BAB 3
"Seratus...seratus sepuluh...seposen, dua, tiga...seratus sepuluh ringgit tiga posen je! Ish! Buat penat aku berpeluh je lah. Kemain vogue lagi mak cik tu tapi duit banyak ni je ada. Buang karannn...."
Tapi sikit ke banyak ke duit itu tetap aku simpan dalam beg galas usangku. Lantak lah berapa pun janji duit. Hampir seminggu menjadi penyeluk saku yang berjaya membuatkan aku rasa seronok dan ketagih, apatah lagi pulangannya cukup lumayan. Bayangkan, baru saja seminggu aku beroperasi tapi jumlah yang mampu dikutip mencecah sepuluh ribu ringgit!
"Sabar ye ibu...sikit saja lagi, tak lama lagi duit akan cukup. Ibu takkan sakit lagi lepas ni." Omelku sendiri sambil tersenyum.
Aku tak boleh banyak berehat, aku mesti lebih aktif. Dengan itu, pembedahan ibu akan dapat dijalankan dengan kadar segera. Mata kuliarkan ke sekeliling, mencari mangsa yang berpotensi untuk aku kebas duitnya.
Orang yang lalu lalang melintas dihadapanku sama ada untuk ke bangunan The Gardens Mall atau Midvalley Mall aku renung satu persatu dari atas bawah. Gaya rambut, baju, kasut, semua aku perhatikan. Asal nampak boleh makan aku pasti akan segera mengekori. Tunggu masa yang sesuai dan bam!! Satu lagi mangsaku.
Aku toleh seketika ke arah lelaki yang aku langgar dengan tubuhku. Sambil langgar sambil jalankan operasi. Bukan susah sangat nak seluk poket belakang seluar jeans lelaki itu, apatah lagi dengan keadaan orang ramai bersesak-sesak dipintu masuk kompleks membeli belah itu.
"Maaf bos...maaf..." ujarku berkali-kali sambil sepantas mungkin cuba berpaling dan melarikan diri dari lelaki cina itu. Kalau terhegeh-hegeh karang kantoi pula.
Namun kali ini nasib tidak menyebelahiku. Terasa lengan kananku yang berbalut t-shirt hitam disentap kasar.
"Mana lu mau lari amoi?"
Aku telan liur demi mendengarkan kata-kata itu. Alamak!
"Saya dah cakap sorry kan, apa lagi bos mau?" ujarku tergagap-gagap. Terasa peluh mula merenik didahi. Wajah itu hanya tersenyum sinis.
"Bagi balik wallet aku."
Mati!
"Wallet apa ni? Mana aku tau wallet kau kat mana." Tuturku laju sambil cuba melepaskan pautan pada lengan.
"Lepaslah! Sakit tau tak!"
Wajah itu masih menunjukkan riak bengis.
"Bagi balik wallet aku atau kau akan menyesal." Ugut lelaki cina itu lagi.
"Apa kau cakap ni hah?! Mana aku tau. Dah lah! Tepi!"
Aku cuba menarik lenganku dengan lebih kuat supaya genggaman kemas itu terlepas tapi malangnya pautan itu semakin utuh.
Beberapa langkah dari tempat kami berdiri, kelihatan terkocoh-kocoh 2 orang lagi lelaki cina datang menghampiri membuatkan aku makin cemas.
Oh tidak! Jeritku dalam hati. Perasaan panik membuatkan aku nekad untuk bergelut dengan lelaki yang memegangku itu. Geram tidak dapat melepaskan diri, aku lancarkan serangan yang biasa aku lakukan. Gigit tangan yang erat memegang lenganku.
"Arghhh! Shit! Kejar dia!"
Demi mendengarkan arahan itu, lagi laju aku berlari. Arah mana pun aku sudah tidak peduli, asalkan aku terlepas dari lelaki bengis tadi. Nampaknya aku silap mangsa kali ini.
Sumpah aku rasa bagai nak terkeluar jantung saat ini. Penatnya hanya Allah saja yang tahu. Penat berlari aku berhenti melepaskan lelah dibahu jalan. Tak tahu sejauh mana sudah aku berlari, yang pasti aku sangat penat. Nak angkat jari pun rasa tak larat.
