Bab 2

6.6K 95 0
                                    

AKU mengikut Waida pulang ke kampungnya minggu itu setelah mendapat keizinan daripada ayah dan ibu. Ini merupakan kali ketiga aku ke kampung Waida yang terletak di Temerloh, Pahang.

Pemergianku kali ini tidak aku khabarkan kepada Hisham kerana aku sudah dapat menjangka jawapan yang bakal dia berikan. Malas aku mahu bertelagah dengannya. Pasti selepas aku khabarkan tentang pelawaan Waida kepadaku, cerita itu tidak akan habis di situ sahaja. Hisham seperti selalu akan mengasakku dengan teori-teori cemburu butanya yang tidak masuk akal.

"Auni, dah sampai. Jom turun!"

Lamunanku serta-merta terhenti. Leka melayan hati, sehingga aku tidak sedar bas yang kami naiki sudah tiba ke destinasinya. Bas berhenti di tepi simpang sahaja, betul-betul di hadapan jalan masuk ke kampung Waida. Dari situ, kami akan berjalan kaki sahaja menuju ke rumahnya.

"Waida, lebatnya pokok rambutan ni berbuah. Itu pokok duku, kan? Dah masak ke belum buahnya?"

"Kalau dah masak pun tak guna. Bukan kita boleh makan pun. Itu pokok orang. Cepat sikit jalan tu, cepat sampai, cepat kita dapat makan nasi. Mak aku mesti masak spesial sebab aku bawa kau balik sekali kali ni. Perut aku dah lapar ni. Makan buah bukannya kenyang pun. Baik kita makan nasi."

"Potong stim betul jawapan kau tu tau? Baru aku nak meloncat tengok pokok-pokok ni. Kau pula sibuk dengan nasi. Macamlah selama ni makan dedak."

Waida berhenti dan mengutip sebiji batu kecil yang terdapat di atas jalan yang tidak berturap itu lalu dibalingnya ke arahku. Aku sempat mengelak dan menjelirkan lidah kepada Waida, mengejek kerana balingannya tidak mengenai sasaran.

"Ingat aku ni ayam ke makan dedak semua tu?"

"Eh! Bukan ke? Tinggi kau kan macam ayam serama. Aku ingatkan makan dedak, rupanya makan nasi, ya? Maaflah, aku tak tahu."

Aku sudah terkekeh-kekeh ketawa. Waida yang melihat aku ketawa, turut sama ketawa. Kami sudah biasa bergurau begitu. Mungkin pada pandangan orang lain, gurauan kami kelihatan agak kasar, tapi sebenarnya itulah yang menyebabkan hubungan kami berdua bertambah erat.

"Macamlah dia tu tinggi sangat. Kalau aku ni ayam serama, kau tu ayam hutan tau." Tidak mahu kalah juga rupanya.

"Yalah, yalah. Aku ayam hutan."

Setelah berjalan hampir sepuluh minit, kami akhirnya sampai di rumah kayu bercat hijau itu. Rumah yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional itu menurut Waida telah berusia lebih 80 tahun. Entah betul atau tidak, aku percaya sahaja pada kata-katanya. Kalau dia katakan rumah itu telah berusia 150 tahun pun aku akan ya kan sahaja. Tidak kuasa pula rasanya aku mahu menyiasat akan kebenaran cerita Waida itu.

Aku melihat-lihat sekitar rumah yang ditanam dengan pelbagai pokok buah-buahan yang sedang lebat berbuah. Ini baru halaman rumah, agaknya di dusun nanti bagaimana pula rupanya? Mesti lebih meriah dengan buah-buahan yang sedang galak masaknya.

PETANG itu aku mengikut Waida ke dusun milik keluarganya. Dusun buah-buahan itu lebat berbuah dan banyak pula yang sedang masak di atas pokok.

"Ayah kau tak jual ke buah-buah ni semua, Waida?" Sayang pula jika buah-buah yang telah masak itu dibiarkan jatuh sahaja ke tanah atau dimakan tupai. Jika mahu dibuat makan sahaja, memang tidak termakan.

"Ada pokok yang dah dipajak pada peraih. Tak larat ayah aku nak buat semua. Bila pokok dah mengeluarkan hasil, peraih tu yang akan uruskan semuanya dari mengait sehinggalah menjual hasilnya. Ayah aku ambil untung bersih aje. Kita boleh ambil buah dari pokok yang tak dipajak aje tau, yang ayah aku dah tandakan dengan cat warna merah pada batangnya tu. Yang lain tak boleh!"

