MINGGU yang agak sibuk bagi semua orang di rumah. Aku? Tugasku hanya makan dan tidur setakat ini. Semuanya sudah diuruskan ibu. Hanya menunggu waktu aku menghulurkan jari manisku untuk disarungkan cincin sahaja.
Hisham masih lagi tidak berputus asa menghubungiku. Memujukku melalui kiriman mesej agar lari bersamanya dan berkahwin walaupun tanpa restu keluarga. Namun satu pun pesanannya tidak aku balas. Ibu mencadangkan aku menukar nombor telefon bagi mengelakkan gangguan Hisham. Bimbang agaknya kalau-kalau aku akan berubah fikiran jika berterusan dipujuk Hisham.
Setelah berfikir baik buruknya cadangan ibu, petang itu aku keluar bersama Tasnim ke bandar. Sayang sebenarnya untuk menukar nombor memandangkan nombor ini telah aku gunakan sejak berada di matrikulasi lagi. Tapi, demi mengelakkan gangguan dan tidak mahu Hisham terus berharap, aku harus juga melakukannya.
"Auni! Wah, makin cantik sekarang. Maklumlah orang dah dapat gading yang baru, tanduk yang lama pun dibuanglah, ya?"
Kakak kedua Hisham yang aku panggil Kak Uji muncul di hadapanku dengan melemparkan senyuman sinis. Di sisinya ibu Hisham yang memandang aku dengan pandangan seolah-olah mahu menerkam.
"Kak Uji, mak cik, apa khabar?"
Huluran tanganku untuk bersalam tidak bersambut. Tasnim memandang kedua-duanya dengan pandangan kurang senang. Aku menarik kembali tangan yang dihulurkan tadi. Pastinya mereka marah dengan apa yang terjadi antara aku dan Hisham. Mereka sememangnya mengetahui hubunganku dengan Hisham sejak dari mula lagi sementelah Hisham tidak pernah berahsia tentang hubungan kami dengan keluarganya.
"Tak sangka, nampak macam baik, lemah lembut. Tapi rupanya perangai macam kacang lupakan kulit. Bila dah habis belajar, dah senang, Hisham kamu tinggalkan. Perempuan jenis apa kamu ni?!" sergah ibu Hisham.
"Saya rasa, mak cik tak ada hak nak marah-marah kakak saya. Kakak saya ada hak untuk memilih jodohnya sendiri. Abang Hisham bukan pilihan kakak dan keluarga kami. Bukan kerana Abang Hisham tu kurang dari segi kewangan, tapi..."
"Tasnim... Sudahlah! Malu orang tengok kita bergaduh di sini. Mak cik, mungkin dah tersurat tiada jodoh saya dengan Hisham. Saya berharap sangat mak cik sekeluarga dapat terima semua ini dengan hati yang terbuka. Maafkan saya, mak cik. Saya minta diri dulu." Cepat-cepat tangan Tasnim aku tarik menuju ke seberang jalan.
"Kak Auni ni lembut sangat. Kakak patut beritahu mereka siapa Hisham tu sebenarnya. Belum kahwin pun dah mengawal macam-macam. Itu tak boleh, ini tak boleh. Memaki hamun sesuka hati, macamlah selama ni dia yang beri akak makan pakai."
"Sudahlah, Tasnim. Biarlah. Mereka dah memang begitu, takkan kita pun nak berkelakuan macam tu. Bersabar sahajalah. Mungkin kita pun akan marah kalau kita berada di tempat mereka."
"Kalau Tasnim, memang Tasnim akan balas habis-habisan. Mereka ingat Si Hisham tu baik sangat agaknya. Salah anak sendiri tak nampak, salah orang bukan main lagi."
Aku ketawa sahaja mendengar omelan Tasnim di sebelah. Tasnim memang agak tegas dan garang orangnya. Perangainya lebih mirip kepada perangai ayah, manakala aku lebih banyak mengikut perangai ibu, tenang dan lebih banyak beralah.
HARI yang dinanti oleh ibu dan ayah tiba juga. Sejak dari pagi, aku lihat ibu tidak senang duduk. Saudara-mara mula memenuhi rumah sejak dari pagi tadi. Suasana meriah mula terasa dengan keadaan riuh-rendah suara orang-orang kampung yang datang menolong.
Rombongan daripada pihak lelaki dijangka tiba selepas zohor dengan menaiki enam buah kereta. Kata ibu, pertunangan ini sememangnya pertunangan yang ditunggu-tunggu oleh ahli keluarga di sebelah pihak lelaki. Bakal tunangku merupakan cucu lelaki sulung dalam keluarganya. Telah lama mereka menunggu dia membawa pulang calon isteri untuk diperkenalkan kepada kaum keluarga.
