BAB 2
Masih terngiang-ngiang suara Dr. Kamal yang merawat ibu. Setiap patah kata yang keluar dari Dr. Kamal ibarat belati tajam yang menghiris hati dan jiwaku yang sememangnya sudah amat rapuh.
"Kos pembedahan dianggarkan dalam RM150,000. Pembedahan terpaksa dijalankan dengan kadar segera kerana sel tumor sudah semakin merebak. Kita takut ianya akan menyerang saraf utama."
Sungguh aku bingung, seratus lima puluh ribu adalah satu jumlah yang sangat banyak dan besar. Tidak mungkin dalam masa beberapa hari aku mampu mengumpul wang sebanyak itu. Sekalipun aku gadaikan diri, siapa yang sanggup bayar? Ah! Susahnya jadi orang miskin!
Orang yang lalu lalang hanya mampu kupandang sepi. Sudah 3 hari aku ponteng sekolah, tujuannya mahu pergi cari kerja tapi alasan sama yang diterima. Aku masih muda, masih bawah umur, masih bersekolah dan bermacam lagi alasan. Puas aku merayu, puas aku memujuk tapi semua seakan beku. Ah! Apa mereka tahu. Tak ada siapa yang tahu keperitan hidup orang seperti aku. Nak makan saja sudah terasa sempit dan perit, inikan pula mahu mengumpul sejumlah wang yang begitu banyak.
Beg galas usang dibawa kehadapan, ke atas riba. Zip yang sudah berkarat dan haus dibuka perlahan. Dompet berwarna pink yang sudah kehitaman dibuka. Ada dua ringgit saja, sekadar cukup untuk tambang bas nanti. Dahaganya...
"Nasib baik..." tandas yang terletak beberapa langkah dituju. Tekak sudah terasa perit. Lantaklah air paip pun janji dapat minum.
Aku pandang wajah sendiri yang melalui cermin tandas dihadapanku. Cantik jugak aku ni, walau baru 14 tahun kecantikan aku sudah terserlah. Hahaha...aku sengih lebar, cuba berlawak menceriakan hati sendiri.
Melalui cermin itu juga aku curi-curi pandang seorang kakak yang sedang menyapu wajahnya dengan sehelai tisu. Mungkin memberihkan sisa solekan atau mengeringkan peluh diwajah. Cantik! Puji hatiku dalam diam.
Akibat terlalu asyik melihat kakak yang cantik itu, aku tidak perasan dia berkata sesuatu kepadaku.
"Dik...dik...okay ke?"
Aku tersentak melihat ada tangan digawangkan dihadapanku. Malu sendiri dibuatnya.
"Sorry, sorry...apa akak cakap tadi?" soalku kelam kabut sambil tersengih malu.
"Tak...akak tanya, adik okay ke...macam ralit sangat akak nampak. Adik tengok apa?" soal kakak cantik itu tadi.
Aku garu kepala yang sememangnya tengah gatal dan serabut.
"Err...err..."
Sejak bila pula kau gagap Bunga! Marahku pada diri sendiri.
Kakak tadi dilihatnya hanya menjungkitkan bahu apabila melihatku yang masih terkebil-kebil mahu berbicara.
Tanpa pamit, kakak tadi meninggalkanku yang masih termangu-mangu seorang diri. Pelik dengan diri sendiri yang tiba-tiba seperti terkaku. Terkejut barangkali kerana tak sangka yang kakak tadi perasan aku asyik merenungnya dari pantulan cermin dihadapanku.
Nafasku hembus perlahan. Bunga...Bunga...apa punya perangai lah kau ni.
Beg galas yang diletakkan ditepi kiri sinki segera dicapai. Tidak betah berlama-lama dalam tandas yang tak berapa nak wangi ni. Tidak semena-mena mataku tertancap pada sebuah dompet kulit di bahagian kanan sinki. Dengan teragak-agak aku capai dompet tersebut. Liur yang ditelan terasa sulit, mata ku liarkan ke sekeliling. Nampaknya hanya aku seorang di situ.
