TERSENYUM dia sendirian selepas selesai menggayakan selendang dari koleksinya yang lalu dengan gaya terbaru yang berjaya dia cipta secara spontan sebentar tadi. Selendang yang sudah kemas di atas kepala dibelek-belek di hadapan cermin.
"Cantik juga. Boleh aku jadikan gaya untuk koleksi terbaru aku akan datang," katanya sendirian lalu dia mencapai telefon pintarnya di atas meja solek. Dia mengambil gambarnya sendiri dari pelbagai sudut dengan gaya yang dirasakan menarik.
Selesai sahaja, salah satu gambar yang ada dipilih untuk dimuat naik di laman sosial Instagramnya dengan kapsyen:
Gaya baru untuk koleksi akan datang. Tunggu... ;)
Uploaded!
Sekali lagi wajahnya yang sudah cantik dilapisi mekap tipis, dipandang lama. Senyum gembira dan terujanya tadi pudar perlahan-lahan bila ingatannya kembali kepada keputusannya yang telah dibuat kelmarin.
"Betul ke apa aku buat ni? Kerana duit, aku sanggup gadai status diri aku?" Qaireena bertanya pada biasnya di cermin.
"Tapi ini aje peluang yang aku ada untuk aku buka butik aku kat negara ni dalam masa terdekat. Lagipun, aku terima syarat dia nanti dengan bersyarat, bukan terima secara membabi buta aje. So, dengarnya... Taklah macam... Keji sangat. Syarat atas syarat. Tapi kalau dia tak setuju macam mana? Punahlah harapan aku nak ada butik berskala besar dalam masa terdekat ni."
Keluhan berat dihelakan. Semakin difikirkan, semakin banyak kemungkinan yang bertandang. Merimaskan dan menyesakkan fikiran!
"Tak apa, aku usulkan dulu syarat aku. Kalau dia tak boleh terima syarat aku tu, secara automatik aku tak perlu bayar sesen pun segala ganti rugi kain yang dia dah order tu. Bijak kau, Reen," pujinya untuk dirinya sendiri. Senyuman girang kembali terukir di sebalik bibirnya.
Haruman Eros Pour Femme daripada Versace menjadi pilihannya untuk hari ini. Disembur beberapa pam pada tudung dan pakaiannya lalu dia bersiap untuk bertemu dengan Elly sebentar lagi. Dia perlu laksanakan rancangannya hari ini juga. Dua hari masa yang berlalu rasanya sudah cukup untuk dia berfikir.
Tas tangannya dicapai berserta telefon pintar lalu dia melangkah meninggalkan kamar tidurnya. Anak tangga dituruni menuju ke aras bawah. Kedengaran suara mama, papa dan adiknya yang sudah berada di ruang makan.
"Assalamualaikum dan selamat pagi semuanya," ucap Qaireena, ceria sekali.
"Waalaikumussalam. Selamat pagi, Reen," balas Puan Roslia.
Tuan Hakim dan Fazrol menjawab salam itu sekadar di hujung bibir sahaja.
"Eh, kamu nak keluar lagi ke pagi ni? Setiap hari kamu asyik keluar aje. Susah benar nak duduk kat rumah. Kamu pergi mana sebenarnya, Reen?" tanya Puan Roslia musykil sambil mencapai pinggan di hadapan anak sulungnya itu. Sejak anak sulungnya itu pulang dari Paris, susah benar mahu melekat di rumah.
"Mama, tak apa. Reen tak nak makan nasi hari ni. Reen makan roti bakar aje," tahan Qaireena bila mamanya mula menyenduk nasi ke atas pinggannya.
Puan Roslia akur lalu meletak kembali pinggan di tangan di hadapan Qaireena yang sudah selesa duduk di sebelah Fazrol.
"Reen pergi uruskan fasal butik Reenlah, mama. Banyak hal nak kena uruskan. Kena bincang dan rancang betul-betul."
"Ooo..." akur Puan Roslia.
"Loan bank kamu macam mana? Lepas?" Tuan Hakim mencelah.
"Ha? Loan?" Qaireena yang baru sahaja mencapai sekeping roti bakar di hadapannya sedikit terkejut selepas mendengar pertanyaan daripada papanya itu.

ANDA SEDANG MEMBACA
JANGAN HILANGKAN DIA
General FictionTajuk: Jangan Hilangkan Dia Penulis: Hazel Jay Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-54-9 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017