"AUNI, mak dan ayah kau dah sampai. Mereka tunggu di bawah." Waida melaung sambil membuka daun pintu.
"Weh, cik kak! Kalau ya pun, janganlah main terjah aje. Terkejut aku tau. Nasib baik tak kena kancing gigi."
Waida ketawa mendengar kata-kata aku.
"Sorry, sorry. Aku teruja sangat nak beritahu kau tadi. Ala... Kau dah nak balik. Aku ada lagi satu paper minggu depan. Duk sorang-soranglah aku nanti."
Waida mula mengeluh. Kadang-kadang jarak antara satu paper dengan satu paper yang lain memang agak jauh. Selagi tidak habis final exam, hendak pergi berfoya-foya pun hati tak tenang. Hendak balik ke rumah sementara menunggu paper seterusnya, takut tidak kuat iman pula. Maklumlah, di rumah godaannya banyak. Takut terleka, ulang kaji ke mana, peperiksaan ke mana.
"Jaga-jaga, aku dengar hantu banyak keluar kalau asrama kosong." Aku menyakat. Wajah Waida sudah mula berubah cuak.
"Weh, aku pun belum habis exam lagi! Agak-agaklah kalau nak menyakat pun. Tunggulah aku habis exam dulu."
"Hehehe... Sorry. Tapi bukan ke aku dengar kau ada darah pendekar. Pendekar Kundur tu bukan ke sepupu sebelah nenek kau, kau yang beritahu aku dulu, kan?" Aku sudah terkekeh-kekeh ketawa melihat wajah kelat Waida.
Waida menolongku mengangkat barang-barang turun ke bawah. Ibu dan ayah tidak larat mahu memanjat tangga ke bilikku yang terletak di tingkat tiga.
Kalau ibu gagahkan diri juga naik ke bilik, aku yakin ibu akan berjalan sambil merangkak pula di dalam rumah selepas itu. Lutut ibu sudah tidak berapa kuat, tambah-tambah lagi, ibu pernah terjatuh di bilik air yang menyebabkan tempurung lututnya retak.
Tangan ayah dan ibu segera aku cium sesampainya aku di bawah. Ayah mula menyusun barang-barangku di dalam bonet kereta.
Aku melihat ibu merenungku dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Serasaku, tidak pernah ibu merenungku dengan pandangan yang sebegini. Ah, hatiku sudah mula berasa tidak enak. Ada apa ya sebenarnya yang tersirat dalam hati ibu?
Menitis juga air mata aku sewaktu memeluk Waida tadi. Entah bila pula kami akan bertemu lagi. Selepas ini, pasti masing-masing akan sibuk dengan urusan sendiri. Namun aku perlu akur, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan.
Dalam perjalanan, ibu bertanya serba sedikit tentang peperiksaan akhir yang telah aku lalui. Aku lihat raut wajah ibu menunjukkan rasa lega apabila aku memberitahunya bahawa segalanya berjalan lancar.
Hampir tiga jam perjalanan, ayah akhirnya berhenti rehat di Hentian Yong Peng. Aku cepat-cepat berlari menuju ke bilik air. Ibu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat tingkahku.
Selesai urusanku di tandas, aku tercari-cari kelibat ibu dan ayah. Ibu melambai-lambaikan tangannya sebaik sahaja terperasankan aku yang sedang berdiri tidak jauh dari situ. Perbualan mereka yang tadinya nampak rancak, terhenti serta-merta dengan kehadiran aku. Mungkin mereka berbincang tentang sesuatu perkara yang mereka tidak mahu anak-anak tahu, desis hatiku.
"Ibu ada belikan Auni nasi ayam dan Nescafe. Tak tahulah Auni berkenan atau tidak. Kalau Auni nak makan yang lain, Auni pergilah pilih sendiri, ya?" Lembut tutur kata ibu.
"Nasi ayam pun okey, ibu. Auni pun taklah lapar sangat. Tadi dah sarapan nasi lemak."
Aku malas sebenarnya hendak beratur membeli makanan di gerai-gerai yang terdapat di R&R ini. Jadi, jalan terbaik, makan sahaja apa yang telah ibu belikan untukku. Jimat masa dan tenaga.
Kami kembali meneruskan perjalanan selepas selesai makan. Mungkin kerana perut yang kenyang, mata pula terasa mengantuk, aku tidak mempunyai daya untuk bercakap.
Ibu pula rancak melayan ayah berbual. Aku malas hendak menyertai perbualan mereka kerana rata-rata perbualan mereka berkisar tentang ayam dan itik, kes-kes pecah rumah yang sering berlaku di kampung akhir-akhir ini dan macam-macam lagi kisah yang sedikit pun tidak menarik minatku.
Dalam khayal melayan rasa mengantuk, aku seolah-olah terdengar ibu bertanya tentang kanopi kepada ayah. Kanopi? Hmmm... Sejak bila pula ayah aktif menyertai perkanopian? Ayah baru menyertai pengakap ke? Takkanlah umur sudah masuk 54 tahun ayah baru hendak bergiat aktif dalam aktiviti badan beruniform pula? Aku tersenyum-senyum sendiri. Tidak sedar entah bila aku mulai lena.
HATIKU melonjak riang apabila melihat papan tanda Selamat Datang Ke Mersing. Walaupun bandarnya tidaklah sebesar mana, hanya sebuah pekan kecil sahaja sebenarnya, tetapi hampir separuh usiaku dihabiskan di sini.
Sampai sahaja di rumah, tanpa berlengah-lengah lagi, aku terus mengeluarkan barang-barang dari bonet kereta. Sambil bernyanyi-nyanyi kecil, aku berulang-alik membawa masuk barang-barang ke dalam rumah.
"Bawa masuk ajelah barang ke dalam. Tak payah menyanyi-nyanyi. Tak elok orang dengar. Anak dara menyanyi di tengah laman. Dekat nak masuk waktu maghrib pula tu."
"Baik, puan! Saya yang menurut perintah!"
Ibu menjegilkan matanya padaku.
Rumah terasa sedikit sunyi kerana dua orang lagi adikku tiada di rumah. Adikku Tasnim sedang mengikuti lawatan sambil belajar ke Institut Aminuddin Baki, manakala adik bongsuku Haziq berada di Batu Pahat kerana mewakili sekolahnya dalam pertandingan silat. Manakala abang sulungku, Abang Hakim yang bekerja sebagai jurutera sudah berumah tangga serta memiliki dua orang cahaya mata menetap di Kelantan.
![](https://img.wattpad.com/cover/88467192-288-k615159.jpg)
YOU ARE READING
Dia Pilih Aku
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Dia Pilih Aku Penulis: Rissa Ahdiya Muka Surat : 576 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967- 469-028-1 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah/Sarawak)