Bab 4

1.1K 29 0
                                    


BAB 4


Turun saja dari bas aku bergegas menuju ke wad ibu sambil menyanyi kecil. Ditanganku ada sebiji kek coklat sederhana besar yang aku beli untuk ibu. Aku nak makan bersama-sama dengan ibu. Tak sabarnya...

Hampir 2 minggu ibu di wad membuatkan aku mengenali beberapa jururawat dan doktor yang bertugas, jadi setiap kali aku berselisih dengan mereka aku akan menegur dan melambaikan tanganku.

Belum sempat aku tolak pintu wad ibu, pintu itu sudah ditarik dari dalam. Kelihatan Doktor Kamal terkejut melihat aku di muka pintu. Kulihat wajah Doktor Kamal seakan-akan resah dan lain. Selalunya apabila Doktor Kamal bertemu denganku, senyumannya tidak pernah lokek untukku tapi kali ini...

"Bunga..." tegur Doktor Kamal perlahan. Nafas kasar kedengaran dari Doktor Kamal.

"Saya harap awak bersabar. Tak ada apa lagi yang mampu kami lakukan. Allah lebih menyayangi ibu awak."

Setiap patah perkataan itu umpama halilintar pada deria pendengaranku. Tak mungkin! Sewaktu aku tinggalkan ibu pagi tadi, ibu masih sihat dan ceria. Tak mungkin! Tak mungkin!

"Mana ibu?" soal ku perlahan kepada Doktor Kamal namun doktor lelaki itu senyap dan tunduk.

"Awak kena banyak bersabar Bunga."

Bukan itu yang aku mahu dengar dari mulut Doktor Kamal. Longlai terasa segenap sendiku, membuatkan tangan yang memegang plastik berisi kotak kek sudah tidak kuat lagi. Tidak aku peduli kek yang mungkin hancur menyembah lantai. Hati aku lebih hancur dari segalanya. Kenapa kejam sangat mereka pada aku? Kenapa mereka tidak selamatkan ibu? Susah ke untuk jalankan pembedahan terlebih dahulu kemudian barulah difikirkan cara untuk aku bayar hutang pembedahan tersebut?

Ibu...kenapa tega sekali ibu tinggalkan Bunga.

Selesai upacara pengebumian ibu aku terus melangkah pergi tanpa berpaling lagi. Mulai saat ini, hidup aku akan berubah 360 darjah. Setiap ucapan takziah aku balas dengan kebisuan. Aku tidak mahu simpati, yang aku mahukan ibu. Boleh kau pulangkan ibu aku? Kalau jawapannya tidak, jangan sesekali kasihankan aku.

Aku tinggalkan rumah sewa yang penuh kenangan pahit dan manis dengan ibu. Tidak ada satu pun pakaian yang aku bawa kecuali gambar-gambar ibu dan beg galasku yang berisi wang. Aku harus belajar hidup tanpa ibu. Sesukar mana sekalipun kehidupan di Kuala Lumpur, aku harus tabah kerana ini saja yang aku ada.

Lama aku tahan air mata dari menitis tapi akhirnya aku kalah jua. Berjujuran air mataku merembes keluar tanpa belas kasihan. Esakan yang hanya didengari olehku benar-benar membuatkan aku terasa sepi dan kosong. Inikah pengakhiran hidupku? Anak yatim piatu yang merempat dilorong-lorong gelap di Kuala Lumpur.

Air mata yang seakan tidak tahu untuk berhenti aku kesat dengan belakang telapak tangan. Air mata takkan membawa aku kemana-mana. Hari-hari yang bakal mendatang lebih mencabar dari ini. Aku akan ingat itu. Kuseret kaki yang terasa berat bebannya, mahu mencari tempat untuk melelapkan mata malam ini. Mungkin dikaki lima? Disebalik lorong ini atau ditepi longkang? Aku tak kisah, asalkan boleh dijadikan tempat tidur.

Kalau dulu, aku yang sering melihat gelandangan, sekarang akulah gelandangan.



"Lari Joe. Apa pun yang jadi kau kena lari. Jangan biarkan mereka tangkap kau. Kalau aku dapat siapa yang jadi tali barut mereka, aku takkan teragak-agak untuk kerat lidah orang tu!" ujar Benjamin termengah-mengah. Hampir satu jam dia dan Joe bersembunyi disebalik tong sampah besar dikawasan lorong gelap itu.

​"Aku takkan tinggalkan kau Ben! Apa pun aku dengan kau!" marah Joe. Kerana Benjamin dia masih hidup, mana mungkin dia akan tinggalkan lelaki itu. Kalau hidup sama hidup, kalau mati sama mati. Itu sumpahnya.

​"Woi!!" jerkahan kuat itu menyebabkan Benjamin dan Joe bertempiaran lari.

"Tak guna!" marah Benjamin sambil berlari laju mnyelamatkan diri. Dia dan Joe sudah terpisah. Dia ke sebelah kanan, Joe ke sebelah kiri. Entah bagaimana nasib Joe. Harapnya Joe dapat bolos.

Benjamin pasang telinga, cuba mendengar andai ada yang masih mengejarnya atau tidak. Setelah pasti keadaan sedikit reda, dia menghembuskan nafas lega dengan kuat. Benjamin meliarkan mata ke kiri dan ke kanan, mencari port untuk menyorok.