"Alamak..."
Aku ingatkan aku sudah lari terlalu jauh tapi malangnya kedua-dua orang suruhan lelaki cina itu tadi dapat menjejakiku dengan mudah. Mereka langsung tak nampak penat. Gila!
Perlahan-lahan aku undur ke belakang, cuba mencari kekuatan dan mengumpul tenaga untuk berlari lagi. Kali ni aku takkan berhenti walau sesaat, lantaklah nak sesat sekalipun, janji aku terlepas.
Okay Bunga...pusing dan lari sekuat hati!
Tapi malangnya, jangan kata nak lari sekuat hati, satu langkah pun aku tak mampu lari apabila tubuhku dipeluk dari arah belakang.
"Tak ada siapa pernah lepas dari aku." Ujar suara itu.
Aku pejam mata seeratnya. Seramnya...
"Dah lama buat kerja macam ni?" soalan lelaki itu buat aku kecut sendiri.
"Buat kerja apa?" soal aku kembali. Masih ingin main tarik tali.
Ketawa lelaki itu bergema dalam bilik yang hanya menempatkan sebuah meja kerja dan kerusi, berserta satu set sofa kulit berwarna hitam. Keadaan lampu yang malap dan kekuningan menambahkan lagi ketidakselesaan dan ketakutan aku.
"Kau tak payah nak tipu aku budak. Umur kau berapa?"
Lelaki itu menarik kerusi kemudian meletakkannya dihadapanku. Sebijik persis polis tanya pesalah macam kat dalam drama tv tu. Oleh kerana jarak yang agak dekat, liang roma pada wajah lelaki ini pun aku nampak. Tak adalah bengis sangat muka dia. Mungkin sebab dia tengah senyum kot.
Ish! Kau ni sempat lagi nak komen itu ini Bunga oi...marah hatiku pada diri sendiri.
Tanpa sebarang soal lelaki tadi makin mendekatkan wajahnya pada wajahku. Aku apa lagi, cepat-cepat menjarakkan wajahku sehinggalah aku sudah tersekat antara penyandar sofa yang aku duduki dan lelaki tadi. Lama kami berkeadaan begitu sehinggalah aku terasa beg galas yang aku peluk kejap sedari tadi ditarik kasar.
Dek kerana tidak menjangkakan beg itu akan direbut kasar seperti itu, peganganku terlepas.
"Hei!" jeritku, cuba menggapai kembali beg yang sudah direntap dariku.
Namun semuanya sia-sia belaka, aku hanya mampu melihat segala isi dalam beg dimuntahkan keluar ke atas meja kerja lelaki itu. Nafas kuhembus kasar. Nampaknya terbongkar juga penipuanku.
Kedengaran lelaki itu ketawa berdekah-dekah.
"Wow...hebat jugak kau ni." Seketul duit yang berikat diangkat kemudian dilambung-lambungkan dengan tangan kanan. Aku hanya mampu melihat perlakuan lelaki itu. Janganlah dia kebas duit itu.
"Umur kau berapa?" soal lelaki itu kepadaku setelah ketawanya reda.
Aku hanya senyap, tidak ada hati mahu menjawab apa-apa soalan. Kebisuanku nampaknya mengundang kemarahan lelaki itu.
"Bila aku tanya soalan, aku akan harapkan jawapan. So...kau kena jawab. Faham?!" tutur lelaki itu sedikit keras. Mukanya berubah kemerahan, menahan amarah.
Mata kukelip beberapa kali, terasa pedih pula tiba-tiba macam nak menangis. Sumpah aku rasa gerun dan takut sangat sekarang ni. Macamana kalau dia hantar aku pergi balai polis? Mesti aku masuk penjara. Aku tak nak!
Aku renung wajah lelaki tadi yang tentunya masih menunggu aku bersuara.
"Nama aku Bunga. Umur 14 tahun."
Walau tidak ditanya namaku, aku tetap perkenalkan diri. Lelaki tadi jongket kening, mungkin tidak menyangka umurku yang sebegitu muda. Ya, aku masih belasan tahun tapi itu semua tidak penting, yang penting aku mampu cari wang untuk pembedahan ibu.
Lelaki itu terangguk-angguk, seolah berpuas hati.
"Nama aku Benjamin, kau boleh panggil aku Ben." Ujar lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ben itu. Duit milikku yang dipegangnya sedari tadi dicampakkan ke atas meja. Ben senyum sinis sebelum menyambung bicara.
"You are amazing! Dulu umur aku 16 tahun sewaktu aku jadi macam kau. Tak sangka ada yang lagi muda, perempuan pula tu."
Aku tak tahu mahu menafsirkan kata-kata itu sebagai hinaan atau pujian tapi fikir positif saja jadi aku andaikan dia memuji aku.
"Terima kasih. Aku tak perlukan pujian. Aku nak balik" pintaku perlahan.
Baru saja Ben mahu buka mulut sekali lagi, seorang lelaki cina yang tidak aku kenali terkocoh-kocoh menghampiri Ben, kemudian berbisik ke telinga Ben. Mereka nampak tegang. Ben pandang aku seketika.
"Kau boleh pergi."
Barang-barang aku yang berselerakan di atas meja Ben campak masuk ke dalam beg galas aku, termasuk duit tadi, tapi Ben ambil kembali walletnya yang aku curi sebentar tadi. Aku jadi malu sendiri, beria-ia aku nafikan tapi akhirnya kantoi juga.
Ben campak beg tadi ke arahku. Kelam kabut aku sambut sebelum teragak-agak mahu keluar dari ruang itu.
"Boleh...boleh balik ke?" soalku sedikit tergagap. Kulihat Ben hanya angguk.
Cepat-cepat aku melangkah, risau andai Ben tukar fikiran.
"Tunggu..."
Oh no! Apa lagi lelaki yang bernama Ben ni mahu dariku.
Kedengaran derap tapak kasut Ben menghampiri, dia kemudian berdiri dihadapanku. Sesuatu dihulurkan kepadaku dan sesuatu itu amat mengejutkanku.
"Apa ni?"
Ben berdecit mengejek.
"Kau dah tak kenal benda ni?"
"Aku tahu benda ni duit tapi untuk apa kau tunjuk dekat aku?"
Ben ketawa.
"Aku bukan tunjuk tapi aku bagi benda ni pada kau. Nah ambik, jangan banyak tanya."
Aku ambil juga duit itu setelah sekian lama Ben sua ke arahku. Sebaik saja duit bertukar tangan, Ben segera berlalu. Cepat-cepat aku berpaling ke belakang, ke arah Ben.
"Tapi kenapa?" soalku perlahan. Ben langsung tak pandang aku. Dia sibuk membelek sesuatu di atas meja.
"Sebab aku pernah berada di tempat kau suatu ketika dahulu. Anggap saja aku tolong orang yang pernah senasib dengan aku. Dah...pergi. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Aku ada banyak lagi urusan lain." Tanpa rasa bersalah Ben menghalauku, tapi kalau dia tak halau pun memang aku akan berambus juga.
Malas mahu bertegang urat, aku simpan duit yang kukira agak banyak juga ke dalam poket jeans lusuh yang aku pakai lalu aku berlalu tanpa menoleh lagi.
Hala tujuku hanya satu, melawat ibu di hospital. Pasti ibu pelik kalau aku lewat menjenguknya di wad. Aku tak mahu ibu sangsi atau runsing tentang aku. Aku tahu jaga diri. Tapi sebelum aku ke wad aku mahu singgah di kedai kek, esok hari jadi ibu tapi aku menyambutnya lebih awal. Jadi, aku akan belikan kek coklat kegemaran ibu. Pasti ibu suka! Mengingatnya saja sudah mampu membuat aku tersenyum gembira.

ANDA SEDANG MEMBACA
Bunga Aurelia
Roman d'amourRealiti hidup bukan seindah yg kita jangkakan. Pahit maung harus ditelan. Kematian ibu buatkan dia hampir pitam. Kelam dunianya yg sememangnya gelap itu tapi apakan daya. Yang pergi tetap akan pergi. Hidup perlu diteruskan dan dalam kesamaran Ben...