Sehinggakan umi dan abahnya sudah mula berasa bimbang memandangkan umur anak mereka sudah mencecah 32 tahun, namun, tanda-tanda untuk mendirikan rumah tangga masih tidak kelihatan. Aku tidak pasti atas dasar apa aku dipilih oleh mereka. Aku berharap bakal suamiku juga ikhlas menerima aku sebagaimana aku ikhlas menerima dirinya.
Kak Ayu yang ditugaskan oleh ibu untuk menyolekku sudah pun sampai sejak pukul dua belas tengah hari tadi. Aku meminta agar solekan tipis sahaja dikenakan ke wajahku yang sememangnya tidak suka memakai alat solek. Selama ini, aku hanya memakai bedak tipis dan pelembab bibir sahaja jika ke mana-mana.
Kain yang dihadiahkan oleh umi tempoh hari menjadi pakaian pertunanganku pada hari ini. Sepasang kebaya labuh. Tasnim sudah beberapa kali merengek meminta agar dibelikan kain yang serupa namun mahukan warna dan corak yang berbeza untuk dipakai pada majlis perkahwinanku nanti.
"Keluarga pihak lelaki dah sampai," bisik Kak Ayu. Aku menggenggam kedua-dua belah tanganku. Tiba-tiba aku berasa sangat gementar. Kedua-dua tanganku sudah mula terasa sejuk, peluh juga mula merenik di dahi.
"Bertenang. Bertunang sahaja. Bukan apa pun." Kak Ayu cuba untuk meredakan perasaanku yang mula bergelojak.
"Perbincangan dah nak habis. Siap sedia untuk bawa Auni turun." Orang di luar menyampaikan pesanan. Kak Ayu membantuku untuk berdiri sambil membetul-betulkan pakaianku. Aku turun perlahan-lahan ke tingkat bawah dengan ditemani Kak Ayu dan Tasnim di sebelah kiri dan kananku.
Berpasang-pasang mata memandang kepadaku. Aku mula terasa kekok untuk melangkah. Segalanya terasa serba sumbang. Aku duduk bersimpuh di atas pelamin serba ungu itu dengan hati yang berdebar menunggu wakil daripada pihak lelaki untuk menyarungkan cincin.
Majlis pertunangan selesai sudah. Sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda merisik dan sebentuk cincin bertatahkan tiga butir berlian sebagai tanda aku telah menjadi tunangan orang selamat disarungkan di jariku. Selesai sahaja upacara menyarung cincin, umi mencium kedua-dua belah pipiku dan memeluk erat tubuhku sambil berkali-kali mengucapkan terima kasih.
Dalam sibuk memenuhi permintaan rakan-rakan dan saudara-mara yang mahu mengabdikan kenangan bersamaku, sempat juga aku memanjangkan leher mencari-cari yang mana satu si dia. Hendak bertanya kepada ibu, hati terasa malu.
"Kak Auni cari siapa tu?"
Aku menoleh. Kelihatan wajah Tasnim yang tersengih-sengih memandangku.
"Cari apa? Tak ada cari apa pun. Saja tengok-tengok tetamu yang datang. Tak boleh ke?"
"Ala... Tasnim tahulah Kak Auni tengah cari tunang tersayang. Dia tak datanglah, Kak Auni. Tasnim terdengar tadi bakal mentua Kak Auni beritahu ibu, bakal suami Kak Auni tu offshore katanya. Tak dapat hadir. Melepaslah Kak Auni hendak menatap wajah dia hari ni." Tasnim terkekeh-kekeh ketawa. Laju sahaja tanganku mengetuk bahunya. Kalau mengenakan orang, dialah juaranya.
"Sakitlah, Kak Auni... Garang semacam. Lari nanti encik tunang tu kalau garang-garang macam ni."
"Eleh, tak hairan! Kak Auni ada ramai lagi peminat yang menunggu kalau dia lari pun." Macam bagus sahaja jawapan yang aku berikan. Hakikatnya, aku tiada sesiapa pun selepas memutuskan hubungan dengan Hisham.
"Auni... Umi dah nak balik ni." Wajah ibu kelihatan berseri-seri pada hari ini. Mengalahkan aku pula rasanya. Serinya seolah-olah ibu pula yang bertunang pada hari ini. Hahaha.
Umi menghampiriku dan diekori dengan beberapa orang perempuan lain yang tidak aku kenali. Umi tersenyum lebar memandang wajahku.
"Auni, umi gembira sangat hari ini. Terima kasih kerana sudi menerima anak umi." Umi memelukku erat. Aku membalas pelukannya dengan erat juga.
"Auni, ini Izzati, anak umi yang bongsu. Yang lain-lain ni semuanya bakal ibu-ibu saudara Auni."
Aku diperkenalkan dengan seorang demi seorang ahli keluarga umi yang ada bersamanya ketika itu.
YOU ARE READING
Dia Pilih Aku
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Dia Pilih Aku Penulis: Rissa Ahdiya Muka Surat : 576 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967- 469-028-1 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah/Sarawak)