Timbunan kotak yang agak tinggi berhampiran tong sampah usang menjadi pilihannya. Lantaklah kalau bau busuk sekalipun, asalkan dia selamat. Benjamin terduduk di atas lantai ditepi longkang yang beralas kotak untuk melepaskan lelah buat seketika.

Dia hampir tertidur namun bunyi suara orang-orang yang bercakap terus membuatkan rasa kantuknya terbang. Benjamin membatukan diri, cuba sedaya upaya untuk tidak menghasilkan apa-apa bunyi yang boleh menyebabkan penrsembunyiannya terbongkar.

"Dik, ada nampak tak sorang laki cina, tinggi lebih kurang abang tapi tinggi sikit. Pakai jaket kulit hitam dan seluar hitam, lalu kawasan ni."

Benjamin lelah sendiri. Dia yakin itu suara orang yang mengejarnya tadi. Dia cam suara garau itu.
​"Laki cina, muka putih-putih, rambut cacak-cacak tu eh bang?"

Suara perempuan yang menjawab itu tidak Benjamin kenali. Lembut dan halus suaranya, macam suara budak.

"Ha'ah...betul, betul. Adik ada nampak tak arah mana dia pergi?" suara lelaki itu kedengaran lagi.

"Nampak." Jawab suara itu yakin.

Benjamin makin berkeringat. Bukan sebab panas tapi cuak dan takut.

"Dia ikut arah sana bang...yang dekat belakang kedai mamak tu. Abang ikut je pintu dapur mamak tu, lagi cepat sampai." Usul suara budak perempuan itu perlahan konon seperti tidak mahu ada yang mendengar.

Lelaki itu segera berlari ke arah seperti yang ditunjukkan tadi. Dari kejauhan lelaki tadi mengucapkan terima kasih.

Tidak semena-mena Benjamin rasa lega dan sangat berterima kasih kepada sesiapa saja yang membantunya tadi.

"Keluarlah...polis tadi dah tak ada." Tegur suara itu.

Benjamin yang sedang memejamkan mata segera mencelikkan matanya. Pandangannya jatuh pada sepasang kaki yang berdiri dihadapannya sebelum perlahan-lahan dia mendongak mahu memandang wajah pemilik kaki dan suara yang menegurnya tadi.

Benjamin tersentak. Bunga tersengih.

"Kau...?" tuding Benjamin ke arah gadis remaja yang berdiri dihadapannya.

"Iye...aku...yang selamatkan kau tadi. Jomlah keluar, tempat ni busuk. Kesian dekat kau kan." Ejekku sambil ketawa.

Benjamin hanya menurut. Disapu segala kekotoran yang melekat dibaju dan seluarnya. Bunga yang sedang berpeluk tubuh dipandang tanpa perasaan.

"Kenapa kau bagitahu polis tu aku lari ke arah sana?"

Aku jongket kening.

"Habis tu nak bagitau sembunyi dekat sini? Biar polis tangkap kau? Aku tak ada masalah. Kalau nak sangat rasa tidur lokap aku boleh tolong hantarkan kau kat balai polis bergerak depan sana tu."

Kelihatan Benjamin ketap bibir.

"Nah pakai ni."

Sepasang topi dihulur ke arah Benjamin, sengaja mahu mengaburi pihak polis yang mungkin masih ada berhampiran.

Lelaki itu menyambut tanpa banyak bicara.

"Kau buat apa kat sini?" soal Benjamin sambil jalan beriringan denganku.

Aku senyum sekilas sebelum terbatuk kecil.

"Aku tinggal sini. Kau apehal kena kejar polis? Rompak orang eh?"

"Kau ingat aku macam kau?" marah Benjamin.

"Rileksla bro...itu pun nak terangkat punggung. Gurau-gurau je."

"Kenapa kau tinggal sini? Aku rasa hasil duit kau jadi penyeluk saku tu sudah cukup banyak untuk kau dapatkan tempat yang lebih selesa dari ini. Bukan begitu?"

"Apa boleh buat, rezeki tak ada. Duit aku kena kebas dengan penyangak masa aku tidur dekat masjid. Penyangak kebas duit penyangak, so tak ada hal sangat lah kot." Aku gelak kuat. Walau ada rasa sakit hati tapi aku halalkan saja. Lagi pun duit haram jugak. Aku gelak lagi.

Serious aku tak sangka boleh terserempak lagi dengan lelaki ini. Aku nampak segalanya. Masa polis kejar si Ben ni pun aku nampak. Ben menyorok mana pun aku tahu.

"Kenapa kau tolong aku?" akhirnya soalan yang aku jangkakan keluar juga dari mulut Benjamin.

"Aku kenang budi punya orang. Kau pernah lepaskan aku dulu, masa aku curi wallet kau. Jadi hari ni aku pulak selamatkan kau. Okaylah, aku rasa sampai sini je lah. Aku blah dulu. Bye!"

Tanpa menunggu balasan dari Benjamin, aku meninggalkannya tapi baru beberapa langkah Benjamin panggil nama aku.

"Bunga!"

Aku paling belakang, merenung Benjamin dengan pelik. Apa lagi lah lelaki cina ini mahu.

"Jom ikut aku..." dengan itu tanganku ditarik supaya membontotinya. Aku hanya menurut.





Bunga AureliaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang