SUBUH itu, badanku terasa seram sejuk seperti hendak demam. Mungkin terkejut mendengar perkhabaran semalam. Perlahan-lahan aku bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk. Mujur bilik tidurku mempunyai bilik air sendiri, jadi ibu dan ayah tidak perlu melihat wajah aku yang pastinya kelihatan seperti hantu gentayangan.
Selesai bersolat subuh, aku berbaring semula di atas katil sambil meletakkan tangan di atas dahi. Sungguh! Aku benar-benar berharap perkhabaran yang disampaikan oleh ibu dan ayah semalam adalah mimpi semata-mata. Tetapi, apabila aku melihat betapa teruknya wajahku di hadapan cermin pagi tadi, aku tahu yang hubunganku dengan Hisham bakal menemui penghujungnya tidak lama lagi.
Akalku ligat memikirkan strategi-strategi yang boleh diambil untuk membatalkan rancangan ibu dan ayah. Ingin sahaja aku lari dari rumah, tapi pasti akan kecoh jadinya. Silap-silap, jika ayah membuat laporan polis dan aku pula ditangkap selepas itu, aku yakin ayah akan serta-merta mengahwinkan aku ataupun menghantarku ke pusat pemulihan akhlak. Ayahku itu sukar diramal. Nampak sahaja tenang, tetapi jika sesekali ayah naik angin, bergegar rumah dibuatnya.
Rancangan kedua, berpura-pura yang aku menghidap penyakit kronik yang tidak membolehkan aku berkahwin. Penyakit apa, ya? Kalau aku beritahu ayah yang aku ada penyakit kurap, agak-agak ayah boleh terima tak alasan tu? Macam tak logik sahaja, lagipun kurap tu dikategorikan sebagai penyakit kronik ke? Hendak beritahu ayah aku tidak boleh melahirkan anak kalau berkahwin, lagilah kes haru. Dan-dan aku akan diheretnya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan
Apa-apapun, aku mesti berjumpa dengan lelaki yang konon-kononnya lelaki idaman Malaya tu. Dia perlu tahu yang aku langsung tidak ada hati untuk berkahwin dengannya. Dia perlu mencari cara untuk membatalkan rancangan mega kedua ibu bapa kami.
Aku berharap sangat yang dia sudah mempunyai kekasih hati. Jika dia sudah ada pilihan sendiri, maka rancanganku akan menjadi lebih mudah. Tapi, bagaimana aku hendak bertemu dengannya? Jangankan nombor telefon, nama dia pun aku tak tahu.
"Auni, turun sarapan, sayang." Suara ibu memanggilku dari luar.
Aku tidak menyahut, masih ingin menunjukkan rasa protes dan rajukku rentetan peristiwa semalam.
"Auni... Marilah makan. Nanti perut masuk angin pula," panggil ibu lagi.
Biarlah. Kalau perut aku meletup dek penuh dengan angin pun aku tidak peduli. Hari ini hari tunjuk perasaan!
"Tak apalah kalau Auni tak mahu makan. Nanti kalau lapar, Auni turunlah, ya?" Kasihan pula aku mendengar suara ibu. Ah, berdosanya aku.
"Ibu, sekejap lagi Auni turun. Ibu dan ayah makanlah dulu." Aku melaung dari dalam bilik.
Aku memandang wajahku di hadapan cermin. Rupaku sudah seperti rupa hantu dalam filem-filem seram Korea. Aku mengambil sikat lalu merapikan rambutku sebelum diikat. Kemudian, aku menyapu sedikit bedak di seluruh muka sebelum memakai lip gloss di bibir. Barulah rupaku nampak serupa orang. Aku tersenyum sendiri.
"Maaf, Auni lewat turun." Aku melihat sarapan di atas meja yang belum berusik. Pastinya ibu dan ayah menantiku untuk bersarapan bersama-sama.
"Tak apalah, bukan lambat mana pun..." ujar ibu menyedapkan hatiku.
Suasana di meja makan pagi itu sunyi sahaja. Yang kedengaran hanyalah bunyi sudu dan garpu yang berlaga dengan pinggan. Masing-masing mungkin kelu untuk memulakan bicara.
Selesai bersarapan, aku mula berkira-kira untuk kembali ke bilik. Namun, baru sahaja aku mahu berdiri, ayah sudah menahanku dan meminta aku duduk semula. Aku akur dengan permintaan ayah. Walaupun kecewa dengan keputusan mereka, mereka tetap ibu dan bapaku yang perlu aku hormati.
![](https://img.wattpad.com/cover/88467192-288-k615159.jpg)
YOU ARE READING
Dia Pilih Aku
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Dia Pilih Aku Penulis: Rissa Ahdiya Muka Surat : 576 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967- 469-028-1 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah/Sarawak)