"Waida, aku nak panjat pokok ni boleh? Ini rambutan anak sekolah, kan? Atau rambutan gula batu?"

Aku menunjukkan pokok rambutan yang berkulit merah kepadanya.

"Rambutan anak sekolah. Tapi kau tak boleh panjat. Jangan cari pasal. Pokok tu banyak semut. Kait ajelah. Tak senonoh nak memanjat bagai. Kalau jatuh, letih aku nak menjawab dengan ayah kau nanti," larang Waida.

"Semut?"

Bila aku dongak ke atas dan memerhatikan pokok itu dengan teliti, sememangnya terdapat banyak semut yang sedang berkeliaran di atas batang dan dahan pokok rambutan itu. Terdapat juga beberapa sarang semut yang masih baru pada dahan pokok tersebut.

"Semua pokok ada semut ke?"

"Semut-semut ni berjangkit dari satu pokok ke satu pokok. Jadi, boleh dikatakan semua pokok pun ada semut."

"Habis tu selama ni kau tak pernahlah panjat pokok-pokok dalam dusun ni?"

"Tak pernah. Nak berbirat belakang kena balun dengan ayah aku? Kalau gian sangat nak memanjat, aku panjat pokok buah ceri yang kat depan rumah tu. Tapi bila ayah aku dapat tahu aku selalu panjat pokok tu, dengan pokok-pokok tu sekali ayah aku tebang."

"Garangnya ayah kau. Seram pula aku. Tapi, aku tengok ayah kau tu okey aje. Suka berlawak. Ke kau tengah goreng aku ni?"

"Sekarang dah tua, agaknya dah tak ada tenaga nak berkejar dengan anak-anak. Dulu kalau aku ponteng mengaji, ayah aku kejar dengan pelepah kelapa keliling kampung tau."

Waida sudah ketawa besar. Lucu agaknya bila terkenang cerita zaman nakal dahulu.

"Memang patut pun. Dah kau tu nakal sangat."

Waida mencebik.

MALAM itu, aku hilang malu sehingga bertambah nasi tiga kali. Menunya, ikan cencaru bakar, gulai nangka, sambal belacan dan pucuk ubi rebus. Kenyangnya sehingga hendak bangun pun aku rasa tidak larat. Tapi memandangkan aku berada di rumah orang, terpaksa jugalah aku gagahkan diri. Jika di rumah sendiri, mahu sudah terbongkang aku dibuatnya.

Hisham menelefonku malam itu seperti biasa. Aku menjawab panggilannya dan berlagak seolah-olah aku berada di kolej. Mujurnya, dia menelefon sewaktu aku berada di dalam bilik bersama Waida. Jika tidak, jenuh juga aku mahu mereka alasan jika dia terdengar ada suara-suara yang lain ketika itu. Waida sesekali mengerling ke arah aku sambil menjongketkan keningnya.

"Hisham?"

Usai menamatkan perbualan, Waida bertanya. Aku mengangguk.

"Bagi pula dia kau ikut aku kali ni?"

"Apa pula baginya, aku tak beritahu pun dia yang aku nak ikut kau balik kampung."

"Habis tu?"

"Habis tu apa? Dia mati-mati ingat aku ada kat kolej. Bertuah dia nak lepaskan aku ikut kau kalau dia tahu. Senang-senang baik tak payah beritahu."

"Tak sangka, bijak pula kawan aku kali ni. Kalau tak, saya yang menurut perintah la memanjang. Pelik, ayah dan ibu kau tak ada hal, dia pula yang melebih-lebih."

Aku hanya menjongketkan bahu. Tidak mahu menyambung apa-apa. Tahu sangat dengan tahap anti Waida bila ia membabitkan soal Hisham.

Hujung minggu itu aku habiskan dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Memancing ikan, meronda sekeliling kampung dengan membonceng motosikal yang ditunggang Waida dan belajar membuat pekasam. Aku berasa sungguh gembira kerana seolah-olah minggu itu aku bebas untuk menjadi diri aku yang sebenarnya. Perasaan apakah sebenarnya ini?

Dia Pilih AkuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang