Bab 4

2.1K 33 0
                                    

"SAYANG... Bangun sayang, dah subuh ni."

Suara itu kedengaran sayup-sayup menyapa pendengarannya. Perlahan-lahan dia membuka kelopak mata. Mata yang terasa kering terasa agak pedih untuk dibuka. Di sebalik kekaburan pandangan, dia dapat melihat susuk tubuh lelaki sedang berdiri tidak jauh dari katilnya.

"Siapa?" tanya dia sambil tangan mencapai suis lampu tidur di sisi katil. Tercapai sahaja, suis dipetik. Bilik itu mula diterangi cahaya malap dari lampu tidur.

"Bangun sayang, dah subuh..." Lelaki itu bersuara lagi.

Mata digosok perlahan dengan sesiku telunjuk. Cuba menjelaskan pandangan yang masih kabur. Disebabkan pencahayaan bilik itu agak malap, dia tidak dapat melihat wajah lelaki itu dengan jelas.

"Siapa sebenarnya kau?"

Perlahan-lahan lelaki menghampiri katilnya lantas membuat dia dilanda debar dan cemas.

"Jangan dekat. Kalau kau dekat, aku menjerit."

Terkulat-kulat Qaireena mendudukkan diri di kepala katil, cuba menjauhi lelaki itu yang semakin menghampirinya. Namun, bila lelaki itu sudah berdiri betul-betul di hadapan katilnya, dengan jelas dia melihat lelaki itu tidak berwajah! Dia terkejut besar.

Qaireena terduduk dengan mata terbelalak ke depan. Nafasnya kencang menghirup udara yang ada. Dadanya berombak laju, naik turun. Keringat sudah merenik di dahi dan pipinya. Buat seketika dia menghadamkan apa yang ada di hadapan matanya ketika ini. Hanya keadaan biliknya yang gelap menjadi latar padangannya.

Seketika kemudian, kedengaran suara laungan azan subuh dari masjid berdekatan memecah kesunyian.

"Astaghfirullahalazim..." Qaireena beristighfar panjang sambil meraup wajahnya. Dia bermimpi lagi! Lelaki tidak berwajah itu kembali menghantui lenanya!

Dia tidak terus turun dari katil. Setiap cebisan mimpinya tadi disisip kemas dalam kotak ingatannya. Selesai azan subuh dilaungkan, barulah dia turun dari katil menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dalam langkah, perlahan-lahan ingatannya pada lelaki tidak berwajah yang muncul hanya melalui mimpinya tadi mula memudar.

BEKAS seramik berisi nasi goreng yang telah dimasaknya dibawa ke ruang makan. Puan Roslia tersenyum senang hati melihat satu-satunya anak perempuannya itu tidak kekok di dapur.

"Eh, akak masak?" tanya Fazrol yang baru sahaja duduk di ruang makan itu.

"Haruslah. Kau ingat akak ni tak pandai masak?" balas Qaireena sambil meletak bekas di tangan di tengah meja.

Tuan Hakim yang turut ada di meja makan itu hanya mendengar dan memandang.

"Tak adalah Rol kata akak tak pandai masak. Cuma Rol rasa macam dah lama tak makan masakan akak. Sebelum ni kalau akak balik Malaysia dua tiga hari pun, susah benar nak rasa air tangan akak."

"Masa tu bukan akak malas nak masak, akak cuma nak makan masakan mama aje, bagi lepas rindu. Sebab tu akak tak masak." Pinggan di hadapan adiknya dicapai. Nasi goreng masakannya mula disenduk ke atas pinggan itu.

"Ooo... Macam tu rupanya," akur Fazrol. Pinggan yang dihulur kakaknya disambut.

"Papa nak nasi goreng yang Reen masak ni ke, nak makan roti bakar aje?" tanya Qaireena pada papanya. Selera papanya itu terkadang ikut angin juga. Kadangkala papanya lebih suka bersarapan dengan roti bakar dan kaya.

"Alang-alang kamu dah masak tu, bagilah nasi goreng kamu tu," jawab Tuan Hakim.

Tersenyum gembira Qaireena bila papanya sudi manjamah nasi goreng masakannya.

JANGAN HILANGKAN DIAWhere stories live. Discover now