Bab 10

1.6K 25 0
                                    

WALAUPUN Qaireena sedang membebel di hadapannya, Elly tetap berselera menjamah roti canai 'banjir' yang dipesannya tadi. Kalau perut sudah lapar, makan pula makanan kegemarannya, apa yang berlaku di sekelilingnya sudah tidak diendah. Yang penting, perutnya perlu diisi terlebih dahulu.

"Kau dengar tak apa aku cakap ni, Elly? Aku membebel, kau boleh sedap melantak, kan? Aku ajak kau jumpa ni sebab nak kau dengar luahan hati aku," tanya Qaireena, geram.

Elly tidak terus menjawab. Dia menghabiskan terlebih dahulu makanannya di dalam mulut. Keadaan kedai mamak tepi jalan itu yang agak padat dengan pelanggan ketika ini sedikitpun tidak mengganggu seleranya.

"Ya, aku dengar. Kau ingat aku pekak?" Pertanyaan Qaireena baru dijawab.

"Dah tu, kau boleh melantak roti canai kau penuh berselera sekali, kan?"

"Reen, takkan aku nak matikan selera makan aku disebabkan masalah kau kut? Agak-agaklah. Perkara dah berlaku, kau nak membebel sampai bisu pun, tetap perkara tu dah berlaku."

"Yalah, sekurang-kurangnya kau bagilah aku kata-kata semangat. Aku stres dengan si tauke kain tu. Dia boleh paksa aku jadi model untuk koleksi baru aku nanti? Tak ke gila tu? Disebabkan dia, kawan baik dia yang tak bersalah tu kena bebel dengan aku semalam."

Keluhan bosan Elly helakan. Sisa roti canainya disuap ke dalam mulut lalu dikunyah rakus. Hujung jari yang bersisa kuah kari dijilat satu per satu.

"Eloklah tu dia nak kau jadi model koleksi baru kau nanti. Tak perlu kau nak membazir duit bayar artis untuk jadi duta produk kau. Lagipun, followers kau kat Instagram dengan YouTube kau dah mengalahkan artis, kan? Kau dah ada peminat kau sendiri. Tak perlu nak guna artis untuk cari pengaruh. Nama Qaleesta Boutique tu pun orang dah kenal. Silap-silap kalau kau ambil artis jadi duta tudung dan selendang kau tu nanti, artis tu yang akan tumpang populariti nama Qaleesta."

Elly meluahkan pendapatnya dalam ayat yang agak panjang. Sejak dari tadi dia berdiam diri bukan bermakna dia tidak mendengar langsung apa yang dibebelkan Qaireena. Dia tetap dengar dan dalam masa yang sama dia turut mencuba memahami keadaan Qaireena.

Qaireena diam sejenak memikirkan semula kata-kata Elly itu.

"Tapi pengaruh aku tak adalah sehebat artis. Aku baru pelan nak sunting Mira Filzah jadi duta Qaleesta tau?"

"Tak perlulah. Kau dah cukup cantik dengan koleksi kau. Perlu ke nak membazir duit bayar duta produk bagai? Aku ni kalau bertudung macam kau, dengan rela hati nak jadi duta kau tau?"

"Dah tu, kenapa kau tak pakai tudung?"

Terkaku terus Elly memandang Qaireena. Sentap makan dalam!

"Kau perli aku ke apa?"

"Oh, okey sorry. Aku tak ada niat nak mempertikaikan imej kau. Cuma aku sekarang ni tertekan sebab si tauke kain tu suka paksa-paksa aku. Aku nak pembukaan butik aku dan pelancaran koleksi baru aku nanti berjalan lancar dan berjaya. Aku tak suka tergesa-gesa."

Itulah yang Qaireena inginkan. Dia mahu semuanya sempurna. Buat julung-julung kalinya pelancaran koleksi terbaru Qaleesta akan dibuat di negara ini. Jadi, jika boleh dia ingin semuanya nampak sempurna dan berjaya. Bukan hanya bagai melepaskan batuk di tangga.

"Ya, tu aku tahu. Kau kena fikir, dia dah laburkan duit dia banyak untuk kau. So, dia pun nak usaha sama di antara dia dengan kau berjalan sempurna seperti yang dirancangkan. Kau tak fikir ke yang kau bertuah sebab dia dah buat perancangan promosi untuk koleksi baru kau nanti? Kau dah tak perlu nak susah payah cari pereka grafiklah, jurufotolah, juruvideolah untuk buat promosi. Kau tak terfikir semua tu?"

JANGAN HILANGKAN DIAWhere stories live. Discover now