Bunga Aurelia - Bab 1

1.9K 53 5
                                    



BAB 1

10 tahun yang lalu.



Beg galas yang hampir melurut jatuh dibahu aku tarik kembali, biar kejap dan kukuh terletak dibahu. Air liur kutelan pahit, cuba sedaya upaya mengukir senyuman manis dan ceria buat tatapan ibu tercinta. Beberapa langkah saja dari rumah, aku mula berlari-lari anak dek kerana tidak sabar mahu menatap wajah ibu. Lagak persis beberapa tahun tidak berjumpa saja, padahal baru beberapa jam.

"Ibu...ibu...Bunga dah balik ni Bu...Ibu..."

​Senyap.

"Ibu!! Ooo...Ibu..." kali ni suara dikuatkan sedikit, mungkin ibu tak dengar tadi. Selalunya ibu akan menunggu dihadapan pintu sambil tersenyum menanti kepulanganku dari sekolah setiap hari, tapi kali ini tiada sesiapa dimuka pintu yang tertutup rapat itu. Hatiku sedikit gusar.

Langkah dibuka seluas mungkin sewaktu mendaki anak tangga usang rumah. Pintu yang sudah tua dan berkeriuk apabila dibuka segera ditolak kasar. Serta merta aku rasa lega, bau wangi yang datang arah dapur menandakan ibu sedang memasak memang sangat melegakan aku.

Kaki pantas dihayun ke arah dapur.

"Ibu...Bunga dah balik ni. Ibu masak apa tu?"

Masih tiada sahutan dari ibu yang sedang duduk dikerusi meja makan. Apa kena dengan ibu ni. Aku mendekati ibu perlahan-lahan, bahu kiri ibu aku peluk kemudian tunduk mengucup pipi yang cengkung itu. Basah! Ibu menangis?

Tubuh kurus itu tersentak lantas berpaling ke arahku. Tidak tahu bagaimana harus beriaksi, aku lemparkan senyum tawar untuk ibu. Hati ini berdarah setiap kali air mata ibu mengalir.

"Eh, anak cantik ibu dah balik? Bunga nak makan? Ibu hidangkan ye, kita makan sama-sama." Ujar ibu sambil berpaling dari aku, kemudian tangannya diraup ke muka. Aku tau ibu sedang menyapu sisa air matanya tanpa pengetahuan aku.

"Ibu...kenapa ni? Kenapa ibu nangis? Ibu sakit ke?" bertalu-talu soalan dilemparkan buat ibu. Sungguh hati ini sangat gusar andai ibu jatuh sakit lagi seperti waktu dulu. Dia masih belum bersedia untuk menerima satu lagi kehilangan setelah pemergian ayah.

Kerusi yang berhampiran aku tarik menghadap ibu. Wajah sayu ibu aku renung penuh kasih. Ibu adalah segalanya buat aku. Aku sanggup korbankan apa saja buat ibu.

Sentuhan tangan ibu pada kedua belah pipiku sangat mendamaikan dan menyejukkan hati. Senyuman ibu itu dapat mengubat segala keresahan hati yang bertamu sejak tadi.

"Bunga...Ibu sayang sangat dekat anak Ibu yang cantik dan comel ni." Ujar Ibu tiba-tiba sambil mengusap pipiku yang dipegangnya sedari tadi.

Aku ketawa perlahan. Ibu suka sangat puji aku cantik.

"Bunga pun sayang sangat kat ibu yang cantik jelita manis bermadu lemak berkrim disukai ramai." Sendaku pada ibu.

Ibu tersenyum manis tapi pada mataku senyuman itu nampak tawar.

"Bunga...janji dengan ibu ye, kalau ada apa-apa yang terjadi pada ibu, Bunga jangan selalu nangis ye sayang?"

Aku tersentak. Apa ni?

"Kenapa Ibu cakap macam ni? Ibu takkan pergi mana-mana lah. Bunga pun takkan pergi mana-mana. Bunga nak sehidup semati dengan ibu."

Senyuman itu langsung tidak pudar dari bibir ibu namun anak mata yang tadinya merenung wajahku lembut telah dilarikan ke arah lain. Aku resah sendiri.

"Ibu...kenapa ibu nampak sedih ni? Kenapa ibu cakap benda pelik-pelik ni? Bunga tak suka ibu cakap macam ni. Ibu kan dah janji dengan Bunga, walau apa pun yang terjadi ibu takkan tinggalkan Bunga kan?"

