidak bermakna apa-apa.
# Janganlah senyap aje. Awak dah tak sayangkan saya?
Ini yang aku malas ni. Aku marah, tapi bukan bermakna tak sayang.
+ Awak tahu jawapannya, kan? Dah lima tahun pun... Takkan tak tahu sayang atau tidak?
# Tapi awak diam aje... Saya call awak?
+ Saya tak rasa nak bercakap dengan awak malam ni. Bercakap pun buat bergaduh aje.
# Tak. Janji malam ni tak gaduh. Saya call, eh?
+ Emmm...
Tidak sampai sepuluh saat, telefonku berdering. Tanpa melihat nama pemanggil, aku sudah tahu siapa.
"Helo." Aku bersuara perlahan
"Awak... Saya rindu sangat nak dengar suara awak hari ni." Wah, ayat maut ni. Ada bau-bau hendak memujuk.
"Dah dengar kan sekarang? Okeylah. Bye." Aku pura-pura hendak meletakkan telefon.
"Awak... Janganlah... Awak tak kesian kat saya ke? Dah macam pungguk rindukan bulan ni." Dia bersuara. Memujuk.
"Siapa suruh jadi pungguk? Dah elok-elok jadi orang, nak jadi pungguk pula? Itulah, lain kali nak bercakap tu jangan sesedap rasa saja."
Wah, macam tak percaya sahaja aku boleh jadi seberani ini. Entah aura manalah yang merasuk. Selalunya aku akan mengalah sahaja. Malas mahu memanjangkan sengketa.
"Saya minta maaf sangat-sangat awak. Saya janji, saya takkan buat lagi."
Huh, janjilah sangat. Tapi janji akhirnya tinggal janji. Palsu semuanya.
"Rasanya dah beratus kali awak berjanji, tapi awak buat juga perangai tu. Saya dah penatlah bergaduh dengan awak." Biarlah, malam ini aku mahu melepaskan semua rasa tidak puas hati aku terhadapnya.
"Awak dah banyak berubah. Awak memang ada orang lain selain saya, kan?"
Ha, baru sahaja berjanji. Dah buat lagi.
"Suka hati awaklah nak cakap apa pun. Saya cakap apa pun bukan awak percaya juga. Tak habis-habis dengan cemburu buta awak tu. Saya dah naik rimas tau!"
"Awak jangan berani-berani curang dengan saya. Saya takkan senang-senang lepaskan awak!"
Hisham mula meninggikan suaranya. Ada desahan nafas yang seolah-olah menahan marah di hujung talian.
"Terpulanglah. Saya nak tidur dah ni. Esok nak berkemas barang lagi. Jumaat dah nak berjalan jauh. Assalamualaikum."
Aku terus mematikan perbualan. Sungguh aku tidak sangka bahawa aku akan jadi seberani ini malam ini. Aku patut catatkan tarikh ini sebagai antara tarikh bersejarah dalam hidup aku. Hehehe.
YOU ARE READING
Dia Pilih Aku
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Dia Pilih Aku Penulis: Rissa Ahdiya Muka Surat : 576 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967- 469-028-1 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah/Sarawak)