Bab 6

1.8K 33 0
                                        

AWAL pagi itu Qaireena telah memaksa Elly bertemunya di sebuah restoran makanan segera berhampiran dengan Bangsar. Apa yang berlaku semalam di Wisma Dhafir Trading masih segar dalam ingatannya. Sesuatu yang merepek! Tapi tetap juga buat hatinya gelisah dan berbelah bahagi sama ada mahu menerima atau menolak. Semalaman dia tidak mampu tidur lena memikirkan tentang tawaran bersyarat itu.

"Huk! Huk!"

Terbatuk-batuk Elly selepas mendengar syarat yang telah ditetapkan si tauke kain itu jika Qaireena mahukan dana daripada lelaki itu. Minumannya disedut rakus. Melancarkan salur makan yang terasa sesak dek McMuffin yang dikunyahnya tadi.

"Dia nak kau kahwin dengan dia baru dia nak bagi pinjam duit dia kat kau?" tanya Elly selepas merasakan kerongkongnya mula lancar.

Qaireena angguk meluat lalu menghirup minumannya.

"Gila tak lelaki tu? Lepas dia dah langgar aku kat Pavilion hari tu, dia nak aku terima syarat merepek dia tu? Memang taklah. Inilah orang kita, nak tolong orang tadi ambil kesempatan." Amarah Qaireena pada Dhafir masih membara.

Semalam selepas Dhafir memaklumkan tentang syarat merepek itu, dia terus meninggalkan pejabat lelaki itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Dalam langkah dia tetap dapat mendengar yang lelaki itu memberikan dia tempoh waktu untuk berfikir.

"Kalau kau rasa tak boleh terima syarat dia, kau abaikan ajelah syarat dia tu," cadang Elly.

"Masalahnya aku tak ada pilihan yang menyebelahi aku."

"Maksud kau?" Elly kembali menyuap makanannya ke dalam mulut.

"Kalau aku tak nak ikut syarat merepek dia tu, aku kena bayar ganti rugi kain yang dia dah tempah. Gila tak? Dia yang order kain dari pembekal, aku yang kena bayar, apa ke hal?"

"Motif?"

"Dia kata kain yang dia order tu khas untuk koleksi baru aku nanti. Walhal, aku tak bagi tahu lagi material kain apa yang aku nak. Dia main order suka hati dia aje. Tiba-tiba aku pula yang nak kena bayar balik. Merepek tak?"

"Laki kau tu dah kenapa? Suka hati dia aje bagi syarat merepek macam tu."

"Haaa?" Qaireena disapa hairan. Pelik sungguh kata-kata Elly itu.

"Tak, maksud aku lelaki tu dah kenapa? Tetiba bagi syarat merepek tu."

"Ohhh... Manalah aku tahu. Aku rasa ada wayar dalam kepala dia dah putus kut."

Elly menghela nafas lega bila Qaireena tidak mengesyak apa-apa atas keterlanjuran bicaranya tadi.

"Tapi kalau aku jadi dia pun, tak mustahil aku akan bagi syarat macam tu." McMuffinnya digigit lagi.

"Elly!" Pantas Qaireena menumbuk perlahan bahu Elly.

"Aduh! Sakitlah! Kenapa kau tumbuk aku?" keluh Elly sambil mengusap bahunya yang terasa sakit dek ditumbuk Qaireena.

"Kau sebelahkan siapa? Aku ke dia?"

"Aku tak sebelahkan sesiapalah. Kau ada hak untuk menolak dan dia pun ada hak nak beri syarat. Sebab duit yang dia nak bagi pinjam kat kau tu duit dia, kan? Suka hati dialah nak bagi syarat apa pun. Dia pun perlu jaminan untuk memastikan duit dia akan kembali semula pada dia. Sebab tu dia buat syarat tu. Dengan menikahi kau, dia akan ikat kau. So, kau tak boleh lari dari dia," jelas Elly, panjang lebar apa yang cuba dia maksudkan.

"Apa hal pula aku tak boleh lari? Lepas aku dapat duit dia, aku larikan dirilah. Apa susah?" Sungguh mudah Qaireena berkata-kata tanpa memikirkan kesan yang akan dia terima atas perbuatannya itu.

"Yalah, senang kau cakap, kan? Kau ingat kalau kau lari dari dia akan menyelesaikan masalah? Kalau dia sebarkan surat nikah kau dengan dia, tak ke jahanam dan hancur lebur kerjaya kau? Kau nak peminat koleksi tudung dan selendang kau pandang hina pada kau? Kau akan dikecam. Seorang isteri yang tak bertanggungjawab. Kau akan membunuh karier kau sendiri, Reen." Elly sudah membebel.

JANGAN HILANGKAN DIATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang