Empat tahun kemudian...
"SAYANG!"
Qaireena cuba melihat wajah lelaki yang memanggilnya dengan gelaran itu. Namun, cahaya yang memancar ke arahnya terlalu terang sehingga menyilaukan pandangan. Hanya kelibat tubuh lelaki itu yang dia nampak di sebalik cahaya. Wajahnya pula tidak kelihatan. Dia hampa.
Siapa sebenarnya dia? Kenapa dia panggil aku sayang?
Kaki diatur cuba mendekati lelaki itu. Namun, langkahnya seperti tidak berpenghujung. Sudah lama dia melangkah cuba mendekati lelaki misteri itu, tetapi langkah kakinya tetap jua tidak sampai ke destinasi yang dituju. Sedangkan dengan jelas, dia melihat lelaki itu terus berdiri di hadapannya.
"Kau siapa?" tanya Qaireena sambil menghalang pandangannya dari dipancar cahaya terang di hadapannya dengan tangan.
Semakin dia mencuba untuk melihat wajah lelaki itu, semakin pedih matanya terkena cahaya yang semakin menyilaukan pandangan itu.
"Sayang..." Lelaki itu memanggilnya lagi.
Dia memandang sekelilingnya. Sepertinya dia berada di kawasan luas yang tidak bertepi dan kawasan itu diterangi cahaya terang dari sebutir bintang yang berada betul-betul di belakang lelaki yang memanggilnya dengan gelaran 'sayang' itu.
"Sayang rindukan abang tak?" tanya lelaki itu, yang masih tidak dapat dilihat wajahnya dengan jelas.
Kenapa dia gelaran diri dia dengan gelaran abang? Siapa sebenarnya dia? Qaireena semakin keliru.
Tiba-tiba cahaya yang memancar semakin terang dan membuatkan matanya semakin pedih. Saat matanya berkelip, lelaki itu sudah tiada. Berpusing dia di kawasan yang tidak bertepi itu mencari kelibat lelaki tadi.
"Sayang..."
Qaireena tersentak bila bahunya tiba-tiba disentuh. Belum sempat dia menoleh ke belakang, terasa ada sesuatu melingkar di pinggangnya. Terasa tubuhnya dipeluk dari belakang. Dia terkaku. Tercetus satu perasaan aneh tatkala dia berada di dalam dakapan lelaki yang masih dia tidak kenalinya itu.
"Sayang... Abang rindukan sayang," bisik lelaki itu betul-betul di cuping telingnya dari belakang.
"Siapa sebenarnya kau?" tanya Qaireena.
"Cik, cik..." Muncul pula suara wanita dari arah depan seraya melenyapkan terus lelaki yang sedang memeluknya dari belakang tadi.
"Cik... Cik..."
Terasa bahunya bergoyang.
"Cik... Kita dah sampai Malaysia."
Suara lembut itu menyedarkan Qaireena yang terlena selepas beberapa jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. Selepas hampir dua tahun menjadikan Kota Paris seperti rumah keduanya, hari ini dia kembali semula ke Malaysia dan akan terus menetap di sini buat selama-lamanya. Kerjayanya di sana sudah stabil. Kini tiba masanya untuk dia meluaskan empayarnya di negara kelahirannya pula.
Walaupun tragedi tragis yang menimpanya empat tahun lalu masih segar dalam ingatannya dan masih meninggalkan kesan trauma yang agak serius, dia tetap gagahkan diri dan melawan trauma itu demi merealisasikan impiannya.
Mujurlah Tuhan masih memberi ruang kepadanya untuk dia meneruskan hidup. Hampir enam bulan dia terlantar koma akibat tragedi tragis yang menimpanya empat tahun lalu. Setahun setengah selepas dia sedar dari koma barulah doktor mengesahkan yang dia benar-benar sudah pulih dari kecederaan yang dia alami. Itu pun tidak sepenuhnya. Masih ada kecederaan dalaman kesan dari tragedi itu yang masih bersisa sehingga kini.
Dua tahun selepas tragedi itu, barulah dia membuat keputusan untuk meneruskan impiannya yang tergendala sebelum ini. Berkat doa, keberanian dan usaha yang tidak pernah putus, dia berjaya menepis traumanya dan menjejakkan kaki ke Kota Paris bagi menyambung semula impiannya yang tergendala.
![](https://img.wattpad.com/cover/98146063-288-k814732.jpg)
YOU ARE READING
JANGAN HILANGKAN DIA
Genel KurguTajuk: Jangan Hilangkan Dia Penulis: Hazel Jay Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-54-9 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017