Tangan ibu aku genggam dan kukucup beberapa kali, menzahirkan rasa sayang yang tidak terperi buat ibu.

"Yang hidup akan mati, cepat atau lambat waktu itu pasti akan datang. Ibu bukan nak buat Bunga sedih atau saja nak cakap apa yang ibu cakap tadi tapi ibu nak anak ibu ni sentiasa bersedia dengan segalanya. Jadi seandainya apa-apa terjadi Bunga sudah bersedia. Bunga kena sentiasa kuat dalam menongkah arus kehidupan ini bila ibu tak ada nanti. Bunga masih muda, perjalanan hidup Bunga jauh lagi. Jadi Ibu tak nak Bunga tersalah langkah. Ibu nak tengok Bunga berjaya." Panjang sekali bicara ibu kali ini.

Apa yang aku mampu lakukan hanya senyap dan tersenyum kerana sesungguhnya aku sudah kehabisan kata, tak tahu apa lagi perlu aku katakan atau patut aku katakan kerana apa yang ibu tuturkan tadi ada benarnya.

Kulihat ibu senyum lagi sebelum menolak tanganku yang sedang menggenggam tangannya. Kemudian ibu bangun dan menyentuh perlahan bahuku yang masih dibaluti baju sekolah berwarna putih.

"Sudahlah tu Bunga, jangan termenung lagi. Abaikan saja apa yang ibu cakap tadi. Bunga pergi salin baju dulu, ibu tunggu sini. Kita makan tengahari sama-sama."
​Tanpa sepatah kata aku bangun dari kerusi yang diduduki dan mendaki tangga dapur untuk ke ruang atas yang menempatkan ruang tamu dan dua bilik tidur. Baru aku ingin menolak pintu kamar, kedengaran suara nyaring memberi salam.

"Assalamualaikum! Assalamualaikum!"

Terkocoh-kocoh aku berjalan ke arah pintu rumah apabila suara memberi salam itu semakin nyaring kedengaran. Sempat aku menoleh ke arah dapur dimana dapat kulihat ibu sedang menghidangkan makanan.

"Ye, ye...datang!" laungku dari dalam rumah sambil menarik pintu usang itu.

Terlayar dipandanganku Mak Kiah yang sedang bercekak pinggang. Matanya mencerlung penuh benci ke arahku.

"Apa lagi lah yang orang tua ni nak" ujarku perlahan, tidak mahu Mak Kiah yang sedang bercekak pinggang itu dengar.

"Ha! Mak kau mana Bunga?!" jerkah Mak Kiah sambil mendaki anak tangga rumah. Tanpa dipinta atau disuruh atau diajak, selamba saja Mak Kiah menyebu masuk rumahku, siap ditolaknya aku yang sedang berdiri tegak dimuka pintu. Nasib baik tak terjatuh aku dibuatnya.

Suara bising Mak Kiah didapur menyebabkan aku segera menuju ke arah dapur.

"Hei Maryam! Kau kalau tak mampu nak bayar sewa kau berambus dari rumah aku ni! Kau ingat rumah aku ni pusat kebajikan? Duduk sesuka hati kau, kalau rasa nak bayar kau bayar, kalau rasa tak nak bayar kau tak bayar! Macam tu?! Dah dua bulan kau tak bayar sewa rumah, sekarang aku datang aku nak kutip sewa. Kalau kau tak nak bayar, kau berambus sekarang! Aku tak hingin la tengok muka orang macam kau ni duduk dalam rumah aku! Berambus!!" jerkahan Mak Kiah membuatkan Bunga tersentak. Pedih hatinya mendengar hinaan Mak Kiah.
​"Mak Kiah...tolong bagi Yam masa lagi ye Mak Kiah. Sekarang ni Yam tak ada duit. Bagi Yam masa seminggu je lagi, Yam janji Yam bayar sewa rumah ni seminggu lagi."

Makin pedih hatiku melihat ibu merayu. Air jernih yang mengalir dipipi cengkung itu menambahkan lagi luka dihati ini. Penumbuk dikepal, terasa seperti mahu dilayangkan sebiji penumbuk dekat muka bertahi lalat di atas hidung yang sedang memarahi dan menghina ibuku itu.

Tak padan dengan usia yang sudah lanjut, Mak Kiah begitu lantang menjerkah ibu.

