Bab 11

1.5K 25 0
                                    

HAMPIR pukul 6.30 petang barulah mereka berdua bersama bakal pengantin yang lain selesai menjalani sesi kursus kahwin bagi hari kedua dan merupakan hari terakhir untuk siri kali ini. Sedikit jamuan minum petang telah disediakan oleh pihak penganjur di kafeteria hotel. Selesai menjamah kuih-muih yang disediakan, Dhafir dan Qaireena terus beredar dari ruang kafeteria.

"Leceh betul nak kena tunggu awak makan. Kan senang kalau saya drive kereta saya sendiri, tak perlulah nak kena tunggu awak habiskan minuman dan makanan awak tadi," rungut Qaireena, geram.

Mereka berdua sedang melangkah seiringan menuju ke kereta Dhafir yang diparkir tidak jauh dari bangunan hotel tiga bintang itu. Kursus kahwin mereka telah diadakan di bilik mesyurat hotel tersebut.

Dhafir menggeleng kepala, kemudian membetulkan kedudukan songkok di atas kepalanya. Nasib baik dia sudah terbiasa dengan bebelan Qaireena. Jika tidak, ada juga yang terkena kejutan budaya ketika ini. Sampai di kereta, alarm terus ditekan.

"Air cond... Air cond..." ujar Qaireena sambil menekan-nekan butang pendingin hawa selepas melangkah masuk ke dalam kereta.

"Sabarlah, saya belum hidupkan enjin lagi, kan?" sindir Dhafir, geram sambil menyelesakan duduknya.

Qaireena tarik muncung.

Selepas menghidupkan enjin kereta dan menutup pintu, alat pendingin hawa dihidupkan. Dia tidak terus memandu, sebaliknya dia mencapai sepucuk sampul surat bersaiz A4 di tempat duduk belakang.

"Dalam sampul ni, ada borang permohonan untuk kebenaran berkahwin dan borang-borang yang perlu awak isi. Dah lengkap nanti, awak bagi semula pada saya." Sampul surat di tangan dihulur pada Qaireena.

Teragak-agak Qaireena menyambut sampul surat yang dihulur Dhafir lalu isinya dikeluarkan dan dilihat satu per satu.

Dhafir memakai tali pinggang keledar lalu brek tangan diturunkan. Dia mula memandu.

"Pakai tali pinggang keledar please," pinta Dhafir tanpa menoleh ke arah Qaireena di sebelahnya. Matanya terus fokus pada jalan raya. Kenderaannya mula meninggalkan kawasan pekarangan hotel tiga bintang itu.

Qaireena merengus geram sambil memandang sakit hati pada Dhafir. Geram kerana lelaki di sebelahnya itu yang suka memerintah dan memaksa. Selesai mengepin tali pinggang keledar, dia kembali menyemak setiap borang yang ada di tangannya. Ada lapan jenis borang kesemuanya termasuk borang lafaz izin dan borang lafaz wakalah wali.

"Kenapa saya nak kena bagi borang ni pada awak semula selepas saya siap isi? Saya boleh uruskan sendirilah."

Keluhan berat Dhafir helakan. Qaireena dipandang sekilas.

"Awak tu kan setiasa sibuk nak uruskan butik awak tu. Jadi, saya tak naklah bebankan awak dengan borang ni semua. Lagipun lebih senang kalau uruskan sekaligus. Borang akan diapprove pun sekaligus. Tak adalah timbul masalah borang saya dah approve, borang awak belumlah. Saya nak ringankan beban awak aje. Tu pun salah?" Dhafir mempertikai.

Kecil kelopak mata Qaireena merenung sinis ke arah Dhafir di sebelahnya. Kecil aje aku tengok dia ni. Tapi kalau memang dia nak uruskan, apa salahnya? Tak adalah susahkan aku, desis Qaireena dalam hati.

"Emmm... Awak ni memang suka paksa-paksa orang, ya? Lepas tu semua orang nak kena ikut cakap awak aje. Sikap tu memang sikap semula jadi awak ke apa?" tanya Qaireena seraya menukar topik perbualan. Borang kembali disimpan ke dalam sampul surat. Sudah lama dia mahu bertanyakan soalan itu, baru hari ini dia berjaya luahkan.

"Taklah, saya tak suka memaksa."

Qaireena tergelak, sinis.

"Tak suka memaksa konon. Dah tu, yang awak suruh saya buat itu ini tu, bukan memaksa?" Qaireena pula mempertikai.

JANGAN HILANGKAN DIAWhere stories live. Discover now