KALA yang lain sedang bergembira meraikan hari bahagianya di luar, dia pula terus termenung sendiri di tepi jendela sambil melihat ke luar banglo. Akhirnya, hari yang paling dia tidak suka, muncul juga. Rombongan pengantin lelaki sudah sejak tadi sampai. Tok kadi pula baru sahaja setengah jam lalu meninggalkan bilik itu selepas dia mengesahkan borang kebenaran menikahnya.
"Eh, kau tengok apa kat luar tu?" tanya Elly yang tiba-tiba muncul dari arah belakang.
Qaireena menoleh memandang Elly.
"Tak ada apalah," jawabnya, hambar.
"Laaa... Orang lain bila nak menikah bukan main happy. Yang kau sedih ni kenapa?" Tidak pasti itu satu perlian dari Elly atau sekadar mengusik.
"Kau nak aku buat apa? Buat parti besar-besaran? Dah sah-sah pernikahan ni atas dasar nak cukupkan syarat aje, kan?"
Qaireena melangkah ke katil. Punggung dilabuh di atas tilam.
Keluhan berat, Elly helakan. Dia turut melabuhkan punggung di sebelah kawan baiknya itu. Dia tahu perasaan kawan baiknya itu ketika ini.
"Ya, aku tahu situasi kau sekarang ni. Aku cuma nak mengusik kau aje supaya kau boleh rasa happy sikit walaupun pada hakikatnya, kau tak suka pernikahan ni terjadi."
"Tahu pun kau. Ni, yang kau gigih suruh aku pakai inai segala ni dah kenapa? Nasib baik aku berkeras tak nak buat corak inai kat tangan aku. Kalau tak, dah sampai ke lengan tangan aku ni berinai." Hal itulah yang membuatkan Qaireena tidak puas hati. Kenapa dia perlu memakai inai sedangkan memakai inai di hujung jari itu bukannya wajib dalam Islam. Sekadar adat sahaja.
"Orang yang nak kahwin kan, biasanya akan pakai inai. Dah jadi trend sekarang, kan? Malam berinai gitu." Elly tetap tidak mahu mengaku kalah.
"Masalahnya, yang berinai siap berukir tangan semua tu, kahwin atas dasar cinta dan suka sama suka. Aku kahwin dengan si tauke kain tu fasal hutang aku pada dia aje tau? Perlu ke nak berinai semua ni? Lepas hutang aku langsai nanti, aku dengan dia akan bercerai." Qaireena mengulang hal yang sama entah untuk keberapa kali. Dan dia tidak akan pernah jemu mengingatkan tentang hal itu andai Elly masih tak faham konsep perkahwinannya dengan Dhafir.
Elly mengeluh bosan.
"Isy kau ni Reen, pengantin lelaki belum lafaz nikah kat bawah tu, kau dah fikir fasal bercerai. Aku tahu walaupun perkahwinan ni cuma untuk cukupkan syarat merepek si tauke kain tu, tapi tak salah kalau kau cuba terima penikahan ni. Manalah tahu, bila kau dah sah jadi isteri dia nanti, akan muncul bibit-bibit percintaan. Siapa tahu, kan? Jerat percintaan gitu konsepnya."
Qaireena terlopong memandang Elly, terkejut dengan kata-kata kawan baiknya itu yang baginya tak masuk akal!
"Terbit bibit-bibit cinta dengan dia? Pleaselah... Tak mungkin."
Elly mencebik bibir.
"Kau jangan anggap tak mungkin, Reen. Allah, kalau nak ubah perasaan kau, dalam sekelip mata aje boleh jadi tau? Tak salah rasanya kau beri peluang pada Dhafir untuk masuk dalam hidup kau. Lagipun, kau bukannya ada boyfriend pun sampai nak kena tolak si tauke kain tu awal-awal, kan?"
Elly masih mencuba menyuntik perasaan suka Qaireena pada Dhafir. Manalah tahu hubungan kawan baiknya itu dengan Dhafir akan membuahkan kebahagiaan hingga ke jannah. Dia juga yang akan tumpang gembira dan bahagia nanti.
"Tak ada maknanya. Kau jangan nak over feeling sangat boleh tak? Buat majlis nikah kecil-kecilan aje pun, tapi baju nikah mengalahkan baju artis nak bersanding kat hotel lima bintang."
Ada sahaja rungutan dari Qaireena sejak malam tadi. Satu lagi hal yang masih tidak memuaskan hatinya adalah tentang baju nikahnya. Dhafir menempah baju nikah mereka seperti baju bersanding! Penuh dengan manik dan lace di sana sini.

ANDA SEDANG MEMBACA
JANGAN HILANGKAN DIA
General FictionTajuk: Jangan Hilangkan Dia Penulis: Hazel Jay Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-54-9 Harga: RM24.00 (Semenanjung) // RM27.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017