Hantu Step

4K 249 31
                                    

Bahang malam itu semakin melemaskan. Kipas siling dengan kelajuan maksimum bagai tiada fungsi. Angin yang mengisi bilik D701 itu langsung tidak menyamankan lapan penghuninya.

Bagaimanapun tujuh budak lelaki berumur 13 tahun di dalam bilik itu sudah lelap. Azim Anakin yang tidur di katil hujung, sudah berdengkur seperti biasa.

Tinggallah Mokhsin Maliki terkebil-kebil seorang diri memaksa mata untuk pejam. Peluh di tubuhnya sudah membasahkan cadar dan bantal. Mahu sahaja dia ke bilik air dan mandi. Dapat juga menyejukkan badan.

Namun sekarang sudah pukul 2.30 pagi. Kerja gila mahu ke bilik air seorang diri tengah-tengah pagi ini. Mokhsin Maliki rela tidur telanjang daripada memberanikan diri ke bilik air.

Bukan bahang cuaca sahaja yang meresahkan Mokhsin Maliki. Cerita seram yang baru dikongsi abang angkatnya, Johan Effendy sebelum lampu semua bilik diarahkan untuk dipadamkan pada pukul 11 malam tadi juga mengacau perasaannya.

"Perasan tak lantai bilik Mokhsin ni je yang licin dan cantik je kat asrama ni?"

Johan Effendy memancing minat Mokhsin Maliki.

Pantas mata Mokhsin Maliki merenung lantai biliknya. Tidak cukup dengan itu, dia bangun dari katil dan berjalan mengelilingi bilik.

"Yeke bang? Alah mesti sebab semua budak-budak yang duduk bilik ni baik-baik. Pandai jaga bilik. Selalu sapu dan mop. Macam kitorang buat sekarang."

Bersulam bangga Mokhsin Maliki menjawab persoalan yang dibangkitkan Johan Effendy, pelajar tingkatan lima bertubuh tegap yang menjadi kegilaan senior-senior asrama perempuan di seberang jalan.

"Salah tu. Ini semua sebab seorang student hostel ni dulu. Mamat ni budak ragbi. Suatu petang ni, kat padang kita tu ada liga ragbi antara hostel negeri lain.

"Mamat ni main untuk hostel kita. Dia ni kira powerlah sebab bawa hostel kita masuk final. Tapi separuh game dia injured. Kaki kiri dia patah atas padang.

"So dia pun diusung keluar dan direhatkan sekejap dalam bilik ni. Dulu bilik ni untuk pelajar sakit.

"Masa final match tu, semua student dah cuti sekolah hujung tahun. Nak dijadikan cerita semua terlupa pasal mamat ni yang diletakkan dalam bilik sakit tu.

"Mamat ni pulak sedar-sedar hari dah gelap. Dia nak berjalan tak kuat. Menjeritlah dia panggil orang tapi tak ada siapa pun dengar sebab asrama dah dikosongkan untuk dua minggu.

"Warden yang jaga bangunan pun tak perasan sebab banyak habiskan masa tengok TV di bilik pengawal je.

Khusyuk Mokhsin Maliki mendengar cerita abang angkatnya. Sesekali dia berkerut dahi memikirkan logik cerita tersebut. Mustahil pelajar yang baru patah kaki dibiarkan tanpa rawatan segera. Karut sama sekali.

Johan Effendy meneguk botol Coca-Cola di tangannya. Kemudian menyambung bercerita.

"Dua minggu mamat ragbi tu terkurung dalam bilik sakit tu. Tak ada makanan tak ada minuman. Bila orang jumpa, dia dah mati dalam uniform ragbinya, lengkap dengan kasut but di kaki. Mayatnya jatuh tertiarap di lantai di depan pintu bilik ni.

Johan Effendy memuncungkan bibirnya ke arah pintu bilik yang betul-betul di sebelah katil Mokhsin Maliki. Raut wajahnya serius.

Mokhsin Maliki berdebar. Bayangan mayat pelajar itu tiba-tiba bermain dalam kepala. Kacau betul. Dia menolak bahu Johan Effendy tanda protes. Malam itu cerita Johan Effendy sangat mengarut.

"Habis tu apa kaitan dengan lantai bilik ni licin?"

Sifat ingin tahu Mokhsin Maliki mendadak tiba-tiba. Johan Effendy menyeringai. Barangkali lucu dengan perubahan reaksi Mokhsin Maliki yang tadinya sedikit marah kemudian menunjuk minat.

Smiley CreepyPasta | MalayWhere stories live. Discover now