Bab 10

4.3K 67 0
                                        

SUDAH seminggu aku berdiam diri sejak membuat keputusan untuk menurut sahaja kehendak ibu dan ayah. Semakin lama aku bertangguh, semakin berat perkara itu menekan jiwa.

Hari ini akhirnya kekuatan itu datang untuk aku khabarkan perkara yang sebenarnya kepada Hisham. Aku mahu menamatkan segala kisah antara kami berdua sebelum aku bergelar tunangan orang. Biarlah seberat mana pun hatiku untuk berpisah dengannya, demi kasih sayangku kepada ayah dan ibu, aku rela mengorbankan cintaku padanya.

"Assalamulaikum. Awak sibuk ke?" Suaraku bergetar semasa memulakan bicara. Besar kesalahan yang aku lakukan kali ini pada Hisham. Mungkin padanya aku telah mengkhianati janji yang telah kami buat sebelum ini.

"Auni! Awak ni kenapa? Saya risau tau. Saya memang tunggu sampai hari ini aje. Kalau saya tak dapat hubungi awak sampai hari ini, memang saya akan terjah rumah awak esok."

Aku diam. Segala bicara, segala perkataan seolah-olah tersekat di kerongkongku. Hilang semua ayat yang sudah aku hafal di kepala sebelum menelefon Hisham.

"Auni, kenapa diam ni? Awak marah saya lagi ke? Saya betul-betul minta maaf. Saya tahu, saya tak patut tuduh awak macam tu. Tapi saya tak dapat tahan perasaan cemburu bila dengar kawan-kawan saya bercerita tentang awak. Bagi saya, awak hak saya. Orang lain kalau boleh pandang awak pun saya tak benarkan."

Hisham, lepas ni mungkin awak pun tak boleh nak pandang saya, bisik hatiku.

"Awak, awak dengar baik-baik ya apa yang saya nak katakan ni. Saya nak awak bertenang, beri peluang untuk saya bercakap." Aku diam seketika. Cuba mengawal perasaan sebenarnya. Mataku sudah mula rasa berpasir.

"Saya rasa hubungan kita biarlah sampai setakat ini saja. Saya minta maaf banyak-banyak pada awak. Saya tak mampu nak teruskan hubungan kita lagi." Air mataku laju menuruni pipi.

"Kenapa cakap yang bukan-bukan ni? Saya minta maaf, okey? Janganlah sebab marahkan saya, awak nak putuskan hubungan kita. Kita bukan baru berkawan Auni. Dah lima tahun. Saya sayang awak sangat-sangat. Saya betul-betul janji kali ni. Saya takkan cemburu buta lagi. Auni, janganlah macam ni, ya?"

Hatiku luluh mendengar rayuan Hisham. Awak tak tahu, susah bagi awak, berat lagi sebenarnya bagi saya.

"Awak, saya dah nak bertunang minggu depan. Saya minta maaf sangat dengan awak kalau sepanjang kita berkawan, ada salah silap saya pada awak. Saya tak mampu nak tolak permintaan ibu dan ayah saya. Maafkan saya, awak."

Aku teresak-esak menangis. Terdengar desahan nafas yang berat di hujung sana. Mungkin Hisham tergamam mendengar perkhabaran itu. Beberapa ketika kemudian, tiada lagi suara yang aku dengar kerana Hisham telah memutuskan talian. Hisham pastinya memerlukan masa untuk menerima semua ini. Segalanya berlaku dengan pantas, pastinya ia tidak mudah bagi kami berdua.

"KAK AUNI, ayah panggil turun. Ada tetamu sedang tunggu Kak Auni di bawah." Suara Haziq berlawan dengan bunyi ketukan pada pintu bilik. Apa jugalah budak ni. Nak beritahu, beritahu sahajalah, tak perlulah sambil mengetuk pintu bilik, sambil bercakap. Buat pening kepala sahaja mendengarnya.

"Siapa?" Aku menjenggukkan kepala di sebalik daun pintu.

"Tak tahu. Haziq tak kenal. Lelaki. Ayah suruh Kak Auni turun sekarang."

Aku segera membersihkan wajah yang kelihatan sembab dek menangis selepas bercakap dengan Hisham semalam. Selepas menukar pakaian kepada pakaian yang lebih sopan dan mengenakan tudung, aku pun keluar untuk menemui tetamu yang dikatakan oleh Haziq tadi. Hatiku tertanya-tanya, siapa pula tetamu yang dimaksudkan? Aku bukannya ada ramai kawan lelaki pun. Kalau ada pun hanyalah teman-teman sekuliah semasa menuntut di universiti. Selebihnya rakan-rakan sekolah yang telah lama terputus hubungan.

Dia Pilih AkuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang