Bab 3

2.4K 40 0
                                    

MEREKA melambai ke arah pemandu kereta berwarna medium silver metallic itu. Seketika kemudian, kereta itu mula bergerak menuju ke arah barat daya. Mereka bertiga terus menanti di hadapan pintu pagar sehingga kelibat kereta itu semakin menjauh.

"Abang yakin semua ni akan berjalan lancar?" tanya Puan Roslia, meluahkan kemusykilan dan keresahannya sejak tadi.

Tuan Hakim tidak terus menjawab. Wajah isterinya dipandang sekilas. Langkah terus diatur menuju ke dalam banglo diekori Fazrol dari belakang. Kala cuti hujung minggu begini, jika tiada jemputan majlis rasmi dan rancangan keluar membeli-belah, mereka sekeluarga lebih senang menghabiskan masa dengan berehat dan bersantai di rumah.

Puan Roslia mengeluh hampa bila suaminya tidak menjawab pertanyaannya. Kaki turut diayun menuju ke dalam banglo.

"Abang dengar tak apa saya tanya tadi?" tanya Puan Roslia lagi sambil menutup pintu. Suami dan anak bongsunya sudah duduk di ruang tamu.

"Dengar," jawab Tuan Hakim hendak tidak hendak sahaja.

"Dah tu? Abang rasa semua ni akan berjalan lancar?" Punggung dilabuh di sebelah suaminya.

Fazrol tidak jauh dari situ sengaja buat-buat fokus pada rancangan televisyen. Dia terus menadah telinga dengan apa yang bakal mama dan papanya bicarakan. Secara tidak langsung, dia turut terlibat dengan semua ini.

"Insya-Allah, Puan Ros. Kita hanya merancang, Allah juga yang menentukan."

Hanya jawapan itu yang mampu Tuan Hakim berikan. Akhbar di atas meja kecil di tepi sofa yang dudukinya dicapai.

"Tapi... Abang tak rasa ke macam klise sangat semua ni?"

"Klise atau tak, kita tolak ke tepi dulu. Ini baru permulaan. Kalau tak berjaya, kita pelan cara lain. Lagipun, dah lama sangat kita tunggu. Inilah masa yang sesuai. Reen dah tak perlu ulang-alik Malaysia-Paris sekerap dulu. Abang bimbang semakin lama hal ni dilengah-lengahkan, kesannya nanti pada Reen. Awak pun faham maksud saya, kan?"

Lama Puan Roslia memandang Tuan Hakim sambil memikirkan semula kata-kata suaminya itu.

"Tapi..."

Masih ada yang merisaukan Puan Roslia.

"Abang kena ingat, Reen tu bukan gadis yang dibesarkan di kampung, belajar setakat SPM lepas tu bekerja, jumpa lelaki biasa-biasa, kahwin, duduk rumah dan jaga anak. Reen tu, membesar kat bandar, belajar sampai ke Paris walaupun lanjutan diploma aje. Dia dah bertahun bergaul dengan pelbagai orang kat Paris tu. Abang rasa cara ni berkesan ke? Saya bimbang dia akan pertikaikan semua ni. Kita juga yang pening nak menjawabnya nanti."

"Rol pun setuju dengan kata-kata mama tu, pa. Kalau akak tak boleh terima, macam mana? Akak tu gadis urban. So, fikiran akak tu moden. Dia bantai gelak aje nanti kalau kita bagi tahu fasal hal ni pada dia."

Fazrol mencelah seraya menyokong kata-kata mamanya.

Lega Puan Roslia bila anak bongsunya turut memikirkan hal yang sama.

Keluhan berat lagi sarat Tuan Hakim helakan. Mati terus moodnya mahu membaca akhbar di tangan. Sudahnya, akhbar kembali diletak di atas meja kecil di sisi sofa. Wajah isteri dan anak bongsunya dipandang untuk beberapa saat silih berganti.

"Inilah masanya untuk awak gunakan peranan awak sebagai mama dia dan saya sebagai papa dia untuk pujuk dia."

"Abang ingat Reen tu budak kecil yang boleh kita gula-gulakan dengan hal macam ni?" Puan Roslia masih tidak yakin cara itu berkesan untuk Qaireena.

"Kita belum cuba belum tahu, kan? Kalau Reen tak makan dengan pujukan kita, kita paksa dia. Dalam masa yang sama, awak sebagai mamanya, doakanlah supaya hatinya lembut dan dia boleh terima apa yang bakal berlaku kelak. Sampai bila kita nak biarkan dia macam tu? Awak pun tahu kan hal yang dah berlaku?"

JANGAN HILANGKAN DIAWhere stories live. Discover now