"BERAPA lama tempoh pertunangan Auni ni, ayah?" tanya Abang Hakim sewaktu kami anak-beranak berkumpul malam itu.
"Kamu tidur ke waktu orang berbincang tadi?" Abang Hakim tersengih-sengih ditembak ayah.
"Mana ada. Hakim sibuk layan Si Umar ni tadi, itu yang tak berapa dengar tu."
"Enam bulan lagi dapatlah kamu adik ipar baru," jawab ayah ringkas.
Mulut aku pula melongo. Sesingkat itu? Mati-mati aku fikirkan pertunangan ini paling kurang akan berlangsung selama setahun. Aduh, bersediakah aku menjadi seorang isteri dalam tempoh waktu yang sesingkat ini? Kalau dah kenal tu lainlah cerita. Ini batang hidung encik tunang pun tak pernah nampak lagi.
"Cepatnya, ayah. Sempat ke nak buat persiapan? Bukan sikit persiapan yang nak dibuat nanti." Abang Hakim melahirkan rasa bimbang.
"Sempat. Pak ngah, pak long, pak anjang, pak usu semuanya ada untuk membantu. Ayah lagi senang hati Auni tak diikat lama-lama. Benda yang elok, lebih baik kita segerakan."
"Ada tak gambar dia? Hakim belum kenal pun lagi bakal adik ipar Hakim tu." Kak Farah, isteri Abang Hakim menyiku perut suaminya. Kurang senang dengan sikap gelojoh abang aku itu agaknya.
"Eh, Tasnim pun belum pernah tengok! Ibu kata segak orangnya. Tapi mata ibu selalunya lain sikit. Si Johnny Lever, pelawak filem Hindi tu pun ibu kata handsome."
Abang Hakim sudah berdekah-dekah ketawa.
"Nanti-nantilah tengok sendiri. Auni sendiri pun belum pernah lihat orangnya. Kamu semua pula yang lebih-lebih."
"Ala... Bolehlah ibu, bukannya luak pun..." rengek Tasnim lagi.
"Selagi Kak Auni belum tengok, belum jumpa dia, jangan harap Tasnim dapat tengok dia dulu." Aku menyampuk. Mengusik Tasnim.
"Kedekutlah Kak Auni ni."
"Biarlah. Tunang Kak Auni kan, bukan tunang Tasnim pun. Suka hati Kak Aunilah kalau tak nak bagi Tasnim tengok," usikku. Wajah Tasnim sudah bertukar cemberut.
AKU terasa sukar untuk melelapkan mata malam ini. Mungkin disebabkan badanku terlalu letih atau mindaku yang terlalu banyak berfikir? Enam bulan? Sempatkah aku membuat persediaan mental dan fizikal untuk menjadi seorang isteri? Bersediakah dia menerimaku dalam hidupnya? Mungkinkah dia juga telah dipaksa oleh umi untuk menerimaku? Akan bahagiakah hidupku nanti? Semua persoalan ini berlegar-legar di dalam kepalaku.
Deringan telefon bimbit mematikan lamunanku. Aku mencapai telefon yang berada di atas meja sisi. Nombor yang tidak dikenali. Aku biarkan sahaja panggilan tersebut tidak berjawab. Mungkin sahaja panggilan itu datangnya daripada ejen insurans ataupun syarikat penyiaran yang mempromosikan produk mereka.
Selang lima minit, telefonku berbunyi lagi. Masih juga aku biarkan tidak berjawab. Namun si pemanggil nampaknya masih tidak berputus asa untuk bercakap denganku. Bosan dengan bunyi deringan tersebut, akhirnya panggilan itu aku jawab juga.
"Assalamualaikum. Auni?" Kedengaran suara lelaki di hujung talian. Hisham? Tidak, ini bukan suara Hisham. Aku sudah kenal benar suara Hisham hatta ketika dia sakit tekak, selesema ataupun batuk.
"Ya. Auni bercakap. Siapa ni, ya?"
"Fahim here."
"Fahim yang mana ni, ya? Saya tak ingatlah." Sambil itu kepalaku ligat cuba mengingati mungkinkah ada dalam kalangan kenalanku yang bernama Fahim? Tiada. Saudara-mara? Juga tiada.
