Myrtles

3.3K 193 15
                                    

Misteri Sumpahan Ladang Myrtles

Ladang Myrtles merupakan sebuah kawasan ladang yang luas
beserta sebuah rumah agam yang terletak di St. Francisville
dalam daerah Louisiana, Amerika Syarikat. Ia dibina lebih 200
tahun lalu.

Terdapat pelbagai versi yang diceritakan tentang asal usul
rumah ini. Salah satu versi mengatakan, rumah ini dibeli oleh
Ruffin Gray Stirling pada tahun 1834. Dia membawa isterinya,
Mary Catherine Cobb serta sembilan anak mereka untuk
menetap di dalam rumah mereka.

Dikatakan waktu itu, keluarga Ruffin terkenal diseluruh
kawasan St. Francisville atas kemewahan hidup mereka.
Malah, Ruffin sempat mengubah hampir keseluruhan kawasan
rumah agam itu sebelum dia meninggal dunia empat tahun
kemudiannya.

Selepas kematian Ruffin, isterinya menjadi satu-satunya
penjaga yang menguruskan ladang dan segala perniagaan
milik mereka. Sekalipun dilimpahi kekayaan, keluarga itu
sering ditimpa nasib malang.

Daripada sembilan orang anak, hanya empat daripada mereka
hidup sehingga menginjak usia remaja. Lima anak Mary yang
lain meninggal sewaktu kecil kerana penyakit berjangkit yang
menyerang kawasan tersebut.

Tambah menyedihkan selepas kematian Ruffin, pelbagai
masalah kewangan mula menghimpit keluarga tersebut. Mary
kehilangan hampir semua harta yang pernah dimilikinya
kecuali ladang Myrtles.

Dia cuba mempertahankan satu-satunya harta peninggalan
suaminya sehingga meninggal dunia pada tahun 1880.
Ladang Myrtles kemudiannya diambil alih oleh anak
perempuan mereka, Sarah dan suaminya, William Winter.
Tragedi malang keluarga ini tidak terhenti di situ, Menurut
akhbar Point Coupee, menantu kepada keluarga ini, William
telah dibunuh diluar rumah Ladang Myrtles. Ketika itu dia
sedang mengajar disalah satu ruang tamu rumah agam
tersebut. Motif pembunuhan dan siapa pembunuhnya masih
kekal misteri sehingga ke hari ini.

Selepas kematian suaminya, Sarah menjadi tertekan. Dia
terus tinggal dirumah tersebut sehingga ke akhir hayatnya.
Ladang Myrtles kemudian diambil alih oleh salah seorang
abang Sarah yang akhirnya menjual rumah tersebut kepada
Oran D Brooks kerana tidak mampu menanggung hutang yang
banyak.

Oran hanya menjadi tuan rumah sementara sebelum dia
menjual rumah itu kepada Harrison Williams pada tahun
1889. Harrison membawa anak bongsunya dan isteri
keduanya berpindah ke rumah tersebut pada tahun 1891.
Dikatakan, sumpahan ladang Myrtles terus mengejar
penghuninya. Pada suatu hari, anak bongsu Harrison yang
cuba membantu seekor anak lembu yang terjatuh ke dalam
kolam berhampiran turut lemas di situ.

Kecewa dengan kejadian itu, Harrison telah menyerahkan
ladang Myrtles kepada anak sulungnya, Surget Minor
Williams.

Pada tahun 1950, kawasan tanah di sekitar rumah tersebut
telah dibahagikan dalam kalangan waris keluarga Williams.
Rumah 'pembunuh' itu pula akhirnya dijual kepada Marjorie
Munson, seorang janda yang berasal dari Okhlahoma. Namun,
kisah misteri yang dikaitkan dengan rumah itu masih belum
berhenti.

Sejak tinggal di rumah agam itu, Marjorie sering melihat
bayangan seorang wanita berselendang hijau merayau di
sekitar kawasan rumah tersebut.

Bukan itu sahaja, Marjorie juga mendakwa pernah terlihat
bekas tapak tangan pada cermin rumahnya selain sering
terhidu bau wangi yang tidak diketahui dari mana datangnya.
Malah, dia juga pernah terlihat bayangan kanak-kanak
bermain dan berlari di sekitar kawasan balkoni rumah itu.

Bingung dengan kejadian misteri tersebut, Marjorie cuba
mencari jawapan. Hasil siasatannya berdasarkan cerita
penduduk tempatan, rumah agam ini asalnya dimiliki
pasangan Clark Woodruff dan Sarah Mathilda. Kononnya,
pasangan itu mempunyai dua orang anak perempuan.
Clark dikatakan telah menjalin hubungan sulit dengan Chloe,
salah seorang pembantu rumah mereka. Namun, selepas
beberapa ketika, Clark yang sudah bosan dengan Chloe mula
mengabaikannya dan mencari mangsa baru.

Chloe yang bimbang nasib yang bakal menimpa dirinya mula
resah. Dia sering menghendap dan memasang telinga
mendengar perbualan Clark dan Sarah.

Sehinggalah pada suatu hari, Chloe telah ditangkap atas
perbuatannya dan sebagai hukuman, sebelah cuping
telinganya telah dipotong. Sejak kejadian itu, Chloe akan
menutup kepalanya dengan selendang hijau bagi
menyembunyikan kecacatan dirinya.

Tidak lama kemudian, Chloe dikatakan telah meracun isteri
dan kedua-dua anak perempuan Clark dengan meletakkan
racun di dalam kek hari jadi anak pertama mereka. Kesemua
mereka mati beberapa jam selepas memakan kek tersebut.
Kerana takut Clark bakal menghukum kesemua pekerjanya,
pembantu rumah yang lain sepakat mengheret Chloe keluar
dari rumah sebelum menggantung Chloe sehingga mati di
sebatang pokok besar di hadapan rumah tersebut.

Tiada siapa dapat mengesahkan sejauh mana kebenaran
kisah kewujudan Chloe dan pembunuhan yang telah
dilakukannya.

Namun, kejadian pelik masih kekal menghantui rumah di
ladang Myrtles sehinggakan ada pengkaji aktiviti paranormal
datang untuk merasakan sendiri pengalaman di ganggu
'penghuni' di situ.

Yang pasti, bukan hanya roh Chloe saja dikatakan berkeliaran
dalam rumah tersebut. Ada antara pengunjung mendakwa
terlihat bayangan seorang gadis cantik yang sedang
merenung ke luar jendela. Mungkin gadis itu adalah salah
seorang anak pemilik terdahulu yang dikatakan meninggal
sewaktu muda.

Piano yang terletak dalam ruang tamu utama juga sering
berbunyi sendiri, memainkan not yang sama berulang-kali
hampir setiap malam. Ia hanya akan berhenti jika ada
sesiapa masuk ke ruangan itu, tetapi kembali berbunyi
apabila mereka meninggalkan ruang tersebut.

Tuan rumah ladang Myrtles juga sering bertukar ganti. Kini,
khabarnya rumah itu telah dijadikan hotel dan bilik
penginapan untuk memberikan peluang kepada pengunjung
merasakan sendiri pengalaman bertemu dengan entiti yang
masih berkeliaran di sekitar kawasan itu.

Mungkinkah kejadian malang yang sering menimpa penghuni
rumah itu sebelum ini berpunca daripada Chloe yang cuba
membalas dendam? Tiada siapa yang tahu.

Namun, jika anda mahu cuba bertemu dengan penghuni ghaib
di situ, bolehlah datang bermalam di sana.

Anda berani?

Smiley CreepyPasta | MalayWhere stories live. Discover now