"Aku tak percaya dengan janji-janji kosong kau tu Maryam! Lepas seminggu, seminggu kau minta tangguh tapi jangan kata nak bayar habis, sepuluh sen pun tak ada! Kalau dah dasar janda miskin gatal!"

"Mak Kiah! Mak Kiah jangan hina ibu saya!"

Turun naik nafasku menahan amarah yang memuncak. Terasa ada seseorang yang mengusap belakangku tiba-tiba. Aku toleh ke sisi, wajah ibu yang basah ada disebelahku. Marah punya pasal, ibu datang berdiri disebelah pun aku tak perasan.

"Jangan Mak Kiah berani hina ibu saya. Kami tahu kami salah sebab tak bayar sewa rumah tapi Mak Kiah tak ada hak nak hina-hina ibu saya. Kami bukan tak nak bayar sewa rumah ni tapi buat masa sekarang kami tak ada duit. Mak Kiah sendiri dengar yang ibu saya mintak tempoh seminggu saja lagi. Susah sangat ke Mak Kiah nak bertolak ansur?"

Mak Kiah menapak perlahan mendekati aku sambil tersenyum sinis. Aku tak gentar walau sedikit.

"Hei budak!"

Kepalaku ditunjal dengan jari telunjuk gemuk dan pendek oleh Mak Kiah.
​"Kau tu umur baru seputik jagung ada hati nak sekolahkan aku." Kepalaku ditunjal lagi. Kali ini lebih kasar. Aku langsung tidak beriaksi, hanya bibir kuketap tanda geram yang melampau dengan perlakuan orang tua itu.

"Tapi kan...aku tak peliklah kalau kau ni jadi kurang ajar pun Bunga. Kau tau sebab apa? Sebab mak kau ni tak guna! Tak reti ajar anak! Itu pasallah kau ni jadi kurang ajar, jadi biadab dengan orang tua!"

"Ibu saya dah cukup ajar saya! Yang tak cukup ajaran tu Mak Kiah! Mungkin Mak Kiah ni bebal sangat kot sebab tu umur dah ganyut pun masih kurang ajar!" jerkahku tepat ke muka Mak Kiah. Dapat aku rasakan Mak Kiah agak kecut perut dengan jerkahanku yang nyaring itu. Apa dia ingat dia je reti hina orang.

"Ha, kau tengoklah ni anak kau yang biadab ni!" adu Mak Kiah pada ibuku.

Kejap sekali pengangan ibu pada lenganku.

"Baiklah, aku bagi kau masa seminggu saja lagi. Kalau kau tak bayar jugak aku akan campak kain baju kau berambus dari rumah ni. Kalau perlu, dengan engkau dua beranak sekali aku campak keluar!" sekali lagi Mak Kiah menjerkah dan mengherdik ibuku. Sekilas pun orang tua itu tidak pandang ke arahku. Tak tahulah sama ada takut atau benci sangat melihat muka aku yang berdiri tegak disebelah ibu.

"Pintu keluar sebelah sini" tuturku kasar sambil menjeling Mak Kiah yang masih berdiri dan mencerlung tajam ke arah ibu.

Terkedek-kedek tubuh gempal itu berjalan.

"Kau tak payah nak halau aku Bunga! Ini rumah aku. Kau tu yang patut sedar diri. Tak padan dengan menumpang, sewa tak nak bayar!" sempat lagi Mak Kiah menghina sambil berjalan keluar.

"Kurang aj..."
​"Sudahlah tu Bunga...tak baik berkasar dengan orang tua. Ibu tak pernah ajar Bunga jadi biadab macam ni."

Tangan ibu aku genggam kemas.

"Bunga minta maaf ibu. Bunga bukan saja nak kurang ajar tapi Mak Kiah tu dah melampau. Bunga tak boleh terima dia hina-hina ibu. Bunga tak suka."

"Ibu faham..." ringkas saja balasan ibu padaku.

Aku lihat ibu picit kepala, mungkin tertekan dengan ugutan Mak Kiah sebentar tadi. Kasihan ibu.

Namun belum sempat aku mahu berkata sesuatu, tubuh ibu sudah longlai dan terjelepuk berhampiran meja makan. Aku panik!

"Ibu!!! Tolonggg!!!"








Nota kaki: please vote. Komen n feedback ya. So that i can improve Insyaallah.



Bunga AureliaWhere stories live. Discover now