"Tunang awak nama apa, ya?" soalnya.
"Rahim, eh bukan, Fahrin." Laju aku menjawab.
"Fahrin tu artis, saya belum ada cita-cita nak jadi artis lagi. Rahim tu pula bapa saudara saya. Tadi awak bertunang dengan dia ke?" Kedengaran suara ketawa kecil di hujung sana. Fahim. Ya, dia rupanya.
Aduh! Macam manalah aku boleh terlupa nama tunang sendiri? Kelam-kabut sungguhlah kamu ni, Auni. Buat malu kaum aje.
"Hmmm... Dah ingat nama tunang awak ke belum? Nak saya tolong ingatkan?"
"Dah ingat... Fahim. Maaflah, terkejut tadi, itu yang tersasul."
Aku memegang dada. Rasa berdebarlah pula bila mendengar suara encik tunang buat kali pertama. Ngeee... Jantung dah mula rasa nak melompat keluar. Dengan Hisham tak pernah pula aku berdebar seperti ini. Mungkin kerana kami bermula sebagai kawan sebelum bercinta. Jadi, tiada apa yang hendak didebarkan.
"Ingat pun. Saya fikirkan tadi saya yang tersalah dail atau tersalah dengar. Dulu, katanya bakal isteri saya namanya Auni. Tup-tup hari ni awak mengaku awak ni tunang orang lain pula."
"Saya tersilaplah. Terkejut dengar suara awak. Awak pun tiba-tiba aje call."
"Saya tak boleh call tunang sendiri ke? Takkan saya nak call tunang ketua kampung awak pula?"
Weh, agak-agaklah. Sajalah tu nak kenakan aku. Nampak gayanya encik tunang ni boleh tahan juga dalam menyakat dan mengenakan orang. Aku perlu lebih berhati-hati selepas ini.
"Seronok tak jadi tunang saya?"
"Biasa aje. Nak seronok apa, rupa awak pun saya tak kenal."
"Nanti-nanti awak kenallah. Lepas kahwin, hari-hari awak tengok muka saya. Jangan muntah pula sebab tengok muka yang sama setiap hari nanti."
"Takkanlah sampai macam tu. Awak ni pun, agak-agaklah. Tapi curious juga tentang rupa awak. Gambar awak pun tak pernah saya tengok."
"Memang sengaja saya tak bagi umi tunjuk gambar saya pada awak. Saya nak awak terima saya dengan seikhlas hati. Ayah dan ibu awak kan dah pernah jumpa saya. Takkan awak tak percaya pada pandangan mata ayah dan ibu awak?"
"Percaya. Kalau tak percaya, taklah saya setuju bertunang dengan awak hari ni."
"Cukuplah kalau awak tahu yang saya ni lelaki Melayu yang biasa-biasa sahaja, tiada kecacatan anggota setakat ni, sihat zahir dan batin."
Kenapa aku rasa ada nada nakal pada ayat yang terakhir tu, ya?
"Saya pun biasa-biasa sahaja. Tidaklah secantik Lisa Surihani atau Erra Fazira."
"Tahu. Saya pun tak berharap awak secantik itu. Cukuplah kalau awak cantik pada mata saya."
Tiba-tiba aku rasa seolah-olah dalam hati ada bunga yang baru berkembang.
"Auni, saya tak boleh bercakap lama ni. Bimbang talian terputus sama pun ada. Masih lagi di pelantar. Nanti saya call awak lagi. Just want to say, thanks for everything. Terima kasih sebab buat umi saya gembira, terima kasih sebab sudi terima saya walaupun kita saling tidak mengenali."
Serentak dengan itu aku terdengar bunyi bising di talian dan tiba-tiba talian menjadi sepi. Dah terputus rupanya. Aduh! Waktu inilah talian mahu terputus pun, macam dah tak ada masa yang lain. Bengang betul.
Telefon di tangan masih lagi aku genggam dengan erat. Tak sangka akan menerima panggilan dari dia buat kali pertama malam ini. Aku tersenyum sendiri.
YOU ARE READING
Dia Pilih Aku
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Dia Pilih Aku Penulis: Rissa Ahdiya Muka Surat : 576 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967- 469-028-1 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah/Sarawak)