Bab 3

5.5K 79 0
                                    

MALAM ini, doa yang aku panjatkan lebih panjang dari biasa. Minggu depan akan bermulanya peperiksaan akhir semester. Selepas berakhirnya peperiksaan itu, maka akan berakhirlah kisah aku di bumi UPM ini. UPM akan aku tinggalkan dengan seribu satu kenangan. Di sinilah tempat aku menimba ilmu selama hampir empat tahun selepas menamatkan program matrikulasi di Kolej Matrikulasi Johor.

Telefon berdering nyaring menandakan adanya panggilan masuk. Cepat-cepat aku melipat telekung dan menyidainya di dalam almari.

Bibirku menguntum senyum sebaik memandang nama pemanggil pada skrin telefon.

"Auni, kenapa lambat angkat?"

Belum pun sempat aku mengucapkan salam, telingaku diterjah dengan suara garang si pemanggil. Mungkin dia risau kerana aku lewat mengangkat telefon agaknya. Aku cuba untuk menyedapkan hati sendiri.

"Auni baru selesai sembahyang. Awak dah makan?" Aku cuba bersuara selembut mungkin, cuba untuk meredakan kemarahan yang mungkin sedang bermukim dalam hati si pemanggil. Api mana boleh dilawan dengan api juga. Jadilah aku air seperti selalunya.

"Dah. Beli nasi bungkus aje. Betul ke tengah solat? Atau sedang melayan lelaki lain berbual?"

Ya Allah, lelaki yang seorang ini tidak sudah-sudah dengan prasangkanya. Entah apa lagi cara yang harus aku lakukan untuk membuktikan kejujuranku.

"Nak layan lelaki mananya? Auni kan kat hostel ni. Lelaki mana boleh masuk sini."

Aku sebenarnya sudah letih hendak menerangkan kepada Hisham. Hisham yang tidak habis-habis dengan sikap cemburu yang membuta tuli. Macamlah dia tidak pernah belajar di universiti. Tentulah dia lebih faham dengan peraturan asrama yang menetapkan tiada lelaki dibenarkan masuk ke kawasan asrama pelajar perempuan. Dan begitulah juga sebaliknya.

"Tak apalah kalau macam tu. Kalau saya tahu awak curang pada saya, siaplah awak! Awak jangan harap dapat bersama lelaki lain selain dari saya. Saya bukan orang bodoh yang boleh awak tipu. Awak ingat tu!"

Aku rasa ingin menjerit saat terdengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Lelaki ini semakin hari semakin mendera jiwa. Kenapa dia tidak boleh bersikap sepertimana dahulu?

Aku mendiamkan diri sahaja mendengar kata-katanya. Aku sudah tidak mempunyai tenaga untuk bertengkar dengan Hisham seperti malam-malam yang lalu. Biarlah, apa sahaja yang ingin Hisham katakan, aku akan mendengar sahaja. Aku sudah letih untuk berbalas kata. Bukan mendatangkan hasil pun, akhirnya aku juga yang akan dipersalahkan. Tuduhlah apa sahaja, aku sudah penat mahu menafikannya.

"Kenapa diam aje ni? Dengan saya tak mahu bercakap, dengan lelaki lain siap bertepuk tampar agaknya."

Usai sahaja ayat terakhir itu, aku terus menekan butang merah. Aku sudahlah letih dengan jadual kuliah yang padat, tugasan yang perlu disiapkan, dia pula mahu menambahkan beban fikiranku. Biarlah, untuk malam ini aku ingin menenangkan hatiku sendiri.

Aku mula mengenali Hisham sejak berada di tingkatan tiga. Ketika itu Hisham sudah pun berada di tingkatan lima. Sebelum ini, aku tidak mengenalinya walaupun kami belajar di sekolah yang sama. Hisham merupakan seorang pelajar yang pendiam dan kurang menonjolkan diri.

Aku pula boleh dikategorikan sebagai pelajar yang lincah dan nakal tetapi pada masa yang sama prestasi pelajaranku amat memberangsangkan. Ditambah lagi dengan keaktifanku menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti di sekolah, maka namaku agak terkenal semasa di sekolah dulu.

Perkenalan kami bermula apabila Hisham sering menjadi peneman kepada kawannya Adham iaitu teman lelaki sahabat baikku di sekolah, Raudhah. Hasil daripada menjadi peneman rakan masing-masing, kami akhirnya menjadi rapat.

Dia Pilih AkuWhere stories live. Discover now