Prolog

6.2K 74 0
                                    

SELEPAS urusan bagasi, imigresen dan pemeriksaan keselamatan, dia terus melangkah menuju ke Gate C4 bagi penerbangannya ke Paris. Dalam langkah, bibirnya terus mengukir senyum teruja dan bahagia.

Tak sabar nak sampai Paris. Dua belas jam lebih di atas awan, entah apa rasanya. Tak apalah, demi mengejar cita-cita, aku gagahkan juga.

Senyum terus terukir di bibirnya. Tak sabar rasanya mahu menjejakkan kaki di Kota Paris yang terkenal dengan gelaran kota cinta dan kota fesyen dunia! Dia ke sana bukan suka-suka, tapi atas urusan yang berkaitan dengan kerjaya dan cita-citanya. Dia berharap ini adalah langkah pertamanya untuk dia meraih impiannya.

Belum pun lama dia duduk di ruang menunggu, Gate C4 sudah mula dibuka. Penerbangannya dijadualkan berlepas pada pukul 11.00 malam nanti. Dia berharap penerbangannya nanti akan berjalan lancar. Walaupun ini bukan kali pertama dia menaiki kapal terbang, tetapi setiap kali berada di atas awan, dia tetap kebimbangan.

Baginya, saat diri di dalam pesawat yang masih berada di atas awan, nyawanya bagai di hujung tanduk; 50-50. Bila-bila masa sahaja ajal boleh datang menjemput. Sebab itu selagi pesawat yang dia naiki tidak mendarat dengan selamat, selagi itu dia tidak tenang jiwa. Hanya doa yang menjadi peneman diri.

Mula kedengaran pemanggilan penumpang bagi penerbangan KL0810 pada alat pembesar suara yang ada berhampiran dengan Gate C4 itu. Panggilan diulang semula dalam bahasa Inggeris.

Mujur penerbangan KL0810 tidak mengalami kelewatan malam ini. Jika tidak, pasti lewat juga dia dan penumpang lain sampai ke Kota Paris. Sudahlah pesawat ini transit di Amsterdam dahulu sebelum dia meneruskan perjalanan ke Paris. Sudah ternampak-nampak Menara Effel teguh berdiri di hadapan matanya ketika ini. Sampaikan dia terlupa segala-galanya!

Gate C4 mula dibuka laluanya untuk penumpang penerbangan KL0810 menuju ke pintu masuk pesawat Boeing 777-300ER milik syarikat penerbangan KLM Royal Dutch Airlines.

Selepas menyerahkan boarding pass berserta pasport kepada petugas KLM Royal Ductch Airlines yang bertugas di Gate C4, dia terus melangkah penuh bergaya menuju ke dalam perut pesawat. Terasa berat hatinya mahu meninggalkan Malaysia. Walhal bukan lama pun dia di sana. Seminggu sahaja. Itu pun atas urusan rasmi. Jika tidak, jangan harap dia dapat ke Kota Paris dalam masa terdekat ini.

Tak sabarnya nak sampai Paris. Tas tangan di bahu dibetulkan. Selendang yang membaluti kepala dikemaskan sambil langkah terus diatur memasuki perut pesawat.

Sampai sahaja, dia terus mencari tempat duduknya. Agak bising keadaan di dalam pesawat Boeing 777-300ER ketika ini dek suara penumpang lain yang sudah selesa duduk di tempat duduk masing-masing. Mungkin mereka juga teruja sepertinya. Apa yang pasti saat dia terpandang pasangan kekasih atau mungkin pasangan suami isteri yang ada, terus hatinya disapa rasa cemburu dan iri.

Alangkah indahnya kalau dia juga ada di sisi aku sekarang ni. Hanya keluhan halus yang mampu dia helakan sambil menyelesakan duduk. Dia bertuah kerana dapat tempat duduk yang betul-betul di tepi tingkap. Tidaklah dia kebosanan duduk sendirian tanpa insan yang dicintai di sisi sepanjang penerbangan nanti. Mujur ada sang awan di luar bisa menemaninya.

Telefon pintar di dalam tas tangannya bergetar. Menandakan ada mesej baru diterima melalui aplikasi WhatsApp. Bibirnya mengukir senyum bahagia saat membaca mesej baru yang diterima. Senyuman itu semakin meleret. Hujung ibu jarinya pula pantas menaip balasan mesej dari insan yang dicintainya itu.

Lima belas minit kemudian, para penumpang dikehendaki memakai tali pinggang keselamatan dan mematikan semua alat peranti elektronik kerana pesawat bakal berlepas sebentar lagi. Demi keselamatan penumpang yang ada, dia akur dengan arahan yang diberikan. Sempat dia menaip sesuatu untuk si pencintanya sebelum dia mematikan gadget canggih itu.

JANGAN HILANGKAN DIAWhere stories live. Discover now