Menggigil tanganku mahu membuka dompet yang bukan milikku itu tapi aku gagahkan juga dengan alasan kalau aku tak buka mana mungkin aku tahu siapa pemiliknya.
Perkara pertama yang aku nampak adalah sekeping gambar berukuran passport. Macam pernah aku lihat wajah dalam gambar tersebut.
"Oh! Ni akak cantik tadi!" ujarku sedikit kuat sebelum berdeham menghilangkan rasa malu sendiri.
Ruang lain kuselongkar habis. Hampir terbuntang biji mataku melihat not kertas RM50 dan RM100 yang agak banyak. Cepat-cepat aku tutup dan campak kembali ke sebelah singki. Berpeluh-peluh dahiku. Seumur hidup belum pernah aku lihat duit sebanyak itu. Paling banyak pun dalam RM300 tapi ini...
Kayanya kakak cantik tadi. Untung sungguh dia.
Dompet yang aku campak tadi kujeling sekilas. Hatiku berbolak balik samaada mahu meninggalkan saja dompet yang berisi wang itu begitu saja atau membawanya bersamaku.
"Kalau aku tinggal pun mesti ada orang lain yang takkan teragak-agak untuk ambil. Hmmm...nak ambik ke tak nak? Tapi ibu cakap tak boleh ambil barang yang bukan milik kita." Aku garu kepala yang tak gatal.
"Tapi kalau tak ambil rugi...ish! Peninglah!"
Akhirnya aku capai juga dompet tadi dengan alasan mungkin aku akan terserempak dengan kakak tadi, maka boleh aku pulangkan dompet dia.
"Tolonglah doktor, tolonglah selamatkan ibu saya..." puas aku merayu untuk yang entah keberapa kalinya namun setiap rayuanku jawapannya tetap sama. Duit! Duit! Duit! Tak boleh ke mereka selamatkan ibu aku dulu dan baru cakap pasal duit?!
"Adik, bukan kami tak nak selamatkan ibu adik tapi kami hanya ikut prosedur. Sekurang-kurangnya pembayaran harus dibuat sebanyak 50% dari jumlah kos pembedahan dan barulah pembedahan dapat dijalankan. Kami harap adik faham."
Tak! Aku tak nak faham! Yang aku faham hanya satu. Duit! Duit! Dan duit! Begitukah nilai nyawa manusia? Hanya RM150,000.
"Tak apa...saya faham."
Dengan itu aku terus berlalu meninggalkan doktor yang termangu-mangu dihadapan pintu wad.
Inilah bayaran yang aku terima sebagai seorang yang miskin, kalau aku kaya, mungkin lain pula bayarannya barangkali. Ah! Sulit sungguh hidup ini.
Menatap wajah ibu yang pucat dan terbaring lesu diatas katil, memang sangat menyesakkan dadaku. Mana aku mahu cari duit sebanyak itu? Kalau ada harta, boleh digadai tapi ini...kami langsung tak ada apa-apa barang berharga, walau emas sebesar janggut udang. Parah!
Aku selongkar beg galas milikku. Itulah satu-satunya beg yang aku miliki. Bukan tak ingin beli beg baru tapi macam biasa, duit menghalang segalanya.
Dompet yang aku jumpa tadi aku buka kembali, menarik keluar kepingan duit yang tebal itu. Aku kira satu persatu kepingan kertas yang bernilai itu sambil mengeluh perlahan.
Kenapalah nilainya hanya RM1500. Kan bagus kalau duit yang aku jumpa ni nilainya seratus lima puluh ribu. Tapi kalau difikir kembali, kerja cuci pinggan 2 bulan pun belum tentu aku akan dapat duit sebanyak ini. Tidak semena-mena aku tersenyum. Aku rasa aku sudah jumpa jalan penyelesaian untuk segala masalah ini.

ANDA SEDANG MEMBACA
Bunga Aurelia
RomanceRealiti hidup bukan seindah yg kita jangkakan. Pahit maung harus ditelan. Kematian ibu buatkan dia hampir pitam. Kelam dunianya yg sememangnya gelap itu tapi apakan daya. Yang pergi tetap akan pergi. Hidup perlu diteruskan dan dalam kesamaran Ben...