Sebaik sahaja aku buka mata aku, barulah aku sedar bahawa pertemuan aku dengan Sheera tadi cuma dalam minda aku. Ini kerana sebenarnya tadi, aku cuba menutup persoalan mengapa itu mengapa ini, dengan memberi fokus kepada yak yang meragut rumput dalam fikiran aku. Pada akhirnya, aku mengambil keputusan berjalan meninggalkan yak tersebut, jumpa sungai, nampak kelopak bunga hanyut, jumpa rumah buruk, dan jumpa Sheera, dan bertemu jawapan yang aku sendiri pun tak pasti benar atau tak, sebab ia cuma dalam fikiran aku.
Tapi dalam ketidakpastian itu, aku mencapai ketenangan yang tak pernah aku alami sejak aku berada di sini.
Jadi, aku dah mati atau belum ni sebenarnya? Atau pertemuan aku dan Sheera ni cuma mimpi di dalam mimpi?
Walau hanya seketika cuma
Agar hilang rindu dan dahaga
Agar pulih semangat kasih dan mesra
Seperti baru kenal cintaAku terbau sate. Kenapa aku bau sate? Aku terbau daging ayam dan lembu yang dicucuk dan dibakar itu, serta kuah kacang dan sambal.
Adakah mereka sedang makan sate? Ah, Samsul Corey dia poseur straight edge. Sembang straight edge, tapi hisap dadah, minum arak, makan sate. Entah dia faham ke tak apa maksud straight edge tu ke tak.
Ke masa aku jumpa dia masa dulu dia memang straight edge, tapi lama kelamaan dia pun sudah meninggalkan budaya straight edge kerana merasakan kehidupan seorang yang mengamalkan gaya hidup ini membosankan?
Terus terang aku tak boleh masuk sangat dengan straight edge ni, walaupun keberadaan aku di sini, sepanjang lima hari aku berada di biara ni (aku rasa), aku tak makan daging, aku tak minum arak, aku tak hisap dadah, aku tak hisap rokok, dan aku tak lakukan seks rambang.
Untuk kau jadi seorang straight edge, kau kena duduk biara dan lepak dengan sami, agaknya.
Osman Tikus, atau nama sebenarnya Osman Putih, mengajak aku turun ke dewan untuk makan malam. Aku hanya mengikutinya, tanpa aku berkata apa-apa, kerana bila kau terlalu keliru dalam semua benda, kau tak tahu kau nak cakap apa lagi.
Semasa aku di dewan makan, aku mengambil keputusan untuk melilau. Mencari Zaidi seperti yang aku nampak tempoh hari, aku nak bertanya banyak benda. Aku harap dia kenal aku.
Dalam aku melilau-lilau mencari keramaian orang yang sedang beratur untuk mengambil makanan, menu hari ini ialah nasi kepal dan kuah dhal (tak nasi, roti capati), aku menyelit ke sana dan ke sini, sebelum aku terlanggar bahu seorang tua.
"Maaf, maaf!"
Lelaki tua itu menoleh ke belakang.
Bapak aku.
"Pa?"
"Din?"
Okay, kalau pertemuan aku dengan Sheera tu tadi cuma dalam fikiran aku, walaupun sumpah, aku rasa real - tapi kali ini aku rasa real juga.
Seperti pertemuan aku dan Sheera semasa tadi, sekali lagi aku tergamam.
"Pergi dulu, pa, sorry terlanggar," aku tak ada apa untuk aku bual dengan bapak aku. Aku tau dia memang dah mati.
Tapi aku tak tahu kenapa aku tak nak bercakap dengan dia, dan kenapa aku nak mengelak dari bercakap dengan dia.
Bapak aku kot.
Sebab aku rasa aku dah mati dan aku tak nak bapak aku nampak aku mati dalam keadaan macam ni, mungkin.
Terbantut niat aku mencari Zaidi dalam ni.
Aku mengambil keputusan untuk pulang ke bilik, dan hanya bersila dan kosongkan fikiran aku dengan memberi fokus kepada yak yang sedang meragut rumput.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ralat Itu Normal
EspiritualKisah seorang lelaki yang baru break up lalu berkecamuk jiwanya, lalu cuba menenangkan diri dengan menjadi pemandu Uber. Satu hari, dia mendapat penumpang yang merupakan guru Shaolin hikmat Helang Angkasa. Kemudian dia belajar bagaimana